Brunei akhirnya buka jambatan terpanjang Asean untuk kenderaan luar - jimat BND 6, masa perjalanan
Mersita · Sep 15, 2022 05:00 PM
0
0
Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien, jambatan terpanjang di Asia Tenggara, di Brunei kini telah dibuka kepada kenderaan asing dengan had berat kenderaan 3.5 tan.
Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan & Infokomunikasi dan Kementerian Pembangunan Negara Brunei Darussalam semalam (14 Sept), Jawatankuasa Pengurusan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS) memaklumkan kemaskini penggunaan jambatan berkenaan dimana kenderaan berpendaftaran asing sama ada persendirian atau komersial dalam kelas sebanding Brunei iaitu Kelas I, III, IV, VI dan XII sahaja dibenarkan untuk melalui jambatan berkenaan.
“Para pengguna hendaklah mematuhi had kelajuan 100 km/jam bagi kenderaan biasa manakala had kelajuan bagi kenderaan komersial adalah 80 km/jam,” tulis kenyataan itu.
Terdahulu, jambatan sepanjang 30 km itu tidak dibuka kepada kenderaan asing sejak pembukaannya pada 17 Mac 2020. Menurut laporan Borneo Post, jambatan berkenaan dibuka awal dari rancangan disebabkan kekangan Covid-19 bagi menghubungkan warga Brunei antara Bandar Sri Begawan dan Temburong, dan pada masa sama menutup sempadan negara dari warga asing.
Pengumuman membenarkan kenderaan asing untuk menggunakan jambatan berkenaan dibuat kira-kira 1 bulan 2 minggu selepas sempadan Brunei dibuka semula pada 1 Ogos 2022. Pembukaan jambatan ini ternyata memudahkan perjalanan rakyat Brunei dan juga rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak yang perlu merentasi Brunei untuk perjalanan antara Miri dan Lawas serta Sabah.
Pembinaan jambatan terpanjang Asean ini bermula pada tahun 2014 dengan anggaran kos sebanyak BND 1.6 bilion (~RM 5.2 bilion).
Bagi rakyat Malaysia, pembukaan Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien ini menawarkan penjimatan dari segi masa dan wang kerana mereka sudah tidak perlu melalui bandar Limbang di Sarawak yang diapit oleh dua bahagian negara Brunei.
Sebagai info, warga bukan Brunei perlu membayar BND 3 setiap seorang bagi setiap ‘entry’ dan ‘exit’ negara berkenaan – jumlah keseluruhan BND 12 jika tidak menggunakan jambatan baharu berkenaan dan merentasi dua negara melalui Limbang.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.