Proton Saga sudah mencecah umur 35 tahun sejak kelahiran model ini. Sebagai sebuah produk watan yang cuba menembusi pasaran UK, Proton tentunya memberikan sedikit sebanyak penambahbaikan terhadap kualiti produk eksport mereka. Oleh hal yang demikian, mari kita imbau sedikit sebanyak sejarah Proton di UK melalui Proton Saga.
Kehadiran Proton di UK bermula ketika Pameran Kereta Britain (British Motor Show) di Birmingham pada tahun 1988. 9 model Proton Saga sedan dan aeroback telah dipamerkan dengan varian enjin 1.3 liter dan 1.5 liter.
Pada masa yang sama dengan pelancaran Jaguar XJ220, Proton telah dianugerahkan 3 pingat iaitu 2 emas dan 1 perak dalam aspek kualiti binaan dan ergonomik. Kedua-duanya tidak dinafikan masih ada dalam DNA Proton sehingga hari ini. Dengan anugerah tersebut, pastinya ramai pemerhati industri automotif ternanti-nanti tawaran syarikat kecil dari Asia Tenggara ini.
Pada tahun 1989, 2 model Proton Saga telah mula dijual di UK. Model-model ini tidak dipanggil Proton Saga, hanya dipanggil sebagai Proton 1.3 dan Proton 1.5. Kedua-dua model ini diberi nama mengikut kapasiti enjin masing-masing.
Slogan Proton pada ketika itu adalah ‘Far Eastern Quality’ iaitu Kualiti Hujung Tanah Asia yang dilihat turut mempromosikan Malaysia. Proton Saga pula diposisikan sebagai sebuah model pengenalan dengan jaminan pengeluar yang panjang dan kelengkapan yang menarik. Untuk pasaran UK, Proton Saga turut dilengkapi dengan bumbung suria, poket khas untuk peta (google maps zaman dulu) dan unit radio Blaupunkt. Amacam?
Selain itu, Proton turut mempunyai rangkaian jualan yang bagus. Sebanyak 150 pusat pengedar telah ditubuhkan dengan sebuah pusat alat ganti yang besar. Aspek jualan unik Proton adalah 2 tahun jaminan pengeluar (jarang ditawarkan pada zaman itu) dan bantuan kerosakan secara PERCUMA.
Namun begitu, kesemua promosi tersebut dibayangi dengan masalah kualiti fit and finish (muat dan kemasan) di samping profail utama pembeli adalah dalam kalangan pakcik-pakcik pencen yang mengurangkan daya penarik Proton Saga ini. 2 model yang hadir selepas Proton Saga iaitu Proton Wira dan Proton Satria turut terjejas penjualan akibat daripada imej tersebut.
Proton terpaksa menarik diri daripada UK pada tahun 2016. Namun begitu, mengikut laman web How Many Left, masih terdapat sebanyak 87 unit model-model Proton yang masih sah digunakan atas jalan pada awal tahun 2020. Angka tersebut agak sedih jika dibandingkan dengan angka jualan tertinggi Proton iaitu 53,400 unit pada tahun 1995.
Tidak lupa juga, syabas buat Proton yang berjaya menembusi pasaran seperti Kenya, Bangladesh dan Pakistan. Ura-ura juga turut mengatakan bahawa Proton sedang merancang untuk kembali ke pasaran Thailand. Langkah ini barat kata pepatah, sehari selembar benang, lama-lama jadi sehelai kain. Selamat maju jaya.
Sumber: Car Brochure Addict, MZine
Dapatkan respons dalam masa 24 jam!
2022 Proton Saga 1.3 Standard MT
Upgrade
Add your car