Mercedes-Benz C-Class model paling laku di Malaysia, tapi kenapa negara Asia lain tak minat?
Mersita · May 23, 2021 10:00 AM
0
0
Di pasaran rantau kita, Mercedes-Benz C-Class adalah model ‘entry’ paling biasa dibeli bagi jenama kereta mewah itu. Mereka juga ada A-Class yang lebih murah, namun ia tidak menyumbang jumlah jualan paling besar di negara ini.
Model C-Class adalah model paling laris bagi Mercedes-Benz Malaysia, diikuti dengan GLC-Class dan A-Class – kebanyakannya berharga bawah RM 300,000. E-Class berada pada posisi yang agak jauh di belakang disebabkan oleh harganya yang bermula dari RM 318,270.
Bagi kebanyakan pembeli, memiliki sebuah C-Class dianggap sebagai satu pencapaian besar. Ia menjadi simbol kejayaan dan kesenangan hidup.
Dengan syarat, anda tak perlu riak tentang anggapan ini dengan kenalan anda dari Korea. Mereka tak hairan, malah akan rasa pelik dengan ‘kebanggaan’ anda.
Kalau anda nak tahu, dari perspektif pelanggan Korea, memiliki C-Class bukannya bermaksud anda berjaya di dalam bisnes atau karier anda. Ia bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan. Pelik, tapi benar.
Di Korea, model Mercedes-Benz paling laku sebenarnya bukanlah C-Class, tapi model E-Class dimana ia menyumbang hampir 50 peratus daripada jumlah jualan Mercedes-Benz Korea.
Setakat bulan April, Mercedes-Benz Korea berjaya menjual 11,165 unit E-Class bagi tahun 2021. Ini meletakkannya sebagai kereta impot No.1 paling laris di Korea. Pangkat ini dipertahankan oleh E-Class sejak ia dilancarkan pada tahun 2016.
Dan yang lebih penting lagi, E-Class mendominasi dan mengalahkan BMW 5 Series hampir sekali ganda – 11,165 unit lawan 6,850 unit bagi empat bulan pertama tahun 2021.
Menyusul pada tempat kedua selepas E-Class di Korea adalah GLE-Class (2,489 unit), diikuti dengan S-Class (1,139 unit), dan seterusnya GLC-Class (2,710 unit). Hakikatnya, C-Class tak termasuk pun dalam senarai Top 5 kereta paling laris bagi Mercedes-Benz Korea.
Malah, model C-Class (833 unit) terjual lebih sedikit berbanding CLS-Class (1,651 unit), A-Class (2,404 unit), GLB-Class (2,404 unit), dan AMG GT (416 unit).
Ya, lebih ramai warga Korea yang membeli model CLS atau AMG GT daripada C-Class. Ditambah pula dengan faktor C-Class yang semakin menghampiri penghujung kitaran hidupnya – oleh itu, stoknya sedikit. Walaupun pada tahun 2020, sebelum model generasi W206 serba baharu didebut secara global, jualan C-Class masih lagi ketinggalan jauh di belakang S-Class.
Situasi ini bukan saja terjadi di Korea. Di Taiwan, kereta Mercedes-Benz paling popular ialah GLC-Class, diikuti dengan E-Class, dan kemudian C-Class.
Di China pula, GLC-Class lebih laku daripada C-Class.
Selain itu, di Jepun, model Mercedes paling laku ialah G-Class.
Ini membuatkan kami tertanya-tanya. Oleh itu, kami berhubung dengan seorang kenalan yang arif tentang pasaran kereta Korea untuk mendapatkan penjelasan.
"Kenapa orang Korea tak suka dengan C-Class?" Beliau memberitahu kami ia hanyalah kerana orang Korea mempunyai tanggapan keatas barangan mewah yang amat berbeza dengan orang lain.
Orang Korea bersifat amat progresif dan kebanyakannya rajin. Oleh itu, mereka gemar menghadiahkan sesuatu pada diri sendiri mengikut tahap pencapaian mereka. Mereka berusaha keras untuk mendapatkan pengiktirafan dan simbol status. Dan bagi mereka, C-Class (atau 3 Series sekalipun) tak cukup untuk pencapaian yang diperolehi.
Kami pun membalas, “Tapi, fenomena ini perkara biasa di seluruh Asia, terutama sekali di China, bukan?”
Beliau menjelaskan lagi bahawa anggapan ini tidak benar kerana dinamiknya agak berbeza di sini (Korea), walaupun apabila dinilai dengan standard Asia yang teramatlah tinggi bagi pembelian barangan mewah.
“Ini hanyalah kerana dominasi oleh Hyundai dan Kia yang mengawal hampir 80 peratus daripada pasaran kereta tempatan,” ujar beliau.
Sebagai konteks, kereta paling laku di Korea bukannya Hyundai Sonata mahupun Kia K5. Tapi, takhta itu dipegang oleh Hyundai Grandeur.
Hyundai Grandeur bersegmen E boleh dikatakan seperti Perodua Myvi bagi warga Korea – ia adalah kereta paling kerap dan biasa dilihat di sana. Tak hairanlah jika C-Class tidak dianggap sebagai kereta yang cukup mewah.
Bagi seorang pembeli warga Korea yang lebih cenderung membeli kereta impot akan mahu mencari sesuatu yang lebih bagus daripada Hyundai Grandeur.
Oleh yang demikian, E-Class dilihat sebagai kereta Mercedes-Benz berspesifikasi paling rendah yang boleh diterima untuk tahap ini.
Lagipun, berbeza daripada Malaysia, Korea tidak mengenakan kadar cukai yang tinggi keatas kereta-kereta impot.
Buat masa sekarang, secara teknikalnya Korea masih lagi dianggap sebagai pasaran terbuka. Ini kerana masih banyak celah atau ‘loophole’ yang tidak berkait dengan cukai iaitu standard pelepasan gas rumah hijau serta prosedur kelulusan jenis kenderaan yang masih memihak kepada kereta buatan Korea.
Namun, bagi banyak jenama asing, ‘loophole’ ini masih lagi terbendung dalam had yang boleh diterima. Ia sama saja dengan standard FMVSS, CAFE dan EPA di Amerika Syarikat (bagi keselamatan dan penjimatan minyak) yang ‘diubahsuai’ untuk memberikan kelebihan tidak adil bagi trak keluaran Amerika.
C-Class dijual pada harga bermula dari 50,800,000 Won (~RM 187,000), manakala harga E-Class bermula dari 75,500,000 Won (~RM 255,000). Hyundai Grandeur paling mahal berharga 41,850,000 Won (~RM 155,000).
Pada tanggapan paling asas, orang yang membeli C-Class di Malaysia mampu membeli E-Class di Korea. Namun, perlu diingatkan yang bank-bank Korea tidak menawarkan pinjaman bertempoh terlalu lama sehingga 9 tahun.
Kebiasaan bagi tempoh pinjaman kereta di sana hanyalah 3 tahun dan cuma 50 peratus daripada jualan kereta baharu dibeli dengan pinjaman bank. Tambahan pula, petrol, tempat letak kereta, insurans, caj tol, dan kos penjagaan lebih tinggi di negara K-Pop itu.
Top 10 kereta impot paling laris di Korea (Jan - April 2021)
Mercedes E-Class
11,165
BMW 5 Series
6,850
Audi A6
4,764
BMW 3 Series
3,013
Mercedes GLC
2,710
Mercedes GLE
2,489
Mercedes A-Class
2,404
Mercedes GLB
2,404 (=)
VW Tiguan
2,093
Lexus ES
1,822
Carta jualan didominasi oleh Mercedes-Benz – jenama kereta impot No.1 di Korea. Seperti kebiasaan budaya Asia, lencana bintang 3 penjuru ini ialah jenama yang paling digemari ramai.
Satu perkara yang menghairankan ialah BMW 3 Series prestasinya agak bagus. Ia adalah kereta impot keempat paling popular di Korea dengan prestasi jualan 3,013 unit terjual dari Januari hingga April 2021.
Satu lagi faktornya ialah G20 3 Series ialah model serba baharu berbanding W205 C-Class yang semakin tua. Warga Korea yang amat mementingkan imej lebih cenderung untuk memiliki model paling baharu dan bagus. Ini juga salah satu faktor mengapa mereka tidak memilih C-Class.
Walau bagaimanapun, naratifnya kekal sama – lebih ramai orang Korea yang membeli 5 Series berbanding 3 Series.
Mercedes-Benz Korea sedang menghabiskan stok W205 C-Class sebelum menggantikannya dengan model generasi W206 yang baharu. Namun pada tahun lalu, sebelum model W206 serba baharu diperkenalkan secara global, hanya 5,362 unit C-Class berjaya dijual; masih lagi di belakang S-Class (6,223 unit).
Tambahan pula, tahukah anda Korea adalah pasaran kelima terbesar bagi Mercedes-Benz di seluruh dunia selepas China, AS, Jerman, dan UK?
Setelah membaca kupasan kami kali ini, pada pendapat anda adakah Korea sebuah negara yang seronok untuk didiami dan mahukah anda bekerja di sana? Anda harus bekerja keras jika mahu duduk setaraf dengan warganegara mereka yang mementingkan imej.
Jika anda langsung tak kisah tentang imej dan kemewahan, topik dalam pautan di bawah mungkin lebih menarik bagi anda.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.