Dalam dunia automotif, Mercedes-Benz adalah antara jenama yang cukup mempesonakan dan antara model yang paling diminati adalah C-Class generasi W205.
Walaupun ada beberapa kelemahan, gaya luar dan dalam yang mahal membuatkan ramai terpikat dengan sedan eksekutif kompak ini.
Menariknya, unit terpakai sekarang ini sudah boleh didapati pada harga sekitar RM 140k. Sebagai konteks, harga Honda Civic juga lebih kurang sama. Untuk makluman anda, Civic memang bagus tapi ia bukanlah sebuah Mercedes.
Jadi untuk anda yang berminat, ini 5 panduan penting yang patut anda tahu.
Berapa varian yang ada di pasaran Malaysia?
Memandangkan model facelift masih atas RM 200k, mari kita lihat letakkan fokus pada model sebelum facelift.
Sepanjang keluarannya, C-Class W205 model pra-facelift ditawarkan dengan varian:
- C180 Avantgarde
- C200 Avantgarde/AMG Line
- C250 Exclusive/AMG Line
- C300 AMG Line
- C350e Avantgarde/AMG Line
Dari segi trenkuasa, C180 menggunakan enjin 1.6L turbo yang menghasilkan 156 PS/250 Nm tork. C200, C250 dan C300 pula hadir dengan enjin 2.0L turbo dan masing-masing mempunyai 184 PS/300 Nm, 211 PS/350 Nm dan 245 PS/370 Nm tork.
C350e pula adalah varian hibrid plug-in (PHEV) dan output enjinnya sendiri sama dengan C250 tetapi dengan bantuan motor elektrik, kuasa penuhnya mencecah 279 PS dan 600 Nm tork.
Kesemua model awal dipadankan dengan transmisi automatik 7 kelajuan tetapi bermula tahun 2017, semua varian dikemaskini dengan kotak gear 9 kelajuan kecuali varian C350e.
Varian mana yang patut dibeli?
Benda pertama yang kami hendak tekankan adalah ciri keyless entry yang mana ia hanya ada pada varian C250 dan ke atas.
Yang keduanya adalah berkenaan suspensi sport AMG. Secara teknikal, suspensi ini membuatkan badan kenderaan lebih rendah dan ia mengeraskan lagi mutu perjalanan. Walaupun eksterior AMG Line nampak cun, ia ada kompromi dari segi keselesaan perjalanan.
Apapun, perlu dimaklumkan bahawa suspensi standard sekalipun bukanlah hebat mana. Jadi, kami sarankan anda untuk cuba kedua-duanya jenis dan nilai sendiri yang mana lebih kena dengan jiwa anda.
Untuk C350e pula, kami dinasihatkan sendiri oleh pakar Mercedes-Benz untuk elak daripada membelinya kerana sistem yang digunakan cukup rumit dan kos untuk membaiki juga boleh buat anda sakit jiwa.
Berapa harga C-Class W205 pra-facelift sekarang?
Model C200 tahun 2014 ke 2015 sekarang berharga lebih kurang RM 140k - RM 150k. C250 pula sekitar RM 160k. Harga varian C300 pula dalam julat RM 180k - RM 190k.
Apa isu umum yang ada pada C-Class W205?
Pakar Mercedes-Benz yang kami sebutkan tadi adalah dari Benz Elite Auto di Puchong.
Menurut beliau, isu yang sering pemilik alami adalah kebocoran cooling coil pada sistem penyaman udara. Antara tanda awal adalah hanya sebelah sahaja yang sejuk dan kadang-kadang kedua-dua belah tidak sejuk langsung.
Untuk membaikinya, cooling coil, condenser dan expansion valve perlu diganti. Kalau guna alat ganti OEM (Original Equipment Manufacturer), kosnya termasuk upah adalah sekitar RM 3,000. Andai kata anda guna barang tulen Mercedes-Benz pula, harga yang dikenakan boleh mencecah RM 6,000.
Satu lagi masalah yang sering pemilik kena adalah kebocoran coolant dan puncanya adalah dari termostat. Untuk hal ini, Benz Elite Auto memberitahu bahawa kos menggantinya adalah lebih kurang RM 1,000.
Alternator dan fuel pump juga antara isu umum yang disebutkan. Penggantian menggunakan alat ganti tulen buat masalah ini adalah dalam lingkungan RM 2,000 sebuah.
Selain itu, bunyi suspensi juga antara benda yang selalu pemilik perasan dan rungut. Punca sebenarnya adalah bushing dan joint control arm yang sudah haus.
Kalau nak ganti bushing sahaja, pemilik perlu keluarkan kos sebanyak RM 400 untuk satu unit. Untuk control arm pula, penggunaan barang OEM adalah dalam julat RM 500. Seandainya anda mahu yang original, kosnya boleh mencecah RM 1,100.
Bercakap mengenai suspensi, varian C350e dilengkapkan eksklusif dengan suspensi udara Airmatic dan sistem suspensi ini ada masalah yang tersendiri, selain daripada bushing dan control arm.
Isu umum & kos membaiki buat C-Class W205 |
Komponen |
Kos (RM) |
Cooling coil, condenser & sebagainya |
3,000 (OEM), 6,000 (Original) |
Termostat |
1,000 |
Alternator |
2,000 |
Fuel pump |
2,000 |
Bushing untuk arm |
400 |
Lower arm |
500 (OEM), 1,100 (tulen) |
Bagaimana pula dengan kos penyelenggaraan?
Untuk makluman anda, servis biasa (penukaran minyak hitam termasuk penapis minyak) di Benz Elite Auto memakan kos sekitar RM 600. Berkenaan servis kotak gear pula, model awal yang pakai transmisi automatik 7 kelajuan memakan kos RM 800. Kalau yang 9 kelajuan, ia boleh mencecah RM 1,600.
Pada masa yang sama, anda disyorkan sekali untuk tukar minyak differential belakang dan item ini menelan belanja RM 200. Untuk ganti komponen lain seperti spark plug pula, harganya adalah sekitar RM 75 setiap satu (RM 300 secara keseluruhan). Penukaran penapis udara pula dalam RM 90.
Konklusi
Walaupun masalah yang sering pemilik hadapi seperti yang kami ceritakan di atas macam menyakitkan dan membebankan, ia sebenarnya masih boleh diterima untuk sebuah kereta continental. Kalau anda perasan juga, perkara yang terlibat adalah lebih kepada kehausan komponen atau pemilik sendiri yang mengabaikan apa yang sepatutnya ditukar setiap kali tiba masanya.
Jika anda berminat, ada beberapa unit C200, C250, dan C300 di Carsome.
Jadi, untuk harga lebih kurang sama, anda pilih C-Class atau Civic?
Juga baca:
Mercedes-Benz C-Class W204 β kini serendah RM62k, baloi angkat βsecond handβ?
Rebiu: 2022 Mercedes-Benz C-Class (W206) - Lebih selesa berbanding dulu, tapi enjin hibrid macam mana?