Honda City hatchback 2021 baru sahaja melakukan debut global yang pertama. Hatchback segmen B terbaru ini bakal menggantikan Honda Jazz untuk pasaran ASEAN dan Amerika Selatan.
Terdapat alasan yang tersendiri untuk pengguguran Honda Jazz di rantau ini. Honda City hatchback 2021 ini dijangka akan menjengah ke Malaysia pada suku kedua tahun 2021.
Di Malaysia pula, Toyota Yaris juga sudah dikemaskini untuk tahun 2021. Sebagai antara model paling laris Toyota, tentunya Toyota Yaris 2021 akan memberikan saingan terhebat kepada Honda City Hatchback ini. Jadi, bagaimana prestasi kedua-dua hatchback segmen B jenama Jepun ini?
Enjin dan trenkuasa
Kami pernah membincangkan jangkaan awal di mana Honda City sedan 2021 di Malaysia akan hadir dengan enjin 1.5 liter NA berbanding enjin 1.0 Turbo. Bagi spesifikasi Thailand, Honda City hatchback menggunakan enjin 1.0 liter VTEC Turbo 3 silinder (122 PS kuasa kuda, 173 Nm tork).
Untuk spesifikasi Honda City Hatchback 2021 di Malaysia, mungkin kita boleh melihat kepada spesifikasi Honda City sedan 2021. Penggunaan enjin 1.5 liter NA i-VTEC DOHC 4 silinder lebih realistik pada Honda City hatchback 2021 di Malaysia dengan padanan transmisi CVT.
Sementara itu, Toyota Yaris 2021 menggunakan enjin 1.5 liter NA dual VVT-i 2NR-FE 4 silinder yang mampu menjana sehingga 107 PS dan 140 Nm tork. Toyota Yaris 2021 turut menggunakan transmisi CVT.
Perbandingan dengan enjin Honda City Malaysia | ||
Model | Honda City Hatchback | Toyota Yaris |
Enjin | 1.5-liter i-VTEC | 1.5 liter NA dual VVT-i |
Kuasa kuda | 121 PS | 107 PS |
Tork | 145 Nm | 140 Nm |
Kelengkapan dalaman
Honda City Hatchback 2021 dilengkapi dengan skrin 8 inci Advanced Touch Connect bercahaya dengan fungsi Apple Carplay. Roda stereng pula turut dilengkapi dengan butang kawalan untuk panggilan telefon, radio dan sebagainya. Selain itu, ia turut mempunyai penyaman udara automatik, keyless start, kemasukan tanpa kunci pintar dan paddle shifter (varian RS sahaja).
Toyota Yaris 2021 pula dilengkapi dengan skrin 6.8 inci dengan sambungan Android Auto dan Apple Carplay. Terdapat juga fungsi penyaman udara automatik, lampu hadapan LED dengan fungsi Follow Me Home, keyless start dan pengecas nirwayar (wireless charger).
Satu lagi aspek praktikaliti ruangan dalaman terbaik ada pada Honda City Hatchback 2021. Penggunaan tempat duduk Ultra Seat mampu meningkatkan penggunaan ruang dengan lebih efisien. Ia juga ditawarkan pada Honda Jazz. Toyota Yaris 2021 tiada sebarang fungsi penggunaan ruang dalaman.
Ciri keselamatan
Honda City Hatchback 2021 didatangkan dengan 6 beg udara, ABS dengan EBD, kawalan kestabilan VSA, HSA dan ESS. Untuk kemudahan pemandu, terdapat fungsi Cruise Control, Kamera Pandang Belakang pelbagai penjuru dan stereng dengan butang kawalan.
Toyota Yaris 2021 pula dilengkapi dengan 7 beg udara dan Toyota Safety Sense (TSS). Ini adalah versi yang lebih ringkas berbanding Toyota Camry. Terdapat juga kamera 360 darjah yang memudahkan parkir. Selain itu, ia mempunyai Rear Cross Traffic Alert, Bantuan Titik Buta dengan dashcam hadapan terbina dalam.
Honda City hatchback 2021 adalah satu-satunya hatchback segmen B dengan Cruise Control manakala Toyota Yaris 2021 adalah satu-satunya hatchback segmen B dengan dashcam. Anda cenderung yang mana?
Pilihan sama hebat
Toyota Yaris 2021 dikemaskini di Malaysia sejurus selepas pelancaran Honda City sedan. Ketika itu, cakap-cakap mengenai debut Honda City Hatchback hanya sekadar khabar angin sahaja.
Adakah ini bermakna Toyota tersilap percaturan dari segi spesifikasi kerana ia dikemaskini sebelum kehadiran Honda City Hatchback? Tidak sama sekali. Kedua-duanya mempunyai tawaran nilai yang berbeza.
Honda City hatchback 2021 cenderung kepada mereka yang bergaya, gila adrenalin dan mahukan ruang dalaman yang lebih praktikal.
Toyota Yaris 2021 adalah hatchback yang lebih mementingkan keselamatan, jimat minyak dan ketahanan yang lebih dipercayai.
Walaubagaimanapun, ini bukan pengakhiran. Tunggu pelancaran rasmi Honda City hatchback 2021 di Malaysia tahun hadapan. Teruja?
Dapatkan respons dalam masa 24 jam!
2022 Honda City Hatchback 1.5 S
Upgrade
Add your car