Carta Tertinggi: Kereta 7 tempat duduk paling HOT di Malaysia tahun 2020! Undi sekarang!
Mersita · Dec 31, 2020 08:00 PM
0
0
Sebut saja kereta 7 tempat duduk, anda pasti terbayang MPV atau SUV crossover yang mesra keluarga. Kereta jenis ini mungkin agak membosankan bagi sesetengah orang, tapi percayalah, ada beberapa kereta yang sangat “wow” dalam kategori ini, dilancarkan pada tahun 2020.
Kereta 7 tempat duduk ini boleh jadi sebuah kereta yang sangat praktikal dan selesa bagi seisi keluarga dan pada masa yang sama, ada juga yang betul-betul membuatkan kami terkejut apabila kami berpeluang memandu-ujinya. Tidak dilupakan ada juga yang berjaya mengukir senyuman puas pada wajah si bapa dan ibu yang gilakan kereta.
Tanpa membuang masa, jom kita lihat senarai kereta 7 tempat duduk yang berjaya mengagumkan kami sepanjang tahun 2020!
Mitsubishi Xpander 2020
Tak kisahlah anda nak gelarkannya MPV atau SUV, satu perkara yang membuatkan Mitsubishi Xpander betul-betul mengagumkan ialah tahap praktikalitinya. Malah, saiznya adalah yang paling besar di kalangan pesaing-pesaingnya dan ia menawarkan ruang tempat duduk barisan ketiga yang amat luas.
Apabila anda masuk ke dalam kereta ini, anda akan disambut oleh ruang dalaman yang ringkas dan tidak menyemakkan. Ia didatangkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto yang membuatkannya tampak moden, ditambah lagi dengan kamera 360 darjah yang membantu pemandu mengemudi kereta di ruang-ruang sempit. Ia juga dilengkapi 18 pemegang cawan bagi memudahkan anda seisi keluarga untuk menikmati perjalanan jauh yang selesa.
Tapi, perkara yang paling mengejutkan kami ialah apabila SUV ini mula dipandu. Sterengnya terasa ringan dan pemanduannya sememangnya lembut dan ini amat sesuai untuk perjalanan jauh. Bagi sebuah SUV keluarga, Xpander memang menepati citarasa pembeli yang mahukan kemudahan pelbagai dalam satu pakej mampu-milik. Sayangnya ia cuma didatangkan dengan 2 beg udara.
Volkswagen Tiguan Allspace 2020
Volkswagen menggegarkan pasaran kereta kita pada bulan Ogos lepas dengan pengenalan tiga buah kereta-kereta hebat iaitu Passat R-Line, Arteon, dan juga Tiguan Allspace. Namun, Tiguan Allspace bukanlah hanya Tiguan biasa yang ditambah 2 tempat duduk semata-mata kerana tawarannya jauh lebih baik.
Perkara ini lebih ketara jika anda pilih varian 2.0 liter R-Line kerana bukan saja ia lebih besar dari Tiguan 5 tempat duduk biasa, ia juga lebih berkuasa. Varian 1.4 liter Highline pula boleh dipertimbangkan sebagai pilihan yang cukup menarik, kerana ia hanya RM 2,000 lebih mahal daripada Tiguan 5 tempat duduk. Jika tempat duduk ekstra yang anda mahukan, apa salahnya varian 1.4 liter saja yang dipilih.
Varian 2.0 liter R-Line pula mentransformasikan Tiguan Allspace dari hanya sebuah kereta keluarga kepada SUV yang berkuasa tinggi. Ia dikuasakan dengan enjin berpengecas turbo 2.0 liter (220 PS/350 Nm) sama seperti Golf GTI dan dipadankan dengan kotak gear DCT 7 kelajuan yang memacu semua roda – inilah dia kereta 7 tempat duduk yang dibina khas untuk ibu bapa yang masih mahukan kuasa memuaskan.
Mercedes-Benz GLB 2020
Apabila Mercedes-Benz GLB dilancarkan di Malaysia, kami cepat-cepat sarankan pada pembeli untuk memilih model ini daripada model GLA yang dijual di pasaran di atas sebab-sebab yang kukuh. Model GLA tersebut agak ketinggalan zaman jika diambil kira dengan harganya.
Walau dengan GLA serba baru yang dilancarkan beberapa minggu yang lalu, kami masih sarankan anda untuk pilih GLB jika anda mahukan kereta yang lebih praktikal dengan kerusi tambahan di barisan ketiga serta prestasi enjinnya.
Berbeza dengan GLA, Mercedes-Benz Malaysia juga menawarkan Mercedes-AMG GLB 35. Dikuasakan dengan enjin M 260 2.0 liter berpengecas turbo (306 PS/400 Nm), dipadankan dengan Speedshift 8G DCT AMG, GLB 35 boleh memecut 0 – 100 km/jam dalam masa 5.2 saat. Pastinya perjalanan menghantar anak anda ke sekolah akan jadi lebih seronok.
Mazda CX-9 2020
Selain dari prestasi, jika gaya dan lebih kepuasan yang anda mahukan, anda bolehlah pertimbangkan Mazda. Mazda CX-9 2020 mengekalkan rekaan Kodo-nya yang ranggi dan cantik. Tren kuasanya juga dikekalkan.
Oleh itu, apa yang baru? Bagi kereta ini, kebanyakan naik-tarafnya difokuskan pada kelengkapannya. CX-9 yang dinaik-taraf ini dipasang dengan sistem infotainmen 9 inci yang lebih besar, dilengkapi dengan Android Auto dan Apple CarPlay. Selain dari itu, penumpang di barisan ketiga kini dah tak perlu berebut port pengecas USB kerana setiap penumpang diberi satu port individu.
CX-9 yang dinaik-taraf ini juga didatangkan dengan kelengkapan baru dipanggil Off-Road Traction Assist, satu sistem kawalan cengkaman yang dipertingkatkan, bagi menggantikan butang kawalan cengkaman. CX-9 juga didatangkan dengan GVC Plus yang memberikan kereta 7 tempat duduk ini kehebatan pengendalian yang lebih seimbang.
Honda BR-V 2020
Honda BR-V boleh dikatakan kereta kegemaran bagi keluarga sejak dari dulu lagi, memandangkan ia pilihan popular di kalangan keluarga yang mahu menaiktaraf kenderaan mereka dari hatchback atau sedan. Dibina di atas platform kereta penumpang, BR-V memberikan keluarga perasaan serupa seperti kereta penumpang di dalam sebuah crossover.
Faceliftnya menonjolkan lagi rupa bentuk SUV tapi setakat itu sajalah. Ia masih lagi dikuasakan oleh enjin SOHC i-VTEC 1.5 liter dan dipadankan dengan kotak gear CVT automatik.
Sama seperti BR-V sebelum facelift, ia masih memberikan pemandu pengalaman pemanduan seperti kereta biasa dan ketinggiannya yang rendah memudahkan proses keluar-masuk penumpang dan barang di dalam kereta. Walaupun ia lebih kecil berbanding Xpander, BR-V masih lagi agak praktikal dengan pelbagai ruang simpanan kecil di dalam kabinnya.
Kia Grand Carnival 2020
Kami ‘reserve’ yang paling besar untuk yang akhir sekali. Sebagai permulaan, ia mempunyai jumlah tempat duduk yang paling banyak berbanding yang lain dalam senarai ini. Kia Grand Carnival dengan 11 tempat duduk ini mungkin pilihan yang paling mengagumkan dan ia bukanlah sebab saiz besarnya semata-mata.
Walau dengan badannya yang besar, ia amat mudah untuk dipandu dan dikemudi walaupun di kawasan bandar yang sempit. Sterengnya juga terasa sangat ringan. Dengan enjin TCI turbodiesel 2.2 liter, kuasanya juga lebih dari cukup.
Walaupun dengan barisan kerusi ekstra, Grand Carnival 11 tempat duduk sebenarnya dijual pada harga yang lebih rendah berbanding varian 8 tempat duduk yang terdahulu (RM 179,888 vs. RM 189,888). Nampak berbaloi, bukan? Walaupun hak pengedaran kenderaan Kia di Malaysia masih belum dapat dipastikan, wakil jualan Kia masih lagi beroperasi seperti biasa.
Inilah dia senarai kereta dengan 7 tempat duduk (atau lebih) yang pastinya menarik perhatian kami sepanjang tahun 2020. Kami tak nak syok sendiri, anda boleh undi untuk Anugerah Kereta Terbaik tahun 2020 oleh WapCar (COTY 2020). Salah satu kereta ini boleh menang kategori Anugerah Kereta Keluarga 7 Tempat Duduk tahun 2020 dan anda boleh undi di sini!
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.