Untuk maklumat anda, Porsche Taycan di Malaysia berharga lebih rendah berbanding di Thailand. Harga yang cukup “rendah” ini berkemungkinan oleh faktor cukai eksais yang hanya berkadar 10 % untuk kereta elektrik berbanding 60 % ke 105 % untuk kereta biasa.
Bercakap tentang kereta elektrik di Malaysia, soalan pertama yang akan diketengahkan ialah cukai jalan. Kadar cukai jalan di Malaysia untuk kereta elektrik dikira berdasarkan kuasa output oleh motor elektrik melalui unit kilo Watt (kW).
Industri menggunakan unit ini pada kenderaan elektrik berbanding PS kerana ia lebih bertepatan dengan falsafah elektrik. Untuk pengetahuan anda, 1 kW bersamaan dengan 1.35962 PS.
Oleh itu, bagaimanakah harga cukai jalan untuk kereta elektrik yang dijual di Malaysia setakat ini?
1. Nissan Leaf (110 kW) – RM 187
Nissan Leaf merupakan kereta elektrik yang kedua dijual secara rasmi di Malaysia. Sebelum ini, Renault Zoe adalah kereta pertama sebelum ia memasuki program perkongsian kereta daripada COMOS Malaysia.
Untuk maklumat anda, Nissan Leaf mempunyai cukai jalan yang berharga RM 187 (50 % diskaun). Diimport terus dari Jepun, Nissan Leaf dikecualikan cukai import dan hanya mengenakan cukai eksais sebanyak 10 %. Hal ini disebabkan oleh perhubungan FTA antara negara Jepun dan Malaysia.
Berdasarkan kaedah pengiraan yang terkini, cukai jalan Nissan Leaf (110 kW) dikira melalui:
100 kW ke 125 kW – RM 274, dan RM 0.50 untuk setiap kenaikan 0.05 kW (50 watt) daripada 100 kW.
Oleh itu, RM 274 + RM 100 = RM 374
Dengan diskaun 50 %, cukai jalan menjadi RM 187.
2. MINI Cooper SE (135 kW) – RM 724
Setelah habis dijual (25 unit) dalam tempoh kurang dari sebulan, MINI Cooper SE adalah kereta elektrik yang kelihatan riang. Kapasiti bateri (29.8 kWh) bukanlah tarikan utama tetapi kelincahan penggunaan dalam bandar yang menarik perhatian pasaran. Sebagai perbandingan, kapasiti bateri pada Honda E ialah 35.5 kWh.
Ramai menjangkakan cukai jalan yang rendah untuk sebuah MINI elektrik. Hakikatnya, ia berharga RM 724.
Cukai jalan MINI Cooper SE dikira melalui:
125 kW ke 150 kW – RM 524, dan RM 1.00 untuk setiap kenaikan 0.05 kW (50 watt) daripada 125 kW.
Oleh itu, RM 524 + RM 200 = RM 724
Seperti yang sepatutnya bukan?
3. BMW i3 (135 kW) – RM 42
Cukai jalan rasmi daripada laman sesawang BMW ialah RM 42. BMW i3 mempunyai kuasa output dan tren kuasa yang sama dengan MINI Cooper SE tetapi dengan pacuan roda belakang. Mengapakah perbezaan harga cukai jalan begitu ketara?
Sewaktu dipratonton di Malaysia Auto Show 2018, BMW i3 mempunyai enjin yang dikenali sebagai “range extender”.
Enjin ini mempunyai kapasiti 0.6 liter dengan 2-silinder. Dengan itu, BMW i3 berkemungkinan dikenali sebagai hibrid dengan enjin 0.6 liter. Oleh itu, harga cukai jalan mengikuti kapasiti enjin tersebut. Pelik tapi benar.
4. Porsche Taycan Turbo S (560 kW) – RM 11,494?
Kereta elektrik terbaharu di Malaysia ialah Porsche Taycan. Didatangkan dengan tiga varian (4S, Turbo, dan Turbo S), model ini sesuai untuk pembeli yang menginginkan kereta elektrik yang mewah daripada Jerman.
Untuk maklumat anda, setiap varian memiliki kuasa output yang berbeza dimana varian Turbo S memiliki output tertinggi.
Cukai jalan untuk Porsche Taycan sekiranya dikira melalui kaedah terkini ialah:
4S (390 kW) – RM 7,004
4S Battery Plus (420 kW) – RM 7,814
Turbo (500 kW) – RM 9,974
Turbo S (560 kW) – RM 11,594
Bagaimana harga boleh menjadi sebegitu?
Cukai jalan untuk kereta elektrik yang memiliki lebih daripada 150 kW dikira seperti:
Lebih daripada 150 kW – RM 1024, dan RM 1.35 untuk setiap kenaikan 0.05 kW (50 watt) daripada 125 kW.
Pengiraan Cukai Jalan untuk Kenderaan Elektrik
Untuk kereta persendirian dengan kuasa output 80 kW dan ke bawah, cukai jalan mengenakan harga seperti:
50 kW dan kebawah – RM 20
50 kW ke 60 kW – RM 44
60 kW ke 70 kW – RM 56
70 kW ke 80 kW – RM 72
Sekiranya 80 KW dan ke atas, cukai jalan untuk kenderaan elektrik dikira seperti:
80 kW ke 90 kW
RM 160, dan RM 0.32 untuk setiap kenaikan 0.05 kW (50 watt) daripada 80 kW
90 kW ke 100 kW
RM 224, dan RM 0.25 untuk setiap kenaikan 0.05 kW (50 watt) daripada 90 kW
100 kW ke 125 kW
RM 274, dan RM 0.50 untuk setiap kenaikan 0.05 kW (50 watt) daripada 100 kW
125 kW ke 150 kW
RM 524, dan RM 1.00 untuk setiap kenaikan 0.05 kW (50 watt) daripada 125 kW
Lebih daripada 150 kW
RM 1,024, dan RM 1.35 untuk setiap kenaikan 0.05 kW (50 watt) daripada 150 kW.
Apa akan berlaku sekiranya cukai jalan kereta dikira seperti kenderaan elektrik?
Seperti yang kita tahu, rakyat Malaysia sudah serik akan kereta berkapasiti besar yang mempunyai cukai jalan yang terlalu tinggi. Oleh itu, kami berikan anda pengiraan sendiri sekiranya kerajaan ingin menggunakan kaedah pengiraan berdasarkan kuasa output seperti kenderaan elektrik.
Proton X70 1.8T (135 kW) – RM 724
Honda City RS i-MMD (enjin + motor elektrik: 152 kW) – RM 1,078
*elektrik motor sahaja (80.17 kW) – RM 161
Mazda RX-8 (158 kW) – RM 1,240
Nissan Almera 1.0 Turbo (73 kW) – RM 72
Toyota Vios 1.5 (79kW) – RM 72
Perodua Myvi 1.5 (76kW) – RM 72
Perodua Axia 1.0 (50kW) – RM 44
Honda Civic 1.5 TCP (127 kW) – RM 564
BMW 320i Sport Line (137 kW) – RM 728
Dengan pengiraan kos yang telah kami jelaskan, adakah wajar untuk rakyat Malaysia membayar cukai jalan dengan harga yang seumpama? Kongsikan pendapat anda dalam ruangan komen di bawah
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.