Proton hilang takhta bukan sebab Perodua, tapi sebab budak universiti. Eh?
Mersita Β· Feb 21, 2021 04:00 PM
0
0
Pada awal 2000-an, kakitangan di Perodua naik hairan memikirkan kenapa angka jualan bagi model tertua mereka, Perodua Kancil, semakin meningkat. Anda pula mungkin terfikir, benda dah laku buat apa nak persoalkan?
Bukan apa. Kebiasaannya, permintaan bagi model yang sudah lama berada di pasaran selalunya semakin lama semakin berkurangan.
Walaubagaimanapun, antara tahun 1995 hingga 2002, angka jualan Perodua Kancil meningkat sehingga 56 peratus – dari 39,856 unit ke 62,279 unit – 6 peratus lebih tinggi daripada pertumbuhan keseluruhan industri.
Perkara ini bukanlah satu kebiasaan kerana pada tahun 2002, umur Kancil dah hampir menjejak 10 tahun!
Perodua Kancil dilancarkan pada 29 Ogos 1994 dan ia berasaskan Daihatsu Mira, dijual pula pada harga yang murah iaitu bawah RM 25,000 sahaja, membuatkannya kereta paling murah di Malaysia.
Pada awal 2000-an, apabila Perodua mula membangunkan Myvi generasi pertama, mereka perlu ‘hadamkan’ terlebih dahulu resipi kejayaan si Kancil. Kalau tidak, usaha mereka untuk memperkenalkan produk terlaris yang seterusnya akan sia-sia, seperti anak panah tanpa arah.
Buku ‘Dude, That’s My Car!’ nukilan Ahmad Tamimi Omar yang menceritakan kisah pembangunan Perodua Myvi menceritakan, “Melihat angka jualan ini rasanya seperti mendengar Tan Sri P. Ramlee yang mengasaskan Microsoft: ia tak masuk akal.
"Persoalannya, pada masa itu, ialah: “Kenapa ia terjadi? Bagaimana sebuah kereta yang berumur 10 tahun tiba-tiba jadi sangat popular?””
Sebelum kami jawab soalan ini, anda perlukan sedikit latar-belakang atau konteks supaya ia lebih jelas.
Perodua telahpun menjadi jenama kereta No.1 paling laris di Malaysia sejak 15 tahun yang lalu. Syarikat ini yang sering digelar sebagai P2 ditubuhkan 10 tahun lebih lambat daripada Proton (P1) pada tahun 1993.
Sejak bertahun lamanya, Perodua sering dirujuk sebagai ‘adik’ kepada Proton yang hanya boleh menghasilkan kereta-kereta kompak.
Pada tahun 1995 iaitu tahun produksi penuh pertama Perodua, syarikat tersebut hanya dapat mencapai satu pertiga daripada angka jualan Proton; 39,856 unit oleh Perodua dan 140,618 unit oleh Proton.
Proton cukup selesa di tangga teratas sebagai jenama kereta No.1 di Malaysia pada masa itu.
Walaubagaimanapun, satu perkara yang ramai orang terlepas pandang, termasuklah Proton sendiri, ialah Perodua berjaya mencapai prestasi ini dengan hanya satu model berkos rendah iaitu Kancil. Walhal, Proton ada 6 model yang membantu menaikkan jualan tersebut iaitu Saga sedan, Saga Aeroback, Wira sedan, Wira Aeroback, Perdana, dan Satria.
1 produk ‘kuat’ lawan 6 produk untuk capai 1/3 daripada prestasi Proton – mana satu yang lebih hebat?
Walaupun Proton mempunyai barisan model yang lebih banyak, bahagian pasaran Proton semakin menurun kepada 49.5 peratus – menyelinap ke bawah tahap 50 peratus pada tahun 1996 – dengan 176,089 unit terjual.
Di samping itu, Perodua pula terus berkembang dengan mencapai 15.2 peratus (peningkatan 1 peratus) dengan 54,291 unit terjual dalam tahun yang sama. Jumlah keseluruhan industri (total industry volume, TIV) pula ialah 176,089 unit.
Tapi, ada satu perkara yang menghairankan. Pelanggan Proton bukannya berhijrah ke Perodua, dan perkara ini membuatkan Perodua makin garu kepala. Apa sebenarnya yang terjadi?
Jawapannya: Ada tiga faktor yang memainkan peranan besar.
Faktor yang pertama ialah percambahan jumlah universiti dan kolej samada yang awam mahupun yang persendirian. Penghujung tahun 90-an ialah masa dimana pilihan untuk pendidikan tertiari tempatan menjadi semakin banyak.
Wawasan 2020 digembar-gemburkan dan bagi menyokong wawasan ini, negara perlu menghasilkan lebih banyak tenaga kerja berkelayakan dan mengembangkan bakat tempatan.
Seterusnya, faktor kedua pula berkait rapat dengan yang pertama iaitu peningkatan dalam permintaan untuk komputer peribadi.
Pada masa itu, ia jadi satu keperluan yang mampu-milik di kalangan pelajar-pelajar universiti dan kolej. Zaman sekarang orang guna komputer riba, tapi zaman dulu-dulu pelajar-pelajar ini ‘setup’ ‘CPU tower’ dan ‘CRT monitor’ di hostel/dorm mereka.
Gabungkan kedua-dua faktor ini dan anda akan mula faham mengapa budak Felda yang masuk UiTM ataupun budak Kelantan yang datang belajar ke TAR College akhirnya akan perlukan ‘ride’ atau kenderaan baru yang lebih praktikal berbanding Honda EX5 kesayangan mereka.
Ingat, zaman dulu rangkaian pengangkutan awam tak semaju dan seluas zaman sekarang.
Namun, masih ada pelajar-pelajar yang keluarganya tak mampu untuk membeli kereta baru semata-mata mereka dapat masuk ke kolej atau uni.
Akhirnya, faktor ketiga ialah perubahan dalam struktur pinjaman kereta (sewa beli). Setelah Krisis Kewangan Asia 1998 terjadi, bank memperkenalkan tempoh pinjaman baru 9 tahun yang menjadikan bayaran bulanan kereta jauh lebih rendah berbanding sebelumnya.
Kesemua faktor-faktor ini berjaya menaikkan angka jualan Kancil, membuatkannya laku bak pisang goreng panas.
Namun, daya tarikan si Kancil bukannya dilihat oleh pembeli kereta pertama yang muda-muda sahaja.
“Yang hebatnya, Kancil juga berjaya membantu peniaga-peniaga kecil, terutamanya mereka yang terpaksa bergantung kepada mod pengangkutan untuk bertemu dengan pelanggan mereka. Jika anda terfikirkan penjual CD cetak rompak, anda silap; ingat semula kakak-kakak jual nasi lemak yang berniaga di luar sekolah ataupun kilang-kilang,” tulis buku ‘Dude, That’s My Car!’.
Memandangkan adanya satu generasi pemandu-pemandu muda yang mengambil lesen dengan menggunakan Kancil membuatkan kereta kenit ini lebih selesa bagi mereka. Ramai orang muda-muda dahulu memilih Kancil sebagai kereta pertama mereka.
Ini bukannya bermaksud yang Proton tak sedar dengan apa yang terjadi. Rakan teknikal Proton pada masa itu, Mitsubishi Motors, tidak dapat menawarkan sebarang kereta kompak berspesifikasi rendah. Oleh itu, Proton terpaksa berganding dengan Citroen dan menghasilkan Proton Tiara berasaskan Citroen AX pada tahun 1998.
Model ini malangnya gagal teruk.
Pada tahun 2001 pula, Proton mencuba sekali lagi dengan kereta kompak Proton Juara berasaskan Mitsubishi Townbox. ‘Kereta mayat’ ini gagal lebih teruk daripada Tiara.
Sebenarnya, Mitsubishi ada beberapa kereta ‘kei’ kompak yang bersaing dengan Daihatsu Mira/Perodua Kancil, contohnya Mitsubishi Minica dan Pajero Mini. Namun, kami kurang arif tentang kesulitan yang dihadapi di sebalik tabir antara Proton dan Mitsubishi.
Ada yang percaya dengan spekulasi yang mengatakan Proton dan Perodua dikatakan tidak boleh bersaing antara satu sama lain.
Namun, perkara ini hanyalah khabar angin semata-mata. Kedua-dua syarikat itu tidak pernah mengesahkan perkara ini, termasuklah MITI.
Penjelasan yang lebih masuk akal ialah perbezaan dalam kepakaran utama rakan teknikal Proton dan Perodua masing-masing, bukannya arahan spesifik yang datang dari kerajaan.
Pada tahun 2002, Proton mencapai rekod jualan baharu dengan 214,985 unit terjual (rekod itu masih bertahan ke hari ini). Walaubagaimanapun, pada tahun 2006, jualannya menurun hampir separuh kepada 115,706 unit sahaja.
Ini juga menjadi titik permulaan bagi Perodua yang berjaya merampas takhta No.1 dari tangan Proton.
Tahun 2006 merupakan satu tahun penting bagi Perodua dimana ia berjaya menerajui ‘abangnya’ iaitu Proton sebagai jenama kereta No.1 Malaysia.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan ini ialah kehadiran Perodua Myvi yang dilancarkan pada bulan Mei 2005. Pada masa ini, Perodua mula ‘mencantas’ pelanggan Proton.
Tak kisahlah kalau Myvi jenis hatchback manakala Proton pula sedan. Konsumer beli kereta ikut bajet dan kemampuan, bukannya ikut segmen kenderaan.
‘Timing’nya tepat sekali. Hampir 10 tahun selepas Kancil dilancarkan, orang-orang yang membeli Kancil dahulu (ataupun Viva dan Kelisa) telah beralih ke fasa yang baru dalam hidup mereka dan Perodua pula dah ‘standby’ dengan kereta yang tepat untuk golongan ini.
Kejayaan Perodua Myvi boleh dijadikan kajian kes yang bagus untuk perancangan produk. Perodua menang bukannya semata-mata kerana bersaing terus dengan Proton.
Proton hilang bahagian pasaran mereka bukannya kepada Perodua, tapi kepada kereta-kereta seperti Toyota Vios, Honda City, dan Toyota Avanza. Trio ini mula membanjiri jalan raya pada awal 2000-an. Perodua tiada kena mengena dengan penurunan prestasi Proton pada tahun 2000-an.
Selain daripada bersaing dengan Proton, Perodua mengorak langkah dengan sasaran untuk kejayaan jangka-masa panjang.
Perodua mengambil masa untuk memastikan mereka ada model baharu untuk pelanggan mereka yang baru habis belajar, memulakan kerjaya pertama, mula berkahwin dan mendirikan rumahtangga supaya pelanggan mereka tidak beralih arah ke Proton.
Lima tahun selepas Myvi diperkenalkan, Perodua melancarkan Alza dengan 5+2 tempat duduk pada 2009 kerana, seperti jangkaan anda, pasangan yang keluar ‘dating’ dengan Kancil dan Myvi kini dah mula beranak-pinak.
Hari ini, golongan yang memulakan zaman bekeluarga mereka dengan Alza sudah tak perlukan MPV.
Memandangkan SUV jadi trend terkini, Perodua D55L baharu nanti akan menawarkan pilihan yang lebih ‘glamor’ dan ‘chic’ berbanding tawaran yang ada pada Perodua Aruz.
Proton ‘smash’ balik untuk bersaing dengan Perodua
Ingat, sekejap kita berada di atas, sekejap lagi kita jatuh ke bawah pula. Perodua takkan berada di atas selama-lamanya dan mereka patut sedar akan perkara ini kerana dahulu, mereka yang ‘mengejar’ dan bukannya yang ‘dikejar’.
Walaubagaimanapun, generasi baru kakitangan Perodua yang menyertai syarikat tersebut setelah ia berjaya menjadi No.1 yang juga tak pernah merasa kepayahan ‘mengejar’ lebih cenderung untuk berasa selesa dengan kedudukan sedia ada.
Pendek cerita, rasa kebal.
Proton yang dipengaruhi Geely sekarang bukanlah Proton yang sama seperti zaman 2000-an dulu.
Apa yang Perodua rasakan betul dan sesuai dahulu mungkin tak cukup padu untuk menyaingi Proton masa kini yang sudah diperbaharui.
Proton sudah merasa zaman gelapnya dan ini membuatkan mereka tidak gentar mencuba benda-benda baru.
Perkara ini boleh dilihat dengan jelas pada cara mereka memasarkan produk mereka kebelakangan ini.
Lain pula dengan Perodua, dimana kini mereka dilihat sebagai syarikat besar yang masih konservatif dan ‘play safe’ untuk mengekalkan posisi mereka.
Proton pastinya akan menggunakan taktik ‘cantas’ dan ambil kesempatan ke atas ketakutan Perodua yang takut hilang takhta.
Perodua ambil masa 12 tahun untuk ‘overtake’ Proton. Proton mahu merampas semula posisi No.1 sepantas 6 tahun. “Proton Boleh”? Kita tunggu dan lihat.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.