Daihatsu sasar pelancaran xEV pertama di Indonesia menjelang 2025 - akan guna asas Ayla/Axia?
Faisal · Jul 24, 2023 05:54 PM
0
0
Anda mungkin tahu bahawa Toyota sedang giat memperkembangkan elektrifikasi di Indonesia dan ini dapat dilihat melalui pelancaran Toyota Yaris Cross Hybrid, Toyota Innova Zenix Hybrid dan Toyota bZ4X.
Dalam acara sambutan kenderaan Daihatsu ke 8 juta yang dipasang di sana baru-baru ini, Kementerian Industri Indonesia, Agus Humiwang Kartasasmita berkata bahawa jenama Daihatsu akan melancarkan model elektrik menjelang tahun 2025. Katanya, “Kerajaan menggalakkan PT Astra Daihatsu Motor (ADM) untuk menawarkan kenderaan elektrifikasi (xEV) di Indonesia menjelang 2025”.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran dan Perancangan Korporat ADM, Sri Agung Handayani memberitahu OtoDriver bahawa pengeluar itu merancang untuk mencapai matlamat kerajaan dengan melancarkan model xEV dalam masa yang diberi.
Sri mengulas, “Kami berminat untuk melancarkan model xEV baru menjelang 2025. ADM akan melihat sama ada elektrik atau hybrid lebih relevan buat masa sekarang”.
Bagi anda yang belum tahu, Daihatsu telah mempamerkan kereta konsep elektrik penuh (EV) melalui Ayla generasi lalu di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2022. Kereta itu menggunakan pek bateri 32 kWj dan motor elektrik 60 kW. Menariknya, kapasiti bateri itu adalah yang terbesar dalam segmen A.
Secara amnya, xEV pertama Daihatsu di Indonesia mungkin berasaskan Xenia tetapi ia mungkin juga hybrid. Lagipun, media Indonesia pernah membuat spekulasi bahawa Toyota sedang membangunkan versi hybrid buat Veloz yang mana ia mungkin dilancarkan seawal GIIAS 2023 pada Ogos ini.
Menurut laporan rakan AutoFun ID kami, model hybrid Toyota ini mungkin berharga sekitar 300 juta IDR (~RM 93k).
Apapun, menurut OtoDriver, xEV pertama Daihatsu akan menggunakan asas dari Ayla. Secara tidak langsung, persoalan pasti tertimbul sama ada Axia kita nanti akan ada versi elektrifikasi atau tidak.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.