Kira-kira 4 bulan setelah Perodua Axia generasi 2023 D74A diperkenalkan, Perodua kini melancarkan pula Axia spesifikasi permulaan yang ditawarkan melalui varian 1.0 E dengan harga RM 22,000 (tanpa insurans).
Dijual bersama dengan Axia baharu, ia sebenarnya adalah model facelift generasi pertama yang akan dijual untuk menyandang posisi sebagai kereta paling mampu milik di pasaran Malaysia.
Juga baca: Perodua Axia D74A 2023 dilancarkan di Malaysia - Harga dari RM 38.6k, 1.0L, D-CVT, 6 beg udara
Secara tidak langsung, penawaran Perodua Axia sekarang ini adalah seperti di bawah:
- Axia 1.0 E: RM 22,000
- Axia 1.0 G: RM 38,600
- Axia 1.0 X: RM 40,000
- Axia 1.0 SE: RM 44,000
- Axia 1.0 AV: RM 49,500
Menariknya, harga Axia 1.0 E yang telah diiktiraf dengan penarafan keselamatan ASEAN NCAP sebanyak 4-bintang oleh Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) ini menyaksikan penurunan sebanyak RM 2,090 berbanding harga jualan RM 24,090 yang lalu.
Dari segi teknikal, ia kekal menggunakan enjin 1.0L NA 3-silinder 1KR-VE (68 PS, 91 Nm) yang digandingkan dengan transmisi manual 5-kelajuan.
Penggunaan petrolnya pula didakwa pada 4.4 liter/100 km, sedikit tinggi daripada 4.29 liter/100 km yang dicapai oleh Axia D74A.
Secara estetik, Axia 1.0E MT ini menampilkan sedikit pembaharuan pada bahagian gril dan bampar depan. Apapun, rodanya kekal menggunakan jenis keluli bersaiz 14-inci (175/65/R14), 2 beg udara, pembuka tutup tingkap jenis berkuasa untuk keempat-empat pintu, pengunci utama dan kluster bermeter penuh.
Bagi anda yang belum tahu, Axia 1.0E MT terkenal sebagai ‘Axia sekolah memandu’. Menariknya, pembeli varian permulaan ini sebenarnya banyak datang dari individu persendirian.
Sama seperti sebelum ini, Axia 1.0E MT 2023 ditawarkan dengan warna Granite Grey, Glittering Silver dan Ivory White. Waranti yang dilengkapkan pula merangkumi 5 tahun tanpa had perbatuan.
Kata Dato' Sri Zainal Abidin Ahmad selaku CEO dan Presiden Perodua, "Berdasarkan perbincangan kami dengan institusi-institusi kewangan tempatan, kami mendapati hanya RM 300 diperlukan untuk membayar kos sewa beli setiap bulan untuk memiliki Axia E. ini adalah kos sama yang perlu dibayar oleh seseorang untuk membeli motosikal baharu secara sewa beli".