Selepas Mazda, Bermaz juga akan ekspot Kia Seltos dan Carnival dari Malaysia
Mersita · Apr 2, 2021 05:42 PM
Syarikat pengilangan Kia yang baru saja ditubuhkan secara usaha sama antara Bermaz Auto Berhad dan Kia Motors Corporation – Kia Malaysia Sdn Bhd (KMSB) – akan menjadi hab pengilangan serantau Kia.
Kia buat masa ini mempunyai hanya satu lagi fasiliti pengilangan di rantau ASEAN yang terletak di Vietnam, beroperasi sebagai pengilangan usaha sama bersama Truong Hai Auto Corp (Thaco). Walau bagaimanapun, kilang ini kebanyakannya menghasilkan kenderaan pemanduan sebelah kiri (LHD).
Kilang Thaco dahulunya pernah mengekspot sejumlah kecil Kia Carnival berpemandu sebelah kanan (RHD) ke Thailand. Tetapi, Kia Carnival generasi terbaru yang dijual di Thailand kini diimpot dari Korea.
Usaha sama pengilangan Kia Malaysia akan dimiliki 33.3 peratus oleh Bermaz Auto, manakala yang selebihnya dimiliki oleh Kia Motor sendiri. Bermaz Auto mengesahkan yang fasiliti pengilangan berkenaan akan dibina di kampus perkilangan Inokom di Kulim, Kedah – tapi di dalam fasiliti yang berasingan dengan Mazda.
Kia Malaysia akan menggunakan fasiliti yang sedia ada dan jarang digunakan. Bermaz belum mengesahkan hal ini, tapi kami percaya yang ia adalah fasiliti sedia ada yang digunakan oleh Hyundai untuk memasang Hyundai Santa Fe.
Semalam, Kia mengumumkan yang ia telah melantik subsidiari Bermaz Auto iaitu Dinamikjaya Motors Sdn Bhd (DJMSB) sebagai pengedar baharunya di Malaysia – menggantikan Naza Kia Malaysia efektif serta merta.
Dinamikjaya dimiliki 65 peratus oleh Bermaz Auto, dimana subsidiarinya Bermaz Motor juga pengedar bagi kenderaan Mazda di Malaysia.
Barisan model-model dipasang tempatan (CKD) akan bermula dengan Kia Seltos dan Kia Carnival. Model ketiga yang belum diumumkan lagi akan menyertai barisan ini tidak lama lagi. Besar kemungkinannya ia adalah satu lagi model SUV – samada Sportage ataupun Sorento.
Sedan sudah boleh disingkirkan dari jangkaan kerana Cerato bersaing di dalam segmen C yang semakin pupus. Ia tidak akan cukup bagus untuk menyaingi Honda Civic, manakala Kia K5 hanya boleh didapati dalam bentuk pemanduan sebelah kiri.
Destinasi eskpot belum lagi diumumkan. Namun, buat masa sekarang, kilang Mazda Malaysia di Kulim sudahpun mengekspot CX-5 dan CX-8 ke Thailand dan Filipina. Pasaran Filipina juga diwakili oleh Bermaz – di bawah subsidiari berbeza iaitu Berjaya Auto Phillipines.
Lebih banyak maklumat terperinci akan diumumkan nanti dalam sidang media bersama antara Bermaz Auto dan Kia Motors.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.
Komen