Jualan suku ketiga 2022 (3Q22) Perodua meningkat 5% kepada 69,011 unit berbanding 65,719 unit yang didaftarkan pada suku kedua 2022 berikutan rantaian bekalan automotif yang semakin baik.
“Peningkatan pendaftaran pada suku ini (3Q22), menunjukkan kebanyakan isu utama dalam rantaian bekalan automotif telah pulih. Kini tiba masanya untuk menambah baik pengeluaran kerana kami perlu mengurangkan tempoh menunggu para pelanggan kami yang dihargai,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.
Bagi perbandingan suku-ke-suku, pendaftaran kenderaan melonjak sebanyak 216.5% berikutan sekatan yang dikenakan antara Jun dan pertengahan Ogos tahun lepas ke atas hampir semua aktiviti ekonomi di negara ini bagi mengekang peningkatan kes Covid-19. Antara Julai dan September 2021, Perodua hanya menjual sebanyak 21,803 unit.
Bagi perbandingan tahun setakat ini, jualan meningkat sebanyak 64.9% kepada 196,354 unit dari Januari hingga September 2022 berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Sasaran jualan Perodua untuk tahun 2022 adalah 247,800 unit.
Baca: Perodua sasar 250k unit jualan untuk tahun 2022, target paling tinggi pernah diletakkan!
Sementara itu, untuk perbandingan bulan ke bulan, jumlah pendaftaran kenderaan Perodua sedikit susut iaitu 5.43% kepada 24,626 unit pada September berbanding 26,039 unit yang didaftarkan pada Ogos 2022 sebagai sebahagian daripada pelan memaksimumkan pendaftaran kenderaan syarikat kereta kompak itu pada suku keempat tahun ini.
Baca: Perodua tak akan naikkan harga walaupun nilai tukaran Ringgit rendah, sekurang-kurangnya untuk tahun 2022
“Buat masa ini, kami memberi fokus untuk meningkatkan momentum kami ke suku keempat tahun ini serta memaksimumkan pengeluaran pada suku pertama tahun depan bagi memastikan semua pelanggan kami yang menempah kenderaan Perodua mereka dalam tempoh pengecualian cukai jualan akan menerima kereta mereka pada atau sebelum 31 Mac 2023,” kata Dato' Sri Zainal.
Setakat 30 Jun 2022, bilangan tempahan tertunggak yang layak untuk pengecualian cukai jualan adalah melebihi 200,000 pesanan.
Mengenai pengeluaran, Perodua telah mencapai pengeluaran bulanan tertinggi setakat tahun ini dengan 29,077 unit pada September, manakala jumlah setakat tahun ini (Januari hingga September 2022) adalah pada 206,837 unit.
Baca: Enjin 1.0 Turbo baharu untuk hatchback mini Toyota-Daihatsu, Perodua Axia Turbo D74A menyusul?