Mengimbau kenangan: Pelancaran Proton Saga dan Kilang EON, 9 Julai 1985!
Zamil Syaheer · Jun 20, 2021 02:00 PM
0
0
Bagi sesetengah individu, 9 Julai 1985 mungkin adalah satu tarikh yang tidak memberikan apa-apa makna kepada mereka namun bagi Malaysia, ia menandakan tarikh bersejarah apabila mula menjadi antara negara yang mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan kereta buatan sendiri.
Ia adalah hari di mana Proton Saga mula dikeluarkan, kira-kira dua tahun selepas penubuhan Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON).
Sejarah antara jenama nasional ini dan Proton Saga tidak dapat dipisahkan. Bermula hanya dari sehelai kertas kosong, Proton adalah cetusan idea daripada perdana menteri keempat Malaysia iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1979 untuk menjadi pembuat kereta nasional bagi membantu meningkatkan perindustrian negara.
Kelulusan kabinet berjaya diperolehi pada tahun 1982 dan pada 7 Mei 1983, syarikat automotif pertama Malaysia ditubuhkan.
Pengeluaran Proton Saga pertama dibina di atas landasan Mitsubishi selepas pengeluar kereta Jepun itu bersetuju mewujudkan usaha sama dengan HICOM untuk menghasilkan kereta pertama Malaysia.
Pada masa itu, kilang Proton merancang untuk mengeluarkan sehingga 120,000 buah kereta setahun. Tidak ada syarikat di Malaysia yang menjual lebih daripada 23,000 buah kereta setahun untuk satu jenis atau model.
Kerana 'economies of scale', jikalau kereta Malaysia tidak dapat dijual dengan banyaknya, kerugian yang besar akan melanda syarikat Proton. Pada masa itu, 64 peratus komponen dalam Proton Saga adalah dari vendor tempatan.
Sebelum Proton Saga dilancarkan, sebuah pertandingan memilih nama kereta kebangsaan negara yang pertama telah pun diadakan, dan nama model diambil daripada nama yang dipilih. Pemenangnya, Sarjan (B) Ismail Jaafar, seorang tentera bersara memilih nama "Saga".
Secara amnya, ramai menganggap nama itu dipilih kerana biji saga (Adenanthera pavonina) amat mudah didapati di Malaysia, takpun maksud dan nama Saga itu ialah “permulaan era” atau “zaman” pembangunan industri negara kita.
Tetapi tahukah anda, Saga sebenarnya membawa maksud Safety, Achievement, Greatness, Ability? Idea ini muncul apabila Ismail sedang bermain Scrabble bersama rakan-rakan dari Bahagian Kedua Tentera Darat di Pulau Pinang.
Model Proton Saga mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan pembeli kereta di Malaysia dan pada 16 Mac 1989, ia dilancarkan pula di United Kingdom dan laris dijual di mana sasaran jualan di negara itu bagi 12 bulan berjaya dicapai hanya dalam tempoh enam bulan.
Iklan ‘Teknologi Jepun, Gaya Malaysia’ merupakan titik penjualan utama di negara tersebut. Dalam masa dua tahun, Proton MPI (nama di UK), telah berjaya menjual 22,000 unit Saga, menjadikan ia syarikat kenderaan baru yang berkembang dengan cepat disana.
Proton Saga juga mempunyai rekod pengeluaran yang paling lama antara model-model Proton, iaitu selama 23 tahun, sehinggalah ia diganti dengan Saga generasi kedua pada tahun 2008. Lebih daripada 1.2 juta unit dijual, dan ini menjadikan model generasi pertama ini model yang paling laris dijual Proton.
More than 10 years experience, specialising in Motorsports, Advanced Driving, Event Management & Creative Design. He enjoys driving (drifting, actually) anything RWD with a proper LSD over the limit. Versatility is his motto and mantra.