Pengeluar Korea, Kia membuat kejutan dengan mendedahkan Sportage 2022 serba baharu. Kini dalam generasi kelima, Kia Sportage menerima rombakan di luar dan dalam menggunakan bahasa rekaan ‘Opposites United’ terbaharu jenama itu yang mula diperlihat pada Kia EV6.
Luaran – Rupa baharu menonjol
Sama seperti crossover bateri-elektrik (BEV), Sportage mengenakan rupa depan menonjol yang didominasi gril Tiger Nose lebar, diapit oleh DRL LED segi tiga dan lampu depan berbentuk berlian.
Ruang greenhouse (bahagian atas kabin) dikemaskan dengan garisan beltline hitam atau krom yang seterusnya memberikan kesan 'floating roof'. Sama seperti Kia Carnival, tiang-D Sportage juga diberikan tekstur.
Terus menyerlahkan profil SUV ini ialah bumbung hitam yang menjadi aksesori pilihan (pertama kali untuk Sportage), serta rekaan rim baharu.
Bahagian belakang mirip seperti EV6 yang lebih tinggi, cuma dibezakan dengan kemasan bampar belakang yang lebih menyerlah. Lampu belakang rekaan baharu dihubungkan dengan strip halus melintang.
Juga baca: Nak beli Alphard recond? Ini 30 bukti bergambar kenapa anda patut tunggu untuk Kia Carnival CKD
Dalaman – Skrin besar, lebih pilihan
Di bahagian dalam, Sportage mendapat kabin yang juga kontemporari, dimana daya tarikan utamanya ialah paparan melengkung untuk paparan instrumen dan juga sistem infotainmen.
Tombol gear jenis rotary (berputar) diletakkan pada konsol tengah berkilat di antara pemegang cawan dan suis-suis fizikal.
Kia berkata mereka akan menawarkan pilihan warna dalaman ‘dinamik dan menyerlah’, selain ‘teknik kemasan bertenaga tambahan’ yang juga akan merangkumi rekaan krom dan cetakan tampo.
Spesifikasi, varian, pelancaran pasaran
Kia Sportage serba baharu ini bakal dilancarkan secara global hujung tahun ini. Walaubagaimanapun, tiada maklumat spesifikasi didedahkan setakat ini.
Sementara itu, Kia berkata terdapat varian baharu yang akan dimasukkan, iaitu Sportage X-Line. Ini dikatakan lebih berjiwa off-road dan 'rugged', kerana pengeluar itu berkata ia akan mendapat ‘bampar unik, pemijak tepi, dan rak bumbung melengkung’.
Komen