12 kereta ini telah dihentikan di Malaysia pada 2021 – Jazz, Outlander, Myvi Manual & banyak lagi!
Zamil Syaheer · Feb 20, 2022 02:00 PM
0
0
Rakyat Malaysia mengucapkan selamat tinggal kepada 12 model ini pada 2021
Ada yang dihentikan kerana jualan yang lemah, yang lain disebabkan faktor usia
Mana yang akan anda rindui?
Sekali lagi, planet biru besar yang kita diami pada masa ini telah mengorbit penuh mengelilingi matahari dan tahun 2021 sudahpun berakhir. Walaupun sesetengah mungkin kekal optimistik bahawa 2022 mungkin lebih baik dengan pelbagai model yang akan datang, kami ingin mendedikasikan artikel ini kepada kereta yang tidak akan masuk ke tahun baharu.
Beberapa model ini disanjung oleh pemilik dan peminat mereka yang mengalirkan sedikit air mata apabila perpisahan yang menyayat hati diumumkan. Yang lain pergi secara senyap-senyap tanpa jejak tetapi ketiadaan mereka dirasai oleh segelintir yang menyedarinya.
Walau apa pun, 12 model ini (dan 1 jenama) telah dihentikan di Malaysia sama ada kerana jualan yang lemah, terlalu lama di pasaran, atau hanya disebabkan pertukaran pengedar. Tanpa berlengah-lengah lagi, inilah dia senarai tersebut.
Citroen
Kami memulakan artikel ini dengan jenama yang mencipta gelombang 30 tahun yang lalu tetapi tidak diendahkan sepenuhnya oleh pengedar baharunya. Citroen ialah wakil terbaik bagi semua perkara Perancis dalam industri automotif, dengan kereta unik yang sepadan dengan individu yang menganggap mereka mempunyai personaliti sipi yang serupa.
Malangnya, tidak semua orang berkongsi penghargaan yang sama untuk Francophiles yang aneh, terutamanya di Malaysia. Barisan terakhir Citroen terdiri daripada C3 Aircross dan Grand C4 SpaceTourer (dahulunya C4 Picasso) yang amat mengagumkan, tetapi hanya segelintir sahaja yang menghargai produk sebegini.
Jadi, apabila Naza memutuskan untuk melepaskan kedua-dua jenama Citroen dan Peugeot ke Bermaz Auto Alliance (BAuto), pengedar baharu hanya mengambil singa Perancis, meninggalkan chevron berganda (dan sub-jenama mewahnya, DS Automobiles). Walaupun kami menghargai sedikit keseronokan dan kegilaan dalam dunia automotif, realiti yang menyedihkan ialah ia tidak laku.
Selepas 3 generasi yang menjangkau hampir 20 tahun di Malaysia, Honda Jazz telah meninggalkan Malaysia untuk selamanya. Ia digantikan dengan City Hatchback yang mengekalkan kepraktisan hatchback tersebut tetapi mendapat rupa yang lebih atletik.
Namun begitu, Jazz telah memenangi banyak pembeli dan menjadi asas dalam populariti hatchback di Malaysia. Reka bentuknya yang tinggi menarik bukan sahaja kepada pembeli muda, tetapi juga dengan pembeli yang lebih tua yang mahukan kereta yang mereka boleh masuk dan keluar dengan mudah.
Walaupun Jazz generasi terakhir GK5 bukanlah kegemaran kami, ia masih antara hatchback yang paling luas dan praktikal dalam kelasnya. Sentimen itu juga benar apabila anda melihat bilangan pemilik yang berkongsi macam-macam benda mereka berjaya masukkan ke dalam hatchback cilik ini.
Salah satu daripada beberapa model Honda yang diimport sepenuhnya (CBU) dan bukannya pemasangan tempatan (CKD), Honda Odyssey dianggap sebagai model utama kerana harganya yang tinggi dan rupa yang megah.
Walaupun telah diberi kemas kini pada akhir 2020 dan dilancarkan di Indonesia pada Februari 2021, kami terkejut apabila mendengar berita bahawa model itu akan dihentikan sepenuhnya. Jualan yang lemah dan penutupan kilang Sayama, kilang dimana Odyssey dibina adalah puncanya.
Oleh itu, peluang untuk model facelift memasuki Malaysia semakin tipis. Jika anda berminat untuk membeli satu-satunya varian pra-facelift 2.4 EXV, minta maaf, kerana Honda Malaysia telah berkata bahawa Odyssey telah habis dijual di Malaysia pada bulan Julai 2021. Ini cukup untuk mengatakan bahawa pesaing Honda kepada Toyota Alphard berkemungkinan kekal mati, buat masa ini.
Hyundai Ioniq
Sungguh mengejutkan melihat Hyundai Ioniq dijual sekian lama di Malaysia, tetapi tahun 2021 adalah tahun yang menyaksikan juara keselamatan yang jimat minyak ini dihentikan di negara ini.
Dilancarkan pada tahun 2016, Ioniq pemasangan tempatan (CKD) bertujuan untuk menjadi kereta hibrid mampu milik untuk rakyat Malaysia dengan harga bermula kurang daripada RM 100k. Walaupun begitu, kereta hibrid masih tidak diterima secara meluas di sini pada masa itu, dan digabungkan dengan nilai 'lambang H senget' yang dianggap rendah, Ioniq tidak dipandang tinggi.
Selain itu, Hyundai juga telah memutuskan untuk menjadikan nama Ioniq sebagai jenama tersendiri yang khusus dalam kenderaan elektrik (EV). Walaupun tiada pengesahan daripada Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) bahawa jenama EV itu akan masuk ke Malaysia, terdapat sekurang-kurangnya satu unit Ioniq 5 di negara ini yang dimiliki oleh Sultan Johor.
Kia Seltos mungkin mencatat rekod bagi tempoh paling singkat untuk kereta baharu yang akan dijual di Malaysia. Kurang daripada setahun selepas harga disahkan, Seltos telah dihapuskan dari laman web Kia Malaysia, meninggalkan Carnival yang baru dilancarkan sebagai model tunggalnya.
Seltos pada mulanya telah dipratonton kepada media oleh Naza pada Februari 2020 tetapi pelbagai nasib malang mula mengalir ke dalam SUV buatan India itu sebelum ia dilancarkan. Gelombang awal COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memaksa penangguhan walaupun beberapa pengedar telah menerima stok.
Kia mengambil masa hampir setahun untuk mengumumkan harga bagi Seltos, dengan harga bermula dari RM 116k. Kia akhirnya akan bertukar pengedar daripada Naza kepada Dinamikjaya Motors pada bulan April yang memburukkan lagi potensi Seltos di Malaysia.
Walaupun pengeluaran CKD pada mulanya difikirkan, Seltos tidak disebut dalam sidang akhbar Kia Malaysia mengenai rancangan 5 tahunnya. Mungkin masa Seltos di Malaysia telah berakhir terlalu awal.
Mercedes-Benz A-Class Hatchback
A-Class Hatchback ialah model Mercedes-Benz aras mula untuk mereka yang bercita-cita memiliki lencana bintang tiga mata atau sekadar simbol untuk berada di puncak beberapa piramid kejayaan. Walau bagaimanapun, dengan pelancaran Mercedes-Benz A-Class Sedan CKD, ada pilihan yang jauh lebih murah untuk menjadi pemilik jenama mewah ini.
Walau bagaimanapun, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) masih menawarkan Hatchback A-Class, tetapi ia adalah A35 dan A45 S berlencana AMG yang berkuasa. Mereka yang berkeras untuk mendapatkan Hatchback A200 dan A250 perlu membayar lebih banyak daripada harga yang disenaraikan sebelum ini melalui proses pesanan khas.
Tambahan pula, walaupun dunia lebih menumpukan pada SUV dan crossover serta mengasingkan sedan dan hatchback, nampaknya di bahagian dunia ini, sedan masih diminati. Ketika ditanya mengenai keputusan untuk menggantikan A-Class Hatchback kepada Sedan, Naib Presiden MBM, Michael Jopp berkata berdasarkan pengalaman lepas dengan model CBU, rakyat Malaysia lebih suka sedan.
Mitsubishi ASX
Walaupun Mitsubishi ASX antara model terawal SUV/crossover yang kecil, di Malaysia, ia sering dibayangkan oleh saingan yang lebih moden yang mula muncul di pertengahan kitaran hayatnya. Selepas 11 tahun dalam pasaran, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) akhirnya menghentikan jualan ASX.
Di luar negara, ASX masih digunakan, walaupun dengan rupa terkini yang menampilkan fasia hadapan Dynamic Shield Mitsubishi tetapi selama 11 tahun, ASX spesifikasi Malaysia kekal tidak berubah. Selain daripada penukaran daripada CBU kepada CKD, terdapat beberapa perubahan kecil yang diberikan kepada B-SUV ini.
Model kemudian mendapat kualiti binaan yang lebih baik, kabin yang lebih senyap dan lebih banyak ciri keselamatan. Selain itu, dengan pacuan semua roda (AWD) tersedia sebagai standard, ASX mempunyai potensi offroad yang sebenar, tidak seperti saingan pacuan roda hadapan (FWD).
Mitsubishi Outlander
Satu lagi model lama yang mengandungi lencana tiga berlian, Mitsubishi Outlander telah dijual di Malaysia sejak 2016 tetapi jangan harap MMM akan membawa masuk Outlander serba baharu ke negara ini dalam masa terdekat.
Apabila ia dilancarkan di sini, Outlander adalah model CBU sepenuhnya sebelum beralih kepada CKD pada 2017. Walaupun sesetengah pihak mungkin mengkritik bahawa ia sudah pun menjadi SUV yang tua walaupun semasa pelancaran, semuanya akan dimaafkan dengan serta-merta apabila anda memandunya.
Ia adalah salah satu SUV paling selesa dan dalam beberapa kes, tahap keselesaan itu lebih baik daripada pesaingnya yang lebih moden. Namun, disebabkan oleh kekurangan ciri moden (tiada ADAS, reka bentuk yang agak tua) menyaksikan Outlander hampir tidak dicadangkan atau difikirkan apabila ramai yang ingin membeli SUV.
Walaupun banyak yang terpaku pada gril depanPerodua Myvi yang dikemas kini, ciri keselamatan yang mengagumkan, dan kotak gear D-CVT baharu, hanya sedikit yang menyedari bahawa Perodua menghentikan penawaran transmisi manual 5-kelajuan pada supercar Malaysia.
Sememangnya tidak ramai yang ingin mendapatkan Myvi MT dek kerana kadar penggunaan manual yang sangat rendah. Daripada hampir 280k unit Myvi generasi ketiga yang dijual, kurang daripada 1% pembeli memilih untuk mendayung gear mereka sendiri. Ini bermakna kurang daripada 3,000 unit terjual dalam tempoh 4 tahun.
Lagipun, pilihan manual hanya tersedia pada model asas 1.3 G yang agak 'kosong'. Dahlah ia hanya dipadankan dengan enjin yang kurang berkuasa, apatah lagi spesifikasi asas. Ini mungkin cukup untuk membuatkan kebanyakan pembeli ‘tak kuasa aku’ untuk menjadikan Myvi manual sebagai pilihan mereka.
Myvi bukanlah satu-satunya kereta tempatan yang menyatakan selamat tinggal kepada transmisi manual pada tahun 2021. Kedua-dua Proton Iriz dan Persona dikemas kini dengan reka bentuk mereka sendiri dan varian “crossover” baharu bagi Iriz yang dipanggil Active.
Proton telah melakukan beberapa penambahbaikan pada CVT Punch dan daripada pengalaman kami dengan pasangan kembar bukan seiras itu, ia memang terasa lebih baik. Walau bagaimanapun, transmisi manual 5-kelajuan yang lebih menarik pada kedua-dua model ini telah digugurkan dalam kemas kini baharu ini.
Sebab kehilangan transmisi manual adalah serupa dengan kes Myvi: tak ramai yang membeli. Menurut Proton, hanya 3% sahaja pembeli memilih MT pada Iriz dan Persona setiap satu pada 2019 dan 2020. Jadi, simpan aduan anda tentang mengapa orang ramai tidak membeli lebih banyak manual kerana mereka yang mengadu kebanyakannya tidak menyumbang apa-apa.
Vento merupakan Volkswagen paling mampu milik yang dijual di Malaysia berikutan pelepasan Polo, dengan harga bermula dari RM 84,449. Vento dipasang secara tempatan di Pekan yang membenarkannya berharga kurang daripada RM 100k untuk sedan 'Continental'.
Walaupun Vento dihentikan di Malaysia, ia masih boleh didapati di India. Oleh itu, kemungkinan untuk model gantian agak tipis kerana Volkswagen hanya menawarkan pengganti Vento, Virtus, dalam pasaran pemanduan kiri (LHD) bagi pasaran membangun seperti Amerika Latin.
Sejak Geely membuktikan kepada rakyat Malaysia (melalui proksi Proton) bahawa kereta China mempunyai nilai jenama yang sama seperti jenama Jepun dan Jerman sedia ada, terdapat pencerobohan oleh pembuat kereta China yang ingin mencipta nama mereka di negara ini.
Malangnya, DFSK datang dan pergi dengan pantas dengan Glory 580 mereka. SUV 7 tempat duduk itu ditawarkan di sini dengan satu varian dan berharga sekitar RM 95,000. Kami berkata "sekitar" kerana pengedar telah senyap dan laman webnya kini mungkin dipautkan kepada sesuatu yang dikira sebagai NSFW atau 'tidak selamat untuk keselamatan komputer anda'.
Untuk menambah ironi bagi model yang digelar Glory, jualan DFSK di Indonesia juga tidak begitu baik dengan Glory 580 menghentikan pengeluaran di negara itu. Perlu diingat bahawa unit Malaysia adalah CBU dari kepulauan itu dan terdapat rancangan untuk membawa masuk Glory i-Auto yang dipertingkatkan sebelum DFSK hilang terus daripada radar.
Itu adalah model yang dihentikan di Malaysia. Pastinya, ada yang kecewa melihat mereka pergi atau mungkin tidak menyedari kewujudan model ini sehingga terlambat. Walau apa pun, adakah anda mula merindui model-model ini?
More than 10 years experience, specialising in Motorsports, Advanced Driving, Event Management & Creative Design. He enjoys driving (drifting, actually) anything RWD with a proper LSD over the limit. Versatility is his motto and mantra.