Sejak 1 Januari lalu, Benelli Malaysia mulai menayangkan satu video 'teaser' mengenai kehadiran sebuah model baharu dengan ramai menjangkakan ia adalah sebuah model moped menggantikan Benelli RFS150i yang sudah 'dimamah usia'.
Dalam teaser berkenaan turut didatangkan dengan kapsyen "Keterujaan baharu akan tiba di pasaran tempatan pada Q1 (Suku pertama) 2021! Ia turut ditambah dengan hashtag #intheblinkofaneye yang memberi peringatan ia akan bertambah laju.
Dan selepas mengesahkan model terbaharu berkenaan akan dilancarkan pada tarikh 11 April ini, Benelli Malaysia akhirnya mendedahkan satu lagi rahsia iaitu mengesahkan ia adalah sebuah model moped.
Berdasarkan video teaser yang baharu ditunjukkan di laman Facebook rasmi jenama berkenaan menjelang tarikh pelancaran, ia jelas menunjukkan dua buah motosikal dalam segmen moped sedang ditunggang uji di sebuah litar yang dipercayai litar UniMAP.
Sekalipun imej teaser yang dipaparkan sebelum ini sememangnya terarah kepada model moped atau kapcai, video terbaharu berkenaan terus menamatkan teka-teki yang selama ini bermain di minda peminatnya.
Malah, WapCar juga pernah mendedahkan Benelli Malaysia pernah mendaftarkan tanda dagang R18i di laman Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Justeru, ada kemungkinan jentera moped yang diedarkan oleh Mforce Bike Holdings itu nanti akan menggunakan enjin bersesaran 180 cc.
Untuk syarikat sebesar Benelli, perkara berkenaan bukan sesuatu yang mustahil kerana syarikat berkenaan sememangnya sudah memiliki enjin berkenaan yang dipakai pada model motosikal 'naked', 180S.
Dengan kehadiran 'Abang besar' dalam segmen Super moped dengan kehadiran Yamaha Y16ZR 2021, baru-baru ini, jelas Benelli Malaysia perlu melakukan sesuatu terhadap produk miliknya.
Seperti diketahui, kekuatan model 'Super moped' Benelli iaitu RFS150i adalah yang paling murah berbanding pencabarnya yang lain selain penggunaan teknologi yang dianggap lebih canggih.
Justeru, jika ia dikemaskini dan ditambah dengan beberapa teknologi terutama dari segi keselamatan termasuk Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) ditambah dengan harga yang berpatutan, tidak mustahil ia mampu menjadi pencabar hebat dalam segmen berkenaan.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.