Kebaikan dan Keburukan Nissan X-Trail – SUV yang sebenarnya bagus dari sangkaan
Mersita · Nov 15, 2020 06:00 PM
0
0
Beberapa minggu lepas, kami berbincang tentang kereta mana yang patut dipilih jika nak ‘upgrade’ dari kereta sekarang. Biasalah, kereta pertama hatchback biasa-biasa saja, teringin pula nak SUV segmen C.
Ada beberapa cadangan yang mula timbul – antaranya Proton X70, Honda CR-V, dan Mazda CX-5. Seorang lagi rakan mencelah, “Apa kata Nissan X-Trail?”. Ramai yang tak terfikir akan SUV ini, dan ia buat kami tertanya-tanya; adakah ia satu pilihan yang memang patut dipertimbangkan?
X-Trail generasi ketiga diberi facelift pada 2019 dan ia boleh didapati dalam 4 varian:
Semua harga yang dinyatakan tidak termasuk SST dan harga ini sah sehingga 31 Disember 2020.
Jika anda sedang mempertimbangkan X-Trail, di sini kami ingin huraikan kelebihan serta kekurangan SUV Nissan ini.
Kelebihan – Kabin yang senyap dan selesa
Mana-mana varian yang anda pilih, samada yang hibrid ataupun yang 2.5 liter, X-Trail facelift mempunyai kabin yang lebih senyap berbanding model sebelum facelift. Perkara ini ialah salah satu aduan paling kerap dikatakan oleh pemilik-pemilik X-Trail sebelum facelift.
X-Trail facelift mempunyai penebat bunyi yang lebih bagus dengan bahan penebat bunyi di keliling kereta termasuklah di bawah hudnya dan fender hadapannya. Ini menghasilkan salah satu SUV yang paling senyap dalam segmennya. Dalam pandu-uji kami, kami merekodkan sekitar 69 dB pada kelajuan lebuhraya iaitu 110 km/jam.
X-Trail bersaiz cukup besar – dengan mudahnya membuatkan CR-V tampak kecil dari aspek kepanjangan dan ketinggian. Namun, CR-V lebih lebar walaupun X-Trail tampak lebih besar pada mulanya. Hasilnya ialah ruang kabin yang luas dengan ruang kepala yang cukup besar walaupun untuk orang yang berbadan tinggi.
Pemanduannya cukup selesa dan tambahan pula, tempat duduk ‘Zero Gravity’nya cukup hebat. Anda terasa seperti terapung apabila duduk di atasnya. Digabungkan dengan pemanduan X-Trail yang lembut, penumpang anda pastinya boleh menikmati perjalanan dengan selesa.
Kelebihan – Serba-serbi cukup kelengkapannya
Selain daripada kabin yang bising, satu lagi aduan bagi model X-Trail sebelum facelift ialah kelengkapan yang kurang. Apabila ia mula-mula dilancarkan pada 2015, X-Trail didatangkan dengan hanya 2 beg udara walaupun untuk model spesifikasi tinggi yang berharga lebih daripada RM 150 ribu!
Nampak gayanya kali ini Edaran Tan Chong Motors (ETCM) mendengar keluhan pelanggan mereka dan akhirnya, X-Trail facelift didatangkan dengan pelbagai kelengkapan yang menarik. Sekurang-kurangnya, varian spesifikasi rendah 2.0L 2WD didatangkan dengan 4 beg udara, dan yang lain-lain diberi 6 beg udara.
Varian 2.5L 4WD dan 2.0L Hybrid pula dilengkapi dengan suite penuh ADAS termasuklah AEB, ACC, LDW, BSW, dan RCTA. Varian pertengahan 2.0L 2WD MID pula hanya ada beberapa kelengkapan – yang tak termasuk cuma AEB, ACC, dan bantuan lampu tinggi. Ia masih lagi berbaloi.
Kelengkapan untuk memudahkan pemandu dan penumpang juga cukup banyak. X-Trail didatangkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto, kamera 360 darjah, pemegang cawan dengan fungsi penyejuk, salur penghawa dingin di belakang, serta pintu but belakang yang berkuasa dengan fungsi ‘motion-activated’.
Kelebihan – Kecekapan minyak yang memuaskan
Mungkin ada yang terfikir, “Ada varian hibrid, mestilah cekap minyak.” Ya, betul, tapi ini tak bermaksud yang varian 2.0L petrol juga tak cekap minyak.
Kami telah membuat rebiu untuk varian 2.0L MID dan 2.0L Hybrid saja, tapi kami berjaya merekodkan penggunaan petrol yang lebih bagus dari biasa dalam kedua-dua rebiu ini. Varian 2.0L MID merekodkan penggunaan sekitar 9.6 liter/100 km setelah dipandu dalam jarak 134.2 km dengan kondisi pemanduan yang pelbagai.
X-Trail Hybrid pula merekodkan sekitar 7.1 liter/100 km. Angka-angka ini memang hebat tapi yang menariknya, varian Hybrid bukanlah yang paling cekap minyak dalam banyak-banyak SUV yang pernah kami cuba. Model yang paling cekap minyak ialah Honda CR-V 1.5 TC-P yang merekodkan 7.0 liter/100 km.
Kekurangan – Barisan ketiga yang sempit
X-Trail facelift ialah SUV 7 tempat duduk (secara teknikalnya 5+2), tapi tempat duduk barisan ketiganya muat hanya untuk kanak-kanak atau orang dewasa yang kakinya pendek. Walaupun tempat duduk barisan kedua mempunyai ruang kaki yang luas, barisan ketiganya tidak.
Ia memang sempit dan cukup tak selesa. Dengan ruang kaki yang sempit tanpa salur penghawa dingin untuk barisan ketiga, ia tidak sesuai untuk penumpang dalam perjalanan jauh.
Jika anda memilih varian hibrid, tempat duduk barisan ketiga dikeluarkan untuk memuatkan pek bateri Lithium-Ion yang digunapakainya. Oleh itu, anda boleh nikmati ruang but yang cukup luas berkapasiti 550 L – lebih besar berbanding pesaing ketatnya.
Kekurangan – Bukannya SUV berprestasi tinggi
Jelasnya X-Trail ini dihasilkan untuk keselesaan, bukannya kelajuan. Dalam pemanduan di bandar, X-Trail cukup hebat dengan keselesaan dan kesenyapan yang ditawarkan.
Tapi, apabila anda masuk ke lebuh raya, anda akan mula rasakan X-Trail ini bergelut. Yang pastinya, transmisi automatik jenis CVTnya membuatkannya kurang menderum dengan respon yang langsung dan linear. Kami rekodkan masa pecutannya untuk 0 – 100 km/jam iaitu 11.9 saat bagi varian 2.0L MID.
Jika anda mencari SUV yang cukup berkuasa tinggi, CR-V berpengecas turbo mungkin lebih sesuai untuk anda. Seperti yang ditunjukkan dalam rajah di atas, tren kuasa ‘naturally aspirated’ 2.0L di dalam X-Trail tidak begitu berkuasa seperti CR-V.
Tapi, jika anda masih mahukan X-Trail, satu jalan penyelesaian yang bagus untuk anda ialah dapatkan enjin 2.5 liternya yang lebih besar. Tapi, hakikatnya masih sama – X-Trail bukanlah SUV berprestasi tinggi walaupun dengan mana-mana enjin yang ditawarkan.
Kekurangan – Rupa bentuk yang biasa-biasa saja
Aspek ini memang subjektif, tapi bagi kami X-Trail facelift masih mempunyai rekaan yang lama – di dalam dan luar. Walaupun rupa hadapannya tampak lebih ‘sharp’ dengan bampar yang digayakan semula dan gril V-motion baru, X-Trail facelift ini masih tampak biasa-biasa saja.
Di dalamnya, X-Trail direka untuk ergonomi supaya ia mudah digunakan. Tak salah, tapi ia terasa ‘old-school’ sedikit. Misalnya, skrin 7.0 inci yang digunapakai tampak kecil terutama sekali apabila diapit antara butang dan punat yang besar.
Kesimpulan
Nissan X-Trail facelift sememangnya sebuah SUV yang ‘underrated’ atau tak cukup diberi perhatian. Harganya cukup menarik dan ia mempunyai kelengkapan yang mencukupi. X-Trail Hybrid ialah satu-satunya SUV hibrid dalam kelasnya di Malaysia, dan ini membuatkannya sebagai satu alternatif yang cukup bagus bagi mereka yang mahukan kenderaan mesra alam.
Secara keseluruhannya, Nissan X-Trail cukup layak untuk dipertimbangkan jika anda sedang mencari sebuah SUV yang selesa untuk seisi keluarga. Jika anda pilih varian hibrid, ia cukup cekap minyak.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.