Berang disamun, tauke kedai emas PD langgar Honda CR-V penyamun sampai terbalik!
Faisal · Feb 17, 2022 12:00 PM
0
0
Seorang pemilik kedai emas di Port Dickson yang memandu Toyota Camry nekad mengejar semua Honda CR-V yang dinaiki sekumpulan lelaki yang menyamunnya di stesen minyak Shell sekitar Lukut.
Kejadian pada jam 10.15 pagi semalam ini bermula apabila mangsa berusia 50 tahun itu dihalang dan diserang oleh 5 lelaki bersenjatakan parang yang menaiki Perodua Myvi dan Honda CR-V yang disebutkan sewaktu beliau hendak mengisi minyak.
Suspek sempat menyamun 3 beg berisi barang kemas, 1 telefon bimbit, wang tunai dan dokumen peribadi milik mangsa.
Namun demikian, suspek yang cepat-cepat melarikan diri berjaya dikejar dan dihimpit oleh mangsa. Malah, Honda CR-V tersebut sampai terbalik dibuatnya.
Apapun, kesemua suspek tetap berjaya melarikan diri dengan Myvi. Hasil pemeriksaan polis terhadap Honda CR-V tersebut menemukan 2 bilah parang, 1 set walkie talkie dan 2 begi berisi barang kemas yang cuba dilarikan suspek.
Semakan terhadap nombor casis SUV itu juga mendapati bahawa ia pernah dicuri pada 25 November 2021 di Sri Hartamas, Kuala Lumpur.
Walau bagaimanapun, insiden yang menimpa tauke kedai emas tersebut telah mengakibatkan kecederaan ringan pada bahagian tangannya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Fatiha Nur Hamidus di 013-6217365 atau terus ke talian IPD Port Dickson di 06-6462999.
Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.