Model hibrid Toyota di Indonesia bakal dipasang CKD, pasaran sana belum terkejar untuk ke EV
Faisal Β· Sep 29, 2022 02:00 PM
0
0
Toyota Motor Corporation (TMC) nampaknya akan membuka kilang kenderaan hibrid di Indonesia bagi mengukuhkan bekalan dalam pasaran itu. Malah, seorang wakil eksekutif dari firma itu turut memberitahu bahawa Toyota di Indonesia belum terkejar untuk ke arah elektrik sepenuhnya.
Awal bulan ini, Presiden Jokowi telahpun menandatangan satu perjanjian yang mana pihak kerajaan bakal menggunakan kenderaan EV bagi mengubah ke arah pengangkutan bebas bahan api.
Apapun, menurut pengarah pemasaran dan perniagaan Toyota Astra Motor, Lina Agustina, transisi terus ke arah elektrik sepenuhnya mungkin bukan sesuatu yang dianggap mampu milik buat orang awam. Lagipun, kebanyakan jana kuasa di Indonesia masih menggunakan arang.
Sebaliknya, Toyota di Indonesia akan menekankan teknologi hibrid dahulu sebelum ke arah elektrik sepenuhnya. Kata Lina, βToyota tidak lama lagi akan memulakan produksi lokal buat model-model hibridβ. Untuk makluman anda, kereta hibrid Toyota di Indonesia selama ini diimport terus dari negara luar.
Dari segi penerimaan, model hibrid Toyota di sana baru merekodkan jualan setakat 7,000 unit. Mungkin sebab inilah pemasangan CKD ditekankan dalam pelan Toyota Astra Motor dan Lina yakin bahawa impaknya akan positif.
Apapun, Lina tidak memberitahu nama model hibrid yang bakal dipasang di kilang Indonesia tetapi buat masa sekarang, ada C-HR Hybrid, Corolla Cross Hybrid, Corolla Altis Hybrid dan juga Camry Hybrid. Dalam hal ini, pasti ada yang mengaitkan pemasangan hibrid CKD Toyota mereka dengan yang ada di Malaysia. Walaupun masih terlalu awal untuk membuat spekulasi, tidak mustahil kalau kit pemasangan model yang terlibat akan tiba juga di kilang Toyota kita. Jadi, sama-samalah kita tunggu.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.