Yamaha Sniper 155 2021 atau dikenali sebagai Yamaha Y16ZR di Malaysia tiba secara rasmi di pasaran Filipina dan hadir dengan dua varian bersama empat pilihan warna yang menarik.
Juga baca: Yamaha Y16ZR 2021 tiba di Malaysia - model baharu, 155 cc, harga RM 10,888!
Dua varian berkenaan adalah Yamaha Sniper 155 (Standard) dan Yamaha Sniper 155R yang lebih premium dan sama seperti versi Yamaha Y16ZR 2021 yang diperoleh di pasaran Malaysia.
Sebagai perbandingan, perbezaan diantara varian Sniper 155 dan Sniper 155R ialah membabitkan beberapa kelengkapan tambahan seperti sistem kunci pintar (Smart Key), fungsi jawab semula, brek cakera depan dengan kaliper dua piston dan soket kuasa DC 12V.
Tiada perbezaan dari sudut spesifikasi teknikal atau reka bentuk untuk kedua-dua varian.
Juga baca: Tunggang uji ringkas Yamaha Y16ZR 2021 - model baharu, 'Y16' supermoped dalam kelas tersendiri?
Kedua-duanya menggunakan enjin sama bersesaran 155 cc, Penyejuk Cecair, 4 Lejang, SOHC, 4 Injap bersama teknologi VVA (Variable Valve Actuation) dan dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan bersama-sama sistem Assist & Slipper Clutch.
Kuasa yang dihasilkan adalah 17.7 Hp pada 9,500 rpm dengan tork 14.4 Nm pada 8,000 rpm.
Juga baca: 5 sebab mengapa Yamaha Y16ZR (2021) bukan pengganti Y15ZR (V2) "Y-Suku"!
Seperti Malaysia, selepas memainkan 'teaser' di laman Facebook syarikat berkenaan selama beberapa hari, majlis pelancaran dibuat secara maya di laman Facebook rasmi yang turut menampilkan Pengerusi Yamaha Filipina, Masato Fernando.
Selain kelengkapan aksesori, perbezaan diantara kedua-dua varian adalah pilihan warna dan harga. Untuk Sniper 155, tiga pilihan warna menarik boleh dipilih iaitu Race Blue, Yellow Hornet dan Black Raven.
Bagi varian Sniper 155R pula, hanya satu pilihan warna ditawarkan iaitu Matte Titan yang jelas menarik.
Untuk harganya, Sniper 155 dijual pada tanda harga ₱ 114,900 (RM 9,903),manakala untuk Sniper 155R, ia datang dengan harga ₱ 120,900 (RM 10,420).
Apa yang pasti, selepas pelancaran Sniper 155 2021 di Filipina yang mengikuti pelancarannya di Vietnam dan Malaysia, ia pasti membuatkan pengguna di dua pasaran besar Asean, Thailand dan Indonesia tidak senang duduk. Selamat menjamu mata.