Jentera 'Sportbike' aras mula popular dari Yamaha, YZF-R15 kini hadir dengan penawaran warna baharu yang tampak ekslusif dan agresif bagi versi 2021 di pasaran tempatan iaitu Silver.
Perkembangan menarik itu diperoleh daripada brosur terbaharu motosikal berkenaan di laman web Hong Leong Yamaha Motor (HLYM). Bagi pilihan warna baharu berkenaan, padanan warna untuk rim adalah kuning.
Juga baca: Yamaha YZF-R25 2021 di Malaysia dapat warna baharu, Cyan Metallic
Selain warna terbaharu, warna yang sememangnya popular bagi peminat di negara ini iaitu Race Blu masih dijual berserta satu lagi warna iaitu Hitam. Menariknya, tiada perubahan dari sudut harga berbanding versi 2020 iaitu RM 11,988.
Seperti harganya yang kekal sama, turut tiada perubahan adalah dari sudut spesifikasi teknikal dan reka bentuknya.
Motosikal aras mula bagi sesiapa yang ingin berlatih sebelum membeli jentera Sportbike lebih berkuasa itu masih menggunakan enjin bersesaran 155 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, SOHC, teknologi VVA yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan.
Juga baca: Yamaha MT-15 2021 dapat kemaskini warna di Thailand, lebih garang, menarik
Turut dilengkapi sistem klac Assist & Slipper, kuasa yang boleh dihasilkan motosikal ini adalah mencukupi dalam kelas berkenaan iaitu 19 Hp pada 10,000 rpm bersama tork 14.7 Nm pada 8,500 rpm.
Seperti jentera dalam siri 'R' yang lain, Yamaha YZF-R15 menggunakan casis Deltabox yang kukuh. Dari sudut tunggangan ia menggunakan fork jenis terbalik (USD) berwarna emas dengan suspensi belakang monoshock bersama lengan ayun aluminium.
Untuk keselamatan, sistem brek menggunakan jenis cakera depan dan belakang. Ciri-ciri lain adalah seperti tangki bahan api 11 liter, lampu depan dan belakang LED, lampu kecemasan dan paparan panel meter digital.
Harga yang ditawarkan iaitu RM 11,988 begitupun adalah asas dan tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan. Jaminan yang diberikan adalah 2 tahun atau 20,000 km yang mana tiba dahulu.
Kepada yang berminat, motosikal ini sudah pun berada di pengedar sah HLYM seluruh negara.