Toyota, Daihatsu dan jenama Jepun lain dikritik kerana lambat dalam pembangunan kereta elektrik
Haris · Nov 26, 2022 02:00 PM
0
0
Toyota dan Daihatsu kini dikritik hebat kerana didakwa "perlahan" dalam pembangunan elektrifikasi kenderaan, lebih-lebih lagi kenderaan elektrik bateri.
Climate Council, agensi pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar yang berpengkalan di Australia mengeluarkan laporan "The Race to Zero" yang mengkritik Toyota dan Daihatsu kerana lambat membangunkan kenderaan mesra alam - dalam konteks ini hala tuju syarikat ke arah elektrifikasi.
Toyota merupakan jenama kereta terlaris di Australia tetapi ia tidak mengaburi para pemerhati yang mendakwa sasaran hanya 3.5 juta jualan BEV setahun di seluruh dunia menjelang 2030 adalah "lemah". Model EV bateri pertama yang dibangunkan Toyota ialah Toyota bZ4X yang akan dilancarkan di Australia pada separuh kedua 2023.
Sementara itu, jenama kenderaan rekreasi dan komersial Isuzu tidak menetapkan sasaran yang lebih tinggi daripada sifar karbon menjelang 2050. Pada masa ini, Isuzu hanya menjual Isuzu D-Max berkuasa diesel dan SUV bersaiz besar Isuzu MU-X sahaja.
Agensi tersebut memuji jenama Tesla dan Polestar yang hanya menjual kenderaan elektrik di negara tersebut - dengan 100% model adalah kenderaan elektrik bateri.
Jenama kenderaan pertengahan seperti Ford, Volkswagen dan Volvo juga dilihat cenderung ke arah elektrifikasi dan ini sangat dialu-alukan.
Kritikan bukan sahaja ditujukan kepada Toyota dan Daihatsu. Dua jenama Jepun lain iaitu Nissan dan Mitsubishi juga dilihat perlahan dalam pembangunan kenderaan elektrik. Namun, ia masih boleh dimaafkan kerana Nissan Leaf dan Mitsubishi iMiEV merupakan perintis terawal kenderaan elektrik abad ini.
Menariknya, Climate Council tidak menyenaraikan jenama dari China yang turut menjual kenderaan di Australia seperti BYD, Haval, Maxus (menggunakan nama LDV di Australia) dan MG.
"Sesetengah pengeluar telah melakukan pertaruhan yang silap pada teknologi kenderaan mesra alam yang berbeza namun tidak berjaya (misalnya hidrogen untuk kenderaan penumpang ringan), atau hanya gagal merebut peluang ke arah elektrifikasi."
“Pelan seperti yang dirangka oleh Volvo, Ford dan Volkswagen membuktikan peralihan pantas kepada jualan kenderaan baharu elektrik sepenuhnya adalah realistik dan boleh dicapai. Hal ini bermakna piawaian kecekapan bahan api baharu untuk Australia sepatutnya dapat menyamai visi pengeluar yang berpandangan jauh ke hadapan sedia ada,”
“Memeriksa cara pengeluar kereta antarabangsa utama dalam memperbaharui semula model mereka menunjukkan usaha yang sepatutnya boleh dilakukan sepenuhnya dalam masa kira-kira sedekad.
"Standard kecekapan bahan api yang kukuh akan bermakna lebih banyak kenderaan elektrik yang murah dan bersih tersedia di Australia, supaya lebih ramai keluarga mampu memandu mereka." kata laporan itu.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.