Jika sebelum ini kita pernah dikejutkan dengan berita tular mengenai Yamaha RX-Z yang diiklankan dengan harga 'tak masuk akal', timbul satu lagi cerita baru membabitkan jentera legenda itu, baru-baru ini di Terengganu.
Memetik laporan Harian Metro, seorang lelaki Nik Zahari Wan Omar, 58 tahun dari Kampung Pela, Ajil dilaporkan pernah menerima tawaran setinggi RM50,000 daripada seorang ahli perniagaan terhadap motosikal Yamaha RX-Z 5-Speed keluaran tahun 1985 miliknya.
Begitupun, beliau yang turut dikenali dengan nama Tok Ngoh Nik enggan menjual motosikal berkenaan kerana ia mempunyai nilai sentimental yang tinggi terhadapnya.
Menurut Tok Ngoh Nik, RX-Z generasi pertama berkenaan dibeli pada tahun 1985 dengan harga RM3,300 dan disecara ansuran.
Katanya, motosikal berkenaan banyak berjasa kepadanya selama ini dan sejak dari zaman muda, motosikal itu dijaga dengan baik serta sudah menyertai banyak konvoi ke seluruh negeri.
Selain daripada keunikan RX-Z itu sendiri, apa yang membuatkannya lebih istimewa adalah nombor pendaftaran pada motosikal itu turut dikatakan menjadi perhatian dan kegilaan ramai.
Menurut Tok Ngoh Nik lagi, nombor pendaftaran TC 13 keluaran tahun 1974 itu dikatakan pernah ditawarkan pada harga RM20,000 secara pembelian tunai oleh seorang ahli perniagaan.
Malah katanya, baru-baru ini ada seorang peniaga sanggup membeli nombor pendaftaran istimewa itu dengan berapa saja harga yang beliau tetapkan.
Begitupun, Tok Ngoh Nik setakat ini masih berat hati untuk menjual motosikalnya itu yang dikatakan masih kekal dengan semua komponen tulen.
Anaknya Nik Muhammad Izzuddin Nik Zahari, 29, juga berpandangan sama seperti bapanya dengan menyatakan motosikal RX-Z keluaran pertama itu mempunyai nilai yang istimewa.
Tahun lalu, tular berita mengenai sebuah motosikal RX-Z Millenium yang diklankan dengan harga setinggi RM70,000 itu oleh pemiliknya dikenali Tuan Putera Amirul Tuan Muda di Dungun, Terengganu.
Jentera yang didakwa hadir dengan spesifikasi asal itu kemudian dikatakan berjaya dijual dengan harga diskaun, RM69,000.
Turut tular tahun lalu adalah mengenai berita Yamaha RXZ keluaran terakhir yang dijual pada harga RM100,000 namun akhirnya, ia berjaya dijual pada harga RM 45,000.
Sumber berita dan imej: Harian Metro