Suzuki Swift rempuh 3 kenderaan berhenti di lampu isyarat, pemandu maut
Mersita ยท Apr 2, 2021 11:59 AM
0
0
Di dalam satu rakaman video tular berkaitan satu kemalangan yang berlaku di Jalan Sultan Azlan Shah, Pulau Pinang, sebuah Suzuki Swift dilihat merempuh sebuah Toyota Vios dan Perodua Myvi yang berhenti di lampu isyarat trafik. Pemandu hatchback Suzuki berkenaan dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital, manakala 3 lagi pengguna jalan raya lain cedera.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintenden AA Anbalagan berkata Swift berkenaan telah hilang kawalan sebelum merempuh dua buah kereta dan seorang penunggang motosikal yang sedang menunggu lampu merah pada kira-kira jam 2.50 petang semalam (1 April).
Satu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru dikerah ke tempat kejadian dalam usaha untuk mengeluarkan pemandu Swift yang tersepit di dalam kenderaannya dengan menggunakan alat khas.
Malangnya, pemandu berkenaan mengalami cedera parah di kepala dari impak kemalangan tersebut dan meninggal dunia ketika dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang.
Manakala, 3 mangsa lain yang dirempuh, berusia antara 24 hingga 51 tahun, mengalami cedera ringan dan telah dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.
Kemalangan ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.