Suzuki GSX-S1000 2021 'dalam perjalanan', pelancaran 26 April ini!
Khairil ยท Apr 9, 2021 05:00 PM
0
0
Selepas generasi terbaharu Hayabusa dilancarkan Februari lalu, Suzuki dijadual melancarkan jentera 'naked' terbaharunya, Suzuki GSX-S1000 2021 secara global pada tarikh 26 April ini.
Perkembangan menarik itu dipertontonkan menerusi video teaser berdurasi 18 saat yang dikongsikan di laman YouTube Suzuki Global pada minggu ini.
Sebagai jentera dalam segmen naked atau 'supernaked', Suzuki GSX-S1000 2021 bakal bersaing dengan beberapa model hangat seperti Ducati Streetfighter V4, Aprilia Tuono V4, BMW Motorrad S1000RR, Kawasaki Z H2 dan Triumph Speed Triple 1200RS.
Dalam video yang datang bersama kapsyen 'The Beauty of Naked Agression' itu, ia turut memaparkan siluet reka bentuk panel badan jentera berkenaan yang tampak cukup agresif.
Malah, ia juga tampak seperti akan turut mempunyai sayap kecil (little winglets), sesuatu yang jarang dipadankan kepada motosikal naked sebelum ini dan lebih menarik, rekaan lampu depannya cukup berbeza.
Berbeza daripada versi sebelum ini, kedudukan lampu depannya direka secara vertikal (menegak) dengan penggunaan tiga lampu led yang sememangnya unik.
Sekalipun video berkenaan hanya menunjukkan perubahan dari sudut reka bentuk, GSX-S1000 2021 turut dipercayai akan tiba dengan naik taraf dari sudut mekanikal terutama dengan enjin patuh emisi Euro 5.
Untuk versi terdahulu, Suzuki GSX-S1000 menggunakan enjin 999 cc, empat silinder sebaris yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 150 Hp dan tork 80 Nm.
Seperti Hayabusa 2021 atau V-Storm, Suzuki GSX-S1000 2021 juga bakal dilengkapkan dengan pebagai kelengkapan elektronik terkini seperti quickshifter, Cornering ABS, sistem kawalan traksi, anti-wheelie dan sebagainya.
Tidak dilupakan juga ia juga akan datang dengan teknologi canggih seperti sambungan ke telefon pintar bersama kluster meter digital berwarna penuh.
Untuk pasaran Malaysia, tidak diketahui bila jentera ini akan tiba namun tidak salah untuk berharap.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.