Talaan GR pada Toyota Vios GR-S ini adalah berkisarkan sistem suspensi dan transmisi CVT dengan pelarasan 10 nisbah gear maya berbanding 7 pada model biasa.
Adakah penambahan sebanyak RM 8k berbanding Toyota Vios facelift 2020 varian G memberi perbezaan ketara pada model ini? Di sini kita bincangkan.
Rekaan luar - Vios yang sporty
Rekaan menjadi penentu keputusan anda dalam memilih Toyota Vios GR-S ataupun Toyota Vios varian G. Selain daripada rekaan, dinamik pemanduan juga menjadi penentu kepada keputusan tersebut.
Sebagai sebuah model talaan GR, sudah tentu bumper hadapan menerima rekaan berinsipirasikan rekaan bumper ikonik Toyota GR Yaris. Ada yang menggemarinya malah ada juga yang mengejinya. Pada pendapat kami, rekaan ini menarik dan nampak malar segar. Ia tidak membosankan seperti bumper Toyota Vios generasi ketiga pra facelift.
Pada bahagian sisi, Toyota Vios GR-S nampak sedikit janggal dengan penggunaan rim 17 inci yang menyebabkan lengkungan tayar kelihatan tidak seimbang. Model Toyota Vios 2020 lain menggunakan rim 16 inci ke bawah sahaja.
Toyota Vios GR-S dilengkapi dengan tayar 17 inci multi-spoke berwarna hitam yang dibaluti dengan Toyo Proxes TR1 berprofil 205/45R17.
Pada bahagian belakang, Toyota Vios GR-Sport turut menampilkan spoiler belakang 2 serampang dengan warna hitam berkilat.
Bagi mereka yang menggemari angka dan fakta, Toyota Vios GR-S ini mempunyai ketebalan cat secara purata 100 micronmeter dengan celahan panel yang konsisten tidak melebihi 1.0 mm. Ini adalah antara bacaan ujian yang terbaik pernah kami ambil.
Rekaan dalaman - masih sporty
Talaan GR turut dikenakan pada bahagian dalaman. Walaubagaimanapun, susun atur kabin dalaman tidak banyak berubah dengan model Toyota Vios facelift 2019, model sebelum ini. Oleh itu, kelebihan dan kekurangan kabin dalaman ini masih sama.
Kekurangannya, stereng tidak boleh dilaraskan secara teleskopik (sorong tarik), hanya naik dan turun sahaja.
Adakah ini sesuatu yang akan mengganggu pengalaman pemanduan anda? Bergantung kepada ketinggian dan bentuk fizikal tubuh badan anda.
Sebuah lagi kekurangan adalah kedudukan perehat lengan yang 'terbenam' di tengah konsol. Tujuan perehat lengan adalah untuk meletakkan lengan tetapi ia tidak dapat memenuhi tuntutan tersebut. Penggunaannya terhad sebagai ruang penyimpanan sahaja.
Hal ini menyebabkan perehat lengan bagi penumpang hadapan terbonjol sehingga ke belakang, mungkin sedikit mengganggu pergerakan penumpang belakang. Tiada sebarang port pengecasan pada komponen ini untuk penumpang belakang.
Ruang pada bahagian penumpang belakang juga masih cukup luas dengan 2 bola tenis pada bahagian lutut tetapi ruang kepala pengulas yang berukuran 177 cm telah mencecah bumbung.
Susun atur ini telah kami lihat sejak setahun lalu tanpa sebarang penambahbaikan. Selain daripada itu, tiada sebarang keluhan kami terhadap Toyota Vios.
Walaubagaimanapun, Toyota Vios GR-S telah meningkatkan kualiti kemasan kulit yang digunakan. Ia terasa sedikit tahan lasak berbanding kemasan kulit lembut pada Honda City.
Pembeli bakal menerima lambang GR yang tertera pada bahagian seperti lapik kaki dan butang penghidup mula. Ia juga menggunakan jahitan berwarna merah yang menyulami kemasan kulit.
Ruang pada bahagian but adalah sebanyak 506 liter dengan tempat duduk yang boleh dilipat bernisbah 60:40. Sebagai perbandingan Honda City mempunyai kapasiti but belakang sebanyak 519 liter manakala Nissan Almera sedikit kecil dengan 482 liter.
Pengalaman pemanduan - Terbaik dalam kelasnya
Tiada sebarang perubahan terhadap aspek trenkuasa; enjin 4 silinder 1.5 liter NA 2NR-FE masih dikekalkan. Hanya sedikit talaan kecil yang diberikan, transmisi CVT dengan 10 nisbah gear maya.
Apa maknanya transmisi CVT dengan 10 gear maya ini? Secara ringkas, Toyota Vios GR-Sport memberikan sensasi pemanduan sporty di mana gear yang lebih tinggi meningkatkan tahap rpm.
Tujuan talaan transmisi ini adalah untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih baik tetapi apa yang kami rasai, penukaran gear yang lebih banyak memberikan sedikit rasa lengah. Malah, pecutan juga terasa lengah disebabkan gear yang terpaksa 'mendaki' nisbah yang tinggi.
Ujian kami mendapati Toyota Vios GR-S mengambil masa 12.9 saat untuk melengkapkan pecutan 0-100 km/j dan ini adalah catatan masa paling lambat dalam segmennya.
Malah, ini adalah 0.2 saat lebih perlahan berbanding model Toyota Vios sebelum ini. Hal ini mungkin disebabkan oleh tayar besar dan lebih mencengkam lalu mengurangkan daya pecutan.
Stereng terasa lebih responsif terhadap sebarang pusingan tetapi nisbah stereng masih kekal sama. Ia terasa sedikit lengah dan kurang sensasi ketika selekoh.
Bagaimana pula dengan talaan sistem suspensi? Pada hemat kami, usai sahaja Toyota Vios GR-Sport ini bergerak, ia terus mengesyorkan perasaan yang sporty. Pegas (spring) terasa lebih menganjal tetapi penyerap hentak menerima talaan secukup rasa.
Berdasarkan kualiti pemanduan, Toyota Vios GR-Sport mengorbankan sedikit keselesaan tetapi ia adalah kompromi kepada kekurangan oleng badan (body roll). Walaubagaimanapun, talaan sistem suspensi ini tetap sesuai untuk pemanduan harian.
Memaksa Toyota Vios GR-S pada selekoh langsung tidak menunjukkan tanda tanda pembelokan kurang (understeer) berbanding sedan segmen B yang lain. Bahagian hadapan tetap menelusuri jalan raya dan bahagian belakang tetap mengikuti input stereng tanpa sebarang kejutan ataupun kawalan kestabilan.
Keselesaan Pemanduan - Terpaksa kompromi sikit
Perbandingan paling ketara Toyota Vios GR-Sport dengan Toyota Vios biasa adalah kekurangan rasa membuai ketika melalui bonggol atau lubang jalan. Toyota Vios GR-Sport terasa lebih tegap dengan sistem suspensi yang ditala.
Kerusi pada Toyota Vios GR-S juga sangat bagus, mempunyai sedikit sokongan berbanding kerusi biasa. Bahan buatan seperti baldu terasa sentuhan selesa dan tidak licin seperti kulit. Pada bahagian belakang, penumpang terasa lebih selesa dengan kusyen yang lebih empuk.
Kerja-kerja peredaman bunyi masih dikekalkan tetapi dengan tayar yang lebih besar, ia tidak dapat lari daripada catatan bunyi yang lebih tinggi. Kami mendapati bunyi kabin sebanyak 70 dB pada 110 km/j. Kesemua bacaan konsisten lebih 1 dB berbanding Toyota Vios biasa.
Kadar penggunaan minyak - Tidak sejimat Vios biasa
Berdasarkan kiraan kadar penggunaan minyak, Toyota Vios GR-S mencatatkan 6.8 liter / 100 km dalam perjalanan 60% lebuh raya dan 40% pemanduan bandar. Meter pada kenderaan pula menunjukkan purata 7.3 liter / 100 km.
Jarang kami jumpa meter kenderaan lebih banyak berbanding penggunaan penggunaan sebenar.
Lebih menarik lagi, ujian kami pada varian G mendapati kadar penggunaan minyak sebanyak 6.55 liter / 100 km. Walaupun Toyota Vios GR-S mencatatkan penggunaan yang sedikit tinggi, ia masih boleh dijimatkan melalui karakter pemanduan dan tahap kesesakan jalan raya.
Kesimpulan
Toyota Vios GR-S adalah produk yang disasarkan bagi mereka yang mahukan pemanduan yang sporty pada harga pengenalan. Kesemua kekurangan yang baru sahaja dibincangkan kedengaran mudah diselesaikan dengan sebuah transmisi manual.
Walaubagaimanapun, tak ramai yang mahu membeli transmisi manual pada spesifikasi paling tinggi justeru transmisi CVT dikekalkan dengan sedikit talaan.
Adakah perbezaan RM 8k yang ditawarkan adalah sesuatu yang berbaloi? Bergantung kepada keutamaan pembeli, jawapannya adalah ya dan tidak.
Ya sekiranya anda menggemari ciri-ciri rekaan luar yang sangat menarik dengan karakter pemanduan yang lebih sporty.
Tidak jika anda tidak memerlukan kedua-dua aspek tersebut.
Pemandu biasa mungkin tidak dapat menghargai talaan suspensi yang ditawarkan oleh Toyota Vios GR-Sport. Ini juga menggambarkan keputusan berasaskan perniagaan untuk menggugurkan pilihan transmisi manual.
Pembeli sasaran sedan ini adalah lebih umum dan Toyota melakukan keputusan yang bijak pada model ini. Komitmen Toyota berkenaan slogan 'tiada lagi kereta membosankan' tampak maju selangkah dengan tawaran Toyota Vios GR-S ini.