**Artikel ini berkisar tentang pengalaman peribadi pemilik Proton Persona Elegance Facelift H-Line 2010 dan ia tidak semestinya mewakili pandangan WapCar.
Facebook: Hatim Kamarul Zaman
Jentera ini merupakan kereta pertama saya dan kereta yang masih saya gunakan sehingga artikel ini ditulis. Didaftarkan pada Februari 2011, kira-kira 5 bulan selepas saya mula bekerja di sektor awam. Kini, ia telah berusia 9 tahun 4 bulan, sudah habis edah dengan bank dan semestinya geran ada di tangan.
Lama sebelum itu, Proton Persona Elegance ini sememangnya menjadi idaman saya. Dilancarkan pada Mac 2010, menjelang Mei 2010 pamplet gambar dan spesifikasi kereta ini telah berada di dalam fail nota-nota saya semasa di universiti lagi. Pada mulanya, abah mahu saya beli Perodua Alza atau sekurang-kurangnya Perodua Myvi, akan tetapi julat bayaran bulanan Alza ketika itu melebihi bajet saya dan Myvi pada masa itu sudah jadi terlalu hype.
Semasa sesi pemilihan spesifikasi, saya ditemani oleh Umi. Saya masih ingat, ketika itu saya nekad untuk hanya membeli model kelas pertengahan iaitu M-Line berwarna Bronze Garnet yang berharga RM 55,999.
Tetapi, Umi saya selaku peminat tegar warna merah inginkan warna Brilliant Red; yang ketika itu hanya ditawarkan pada spec paling tinggi (H-Line). Mahu tidak mahu, saya dengan rela hati memilih H-Line dengan harga RM59,499 - dengan deposit sebanyak RM 6,000, pinjaman 9 tahun dengan kadar faedah 3.8% (Bank Islam), bersamaan RM637 sebulan.
(Pada masa ni, saya masih noob tentang kadar faedah. Jadi, tiada proses deal berlaku untuk memilih bank yang paling rendah kadar faedahnya. Tambahan pula, saya masih baru bekerja dan tiada rekod hutang dengan mana-mana bank).
Namun, ia merupakan pilihan yang berbaloi kerana hanya model H-Line dilengkapi dengan cakera brek 15” untuk tayar hadapan dan belakang, fungsi auto cruise, fungsi kawalan bukaan bonet pada kunci (auto trunk release), dan pakej keselamatan seperti dua beg udara, (anti-lock braking system) ABS bersama (electronic brakeforce distribution) EBD.
Sepanjang 9 tahun 4 bulan penggunaan kereta ini, sejujurnya saya tidak menghadapi sebarang masalah major sehingga menyesakkan dada dan menyakitkan kepala. Mungkin saya antara pengguna yang bertuah untuk tidak diuji dengan perkara sebegini (dengan mengambil kira sentimen reliability terhadap produk lokal pada ketika itu). Setakat masalah bateri kong, tayar bocor, wear-and-tear parts itu biasalah.
Hanya sekali ‘masalah major’ (kepada saya) berlaku pada Januari 2020 iaitu kegagalan crank sensor. Itupun dapat dibaiki dengan kos yang ‘mesra dompet’.
Sehingga kini, kereta saya masih stok kilang; tiada sentuhan dilakukan pada bahagian enjin. Muffler dan exhaust juga masih factory stock. Begitu juga dengan radio single DIN berjenama Blaupunkt yang masih cemerlang (walaupun bahagian pemain VCD dan USB port sudah rosak). Malah, rim asal juga masih lagi digunakan.
Bukan tak terliur tengok orang lain tukar. Tapi, memikirkan semua itu adalah kehendak dan bukannya keperluan, terus saya batalkan niat saya. Dan sepanjang penggunaan selama 9 tahun 4 bulan ini juga, sekalipun saya tidak pernah miss untuk servis di Pusat Servis Proton, KECUALI untuk baru-baru ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan, saya terpaksa mengupah foreman untuk servis di bengkelnya memandangkan kereta berada di Terengganu (dan saya menggunakan kereta isteri di Kelantan).
Dari aspek pemanduan, kereta ini terbukti sedap dipandu untuk perjalanan jauh. Dengan teknologi kotak gear 4AT, maka tiada masalah delay semasa ingin memulakan pemanduan dari 0 km/j dan sangat membantu ketika menunggu lampu isyarat ataupun ketika ingin memecut dari lorong untuk masuk ke jalan utama.
Akan tetapi, dengan struktur badan kereta yang besar, masih terasa kereta agak berat untuk dipacu terutamanya ketika ingin memotong. Prestasi kereta di selekoh cukup baik, tidak membuai, malah grip tayar ketika mengambil selekoh semasa penukaran ke gear rendah juga cukup meyakinkan. Tidak keterlaluan untuk saya nyatakan; ia lebih baik daripada Toyota Vios milik isteri saya.
Dari segi keselesaan, kereta ini didatangkan dengan kerusi balutan kulit, serta aircond sejuk membeku. Namun, dengan mengambil kira kehadiran kereta ini di arena sebagai sebuah sedan untuk keluarga, ruang tempat duduk belakang menjadi agak sempit untuk memberi ruang lebih untuk bonet belakang yang besar, cukup untuk memuatkan seberapa banyak bagasi yang diperlukan untuk perjalanan jauh.
Terdapat beberapa ciri yang saya suka secara peribadi mengenai kereta ini.
1. Fungsi bukaan bonet pada kunci kawalan jauh (auto trunk release) - Mungkin fungsi ini sudah menjadi fungsi asas untuk kenderaan moden sekarang. Tetapi, untuk kereta tempatan pada tahun 2010, ia merupakan satu wow factor bagi saya. Sebagai perbandingan, Honda City Grade E facelift (2012) pun tidak disertai dengan fungsi ini.
2. Fungsi Auto Cruise - Saya sangat suka fungsi ini! Ia sangat membantu saya jika saya penat memandu ataupun ketika memandu di kawasan yang berkebarangkalian tinggi untuk ada speedtrap.
3. Rear Boot Absorber - Kesemua kelas Proton Persona Elegance didatangi dengan spesifikasi ini. Ia sangat membantu untuk penggunaan bonet belakang semaksima mungkin tanpa gangguan.
Secara puratanya, kadar penggunaan minyak (FC) kereta saya adalah di antara 7.9 - 8.5L/100 km - bersamaan 11 - 12 km/L. Bukanlah satu pencapaian yang baik jika dibandingkan dengan kereta moden yang lain. Tetapi, dengan mengambil kira saiz serta berat kereta dan kekerapan penggunaan kereta untuk ulang-alik kerja dan jarang sekali melalui lebuh raya, saya terpaksa berpuas hati dengan julat tersebut.
Pro:
1. Lotus Ride & Handling yang baik, cukup meyakinkan pemandu dan bukan sekadar slogan pemasaran.
2. Sesuai sebagai kereta keluarga dengan ruangan bonet yang besar.
3. Pendingin hawa yang sejuk, tidak padan dengan usia.
Kontra:
1. NVH below average. Permukaan dashboard hanya plastik keras selain mula bergetar (rattle) selepas setahun dibeli.
2. Ruang tempat penumpang belakang sempit dan tidak selesa.
3. Fuel Consumption yang average.