Push Start Button kena tekan 2-3 kali? Mitos! Hauskan butang saja ada lah
Mersita · Sep 8, 2020 04:00 PM
0
0
Dengan teknologi canggih yang semakin mudah dimiliki masa kini, semakin banyak kereta-kereta moden dilengkapi dengan fungsi mudah Push Start Button. Bagi yang tak pernah memiliki kereta yang dilengkapi kemudahan ini, apakah fungsinya Push Start Button ini?
Push Start Button ialah satu butang/punat yang menggantikan penggunaan kunci fizikal konvensional. Pemandu hanya perlu membawa alat kunci fizikal di dalam beg atau poket dan tanpa perlu mengeluarkan alat tersebut, Push Start Button ini boleh ditekan untuk menghidupkan enjin. Dah tak perlu cucuk dan pusing-pusing kunci. Mudah, bukan?
Pernah tular di media sosial tentang tip penggunaan Push Start Button dimana pemandu disarankan untuk menekan butang ini dua atau tiga kali. Saranan itu mengatakan yang Push Start Button harus ditekan sekali tanpa menekan brek untuk membiarkan kotak komputer dan litar elektronik di dalam kereta membuat kitaran selama beberapa saat sebelum menekannya sekali lagi dengan pedal brek dipijak untuk menghidupkan enjin. Katanya, ini akan memanjangkan jangka hayat sistem kereta anda.
Sebenarnya, belum ada bukti kukuh yang menunjukkan kotak komputer enjin rosak disebabkan oleh Push Start Button yang ditekan dengan pedal brek untuk menghidupkan enjin serta-merta. Teknologi moden telah direka untuk menghidupkan sistem enjin dan elektronik kereta sepantas yang boleh. Inilah sebabnya Push Start Button direka untuk memudahkan pemandu, bukan untuk merumitkan lagi keadaan.
Tidak ada istilah ‘enjin/sistem terkejut’ dengan kereta-kereta moden zaman sekarang. Sistem komputer enjin direka untuk memberi respon dengan laju, bukannya seperti komputer lama. Lagipun, kereta moden sudah dilengkapi dengan fungsi keselamatan untuk memastikan enjin boleh dihidupkan dengan cepat dan dalam keadaan yang optimum. Tak perlu nak tunggu lampu ‘check engine’ untuk padam sebelum kereta dihidupkan.
Tambahan pula, Push Start Button yang terpaksa ditekan berkali-kali boleh menyebabkan kerosakan butang itu sendiri. Nanti anda juga yang susah, kan? Pijak saja pedal brek dan tekan Push Start Button terus, kereta anda akan dihidupkan dengan selamat dan anda boleh pandu terus macam biasa.
Oleh itu, sebaiknya percaya sajalah dengan buku panduan pemilik yang sudah disediakan oleh pembuat kereta tersebut. Ia sudah direka untuk berfungsi dengan saranan dan panduan pembuat kereta itu sendiri. Bukannya saja-saja nak susahkan pemandu dan bagi panduan tak betul.
Bak kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia kita, Zahidi Zainul Abidin, “Tidak Pasti Jangan Kongsi”. Mana kita nak rujuk? Pastinya buku manual pemilik anda.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.