Proton Satria GTi pandu kiri di Puerto Rico, satu-satunya Satria yang hampir sampai Amerika
Faisal · Mar 24, 2021 07:00 PM
0
0
Sebagai sebuah syarikat pengeluar yang bercita-cita tinggi, Proton turut mengeksport produk mereka di serata dunia. Antaranya seperti di United Kingdom, Jerman, Nepal, dan Mesir. Malah, mereka pernah mengeksport ke Amerika Selatan tetapi tidak pernah dijual di Amerika Syarikat (akibat ditipu).
Menariknya, Satria GTi di dalam gambar ini adalah di Puerto Rico. Katanya, hothatch ini dimiliki oleh Rafael Ivan Rivera. Menariknya, beliau telah berkongsi gambar Satria GTi miliknya di sebuah akaun Facebook yang khas untuk peminat kereta modifikasi dan aksesori kereta di kepulauan sana.
Untuk maklumat anda, Rafael adalah peminat tegar Mitsubishi. Selain Satria GTi, beliau turut memiliki sebuah Mitsubishi Mirage yang kit badannya telah diubah suai kepada satu tema yang cukup popular di Thailand. Bercakap mengenai Mitsubishi, beliau turut membantu kelab pemilik Mitsubishi di Puerto Rico.
Menurut Rafael, Satria GTi yang pandu kiri itu dibawa masuk dari Jerman. Ini bermaksud unit yang anda lihat di siini adalah satu-satunya yang ada di Puerto Rico. Sebagai kenderan yang berkongsi komponen dengan Mitsubishi, mencari alat ganti untuk hothatch yang istimewa ini tidak akan menjadi masalah langsung buat Rafael. Tambahan pula, beliau sendiri adalah ahli pemilik kelab Mitsubishi. Sudah tentu ada ‘cable’ yang baik.
Untuk pengetahuan anda, Proton Satria GTi di pasaran Jerman dijual sekejap sahaja. Di sana, ia memakai nama Proton GTi. Ini bermakna unit yang anda lihat ini cukuplah ‘rare’.
Setakat ini, perbatuan Satria GTi milik Rafael sudah mencecah 124,000 km. Apapun, hothatch ini masih dalam keadaan yang baik. Apa yang lebih menarik ialah beliau tidak ingin langsung menala enjin 1.8L 4G93P yang cukup berlegenda ini.
Sebagai rakyat Malaysia, agak membanggakan untuk melihat orang luar yang meminati dan menjaga kereta Proton walaupun di pasaran yang ia tidak terjual sekalipun. Untuk saudara Rafael dan kembar mekanik di Belanda, kami cukup menghargai anda kerana telah membawa semangat Harimau Malaya ke dunia yang lain.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.