Proton acah X50 dalam video Hari Kebangsaan, mungkin dilancar pada Oktober
Mersita · Aug 31, 2020 05:00 AM
0
0
Proton nampak gayanya terus-terusan membina ‘hype’ untuk keluaran terbarunya yang akan datang tak lama lagi, Proton X50. SUV terbaru yang amat dinanti-nantikan rakyat Malaysia itu diacah dalam video eksklusif Hari Kebangsaan yang dimuat-naik dalam Facebook Proton Cars pada pagi 31 Ogos 2020.
Video acah tersebut dimulakan dengan kerdipan lampu LED hadapan serta DRL LED X50 yang cukup mengghairahkan. Paparan sekilas lalu logo bulat Proton yang baharu juga mengesahkan yang X50 akan diberi perincian merah pada gril hadapannya.
Tambahan pula, bahagian sisi Proton X50 ini tampak betul-betul serupa dengan Geely Binyue pasaran China, termasuklah tayar 18 inci serta rim aloinya. X50 ini dipaparkan dalam tona warna biru.
Proton X50 semestinya SUV yang paling ditunggu-tunggu kerana ia akan mencabar model-model popular seperti Honda HR-V dan Mazda CX-3 tapi dengan harga yang lebih rendah.
Kita boleh jangkakan yang Proton X50 pasaran Malaysia akan didatangkan dengan enjin petrol berpengecas turbo 1.5 liter dengan 3 silinder yang mampu menjana kuasa kuda 177 PS dan tork 255 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac 7 kelajuan.
Memandangkan Proton telah memastikan kedatangan X50 dalam pelbagai video dan gambar acah, kami jangkakan yang model ini akan diperkenalkan seawal bulan Oktober.
Pasti ada juga yang tertanya-tanya tentang satu lagi SUV dari syarikat kereta nasional kedua iaitu Perodua D55L. Walaupun Proton X50 dan Perodua D55L bukannya pesaing langsung, ia mungkin akan dijual pada harga yang hampir sama dan akhirnya akan merebut kumpulan pembeli yang sama. Perodua D55L adalah SUV segmen B tahap rendah dan saiznya cuma besar sedikit daripada Perodua Myvi, manakala Proton X50 pula lebih mewah dan merupakan SUV segmen B tahap atas.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.