Projek HSR mungkin dihidupkan semula? Singapura sedia dengar cadangan baru dari Malaysia
Mersita ยท Sep 7, 2022 10:00 AM
0
0
Projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang dahulunya dibatalkan kini sedang dibincangkan semula, dan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, telah menyatakan kesediaan mereka untuk menerima cadangan baru daripada kerajaan Malaysia berhubung projek berkenaan.
Menurutnya, Singapura faham akan hasrat kerajaan Malaysia di bawah tampuk pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menghidupkan semula rancangan projek kereta api berkenaan.
Terdahulu, projek HSR dibatalkan oleh pihak kerajaan Malaysia dan lebih SGD 102 juta (RM 326.9 juta) terpaksa dibayar kepada Singapura sebagai pampasan. Projek HSR dengan nilai keseluruhan sebanyak RM 110 bilion yang dianggarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan ketika itu dianggap sebagai satu projek memakan kos terlalu tinggi. Ramai pakar ekonomi menyarankan supaya projek berkenaan dikaji semula.
Projek HSR ini dikatakan boleh memendekkan masa perjalanan antara Singapura dan Kuala Lumpur iaitu selama 90 minit sahaja. Ia dijangka boleh memanfaatkan kedua-dua negara dari segi ekonomi dan sosiopolitik.
Buat masa ini, kedua-dua negara menyambut baik perkembangan positif berkaitan projek pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura yang dijangka akan mula beroperasi pada penghujung 2026.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.