Pilihan warna baharu untuk Yamaha XMAX 250 di Indonesia, harga tak berubah!
Khairil ยท Jan 20, 2022 01:00 PM
0
0
Selepas Yamaha Fazzio Hybrid, Yamaha Motor Indonesia mengemaskini penawaran untuk skuter maxi popularnya, Yamaha XMax 250 versi 2022 menerusi pilihan warna baharu yang didakwa lebih segar.
Pilihan warna baharu yang dikatakan lebih menarik pada versi 2022 itu adalah Matte Green dan Metallic Red. Salah satu pilihan warna terdahulu iaitu Matte Black turut dikekalkan.
Seperti versi sebelum ini, corak grafik yang dipadankan kepada Yamaha XMax 250 amat minimalis sekaligus memberikan rasa premium kepada pembeli. Untuk pilihan warna Matte Green, ia digandingkan rim berwarna emas untuk impak lebih elegan.
Kepada yang mahu lebih 'garang', pilihan warna Metallic Red dikatakan mampu memberikan rasa berkenaan. Rim pula digandingkan dengan warna hitam untuk hasil lebih menarik. Tidak seperti Matte Green, ia turut memiliki pelekat di bahagian depan.
Seperti dinyatakan, perubahan kali ini hanya daripada sudut kosmetik. Tiada perubahan dari sudut trenkuasa dibuat dengan Yamaha XMax 250 2022 masih mengekalkan enjin bersesaran 250 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan transmisi automatik.
Kuasa yang dihamburkan adalah 21.6 Hp pada 7,000 rpm dan tork maksimum pada angka 24.3 Nm pada 5,500 rpm.
Suspensi menggunakan fork teleskopik dan penyerap hentak berkembar (belakang) dengan sistem brek cakera depan dan belakang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).
Sebagai skuter dengan rekaan yang gagah sekalipun sudah sekian lama tidak diubah, antara perkakasan yang digandingkan termasuklah Sistem Kunci Pintar, soket pengecas USB, lampu depan dan belakang LED, visor angin boleh laras dan ruang simpanan bawah pelana yang luas.
Dengan kemas kini ringkas ini, tiada peningkatan harga dilakukan Yamaha dengan angkanya kekal Rp 62 juta (RM 18,078) atas jalan Jakarta.
Di Malaysia, Yamaha XMax 250 antara model 'laku keras' daripada Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan sumber menyatakan warna baharu turut akan diperkenalkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Tetapi apa yang lebih menarik, timbul perkhabaran dari luar negara yang menyatakan Yamaha ketika ini sedang membangunkan XMax 250 generasi terbaharu dengan rekaan mengambil inspirasi 'abangnya', TMax 560. Sama-sama kita nantikan.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.