Pesaing Range Rover? Chery bakal lancar sub-jenama premium - Exeed Yaoguang; 2.0L TGDi, lebih besar dari CR-V!
Haris · Nov 3, 2022 09:00 AM
0
0
Sama seperti Geely dan Great Wall Motor (GWM), Chery juga mempunyai beberapa sub-jenama di bawah naungannya dan salah satu daripadanya adalah Exeed.
Exeed ada menghasilkan beberapa SUV yang kelihatan hebat. Dijadual untuk pelancaran rasmi akhir bulan ini, Exeed Yaoguang ialah wakil Chery dalam kelas mewah, lebih atas daripada Toyota Harrier.
Exeed Yaoguang adalah model yang berdasarkan kereta konsep Exceed Atlantix yang dipratonton Chery sebelum ini pada Julai 2022. Atlantix menerima banyak perhatian semasa penampilan sulungnya.
Malah, pada ketika itu Chery sudah pun membayangkan bahawa kereta itu akan dihasilkan secara besar-besaran.
Walau bagaimanapun, Exeed Yaoguang tidak kelihatan sepenuhnya seperti kereta konsep yang menjadi rujukannya. Bampar futuristik dengan corak cahaya bersepadu telah digugurkan, di mana Yaoguang mendapat gril tanpa sempadan berbentuk berlian.
Hal ini kerana Exeed Yaoguang ialah SUV berkuasa petrol dan memerlukan lubang angin bagi memastikan aliran udara sejuk masuk di bawah hud depan.
Garis bahu yang menonjol terbentang dari lampu depan tirus sehingga ke tiang-C. Kemasan sisi menambah sentuhan sporty pada SUV ini manakala pemegang pintu yang sekata dengan badan kenderaan memberikan rupa premium yang diinginkan oleh Chery.
Perhatikan rim yang menarik berbentuk seperti kipas lima jejari dan disudahi dalam warna hitam dan bukannya krom. Profil sisi Exeed Yaoguang nampaknya sangat mirip dengan garis badan Range Rover Evoque, bukan?
SUV itu mempunyai bentuk fastback yang menarik. Seperti kebanyakan SUV baharu, Exeed Yaoguang juga mempunyai jalur lampu yang melintasi pintu belakang dan menyambungkan kedua-dua lampu. Lampu belakang juga menggunakan kesan smoke untuk penampilan yang agak misteri.
Berukuran 4,781 x 1,920 x 1,671 mm panjang, lebar dan tinggi dengan jarak roda 2,815 mm, Exeed Yaoguang adalah SUV yang agak besar. Sebagai konteks, SUV ini sekurang-kurangnya 158 mm lebih panjang dan 65 mm lebih lebar daripada Honda CR-V pasaran kita.
Exeed Yaoguang vs Honda CR-V
Exeed Yaoguang
Honda CR-V
Panjang (mm)
4,781
4,623
Lebar (mm)
1,920
1,855
Tinggi (mm)
1,671
1,679
Jarak Roda (mm)
2,815
2,660
Di bahagian dalam, Chery memastikan Exeed Yaoguang menepati kelas yang disasarkan. Warna dwi-tona mendapat kemasan krom merentasi papan pemuka manakala stereng dua jejari menambah sentuhan sporty.
Untuk memastikan persekitaran yang bersih dan ringkas, bahagian dalam Yaoguang hanya mempunyai tiga tombol untuk mengawal A/C. Ia juga pemurah dengan poket ruang simpanan berdasarkan foto prebiu yang didedahkan.
Pemandu mendapat manfaat daripada gugusan instrumen digital sepenuhnya bersambung dengan skrin infotainment berukuran 24.6-inci. Tidak seperti sistem infotainmen kereta lain, Exeed Yaoguang ialah sistem android yang dikenali sebagai OS Lion 6.0 yang beroperasi dengan cip Snapdragon 8155.
Selain itu, pemandu juga mendapat paparan kepala (HUD). Kabin dalaman Exeed Yaoguang turut dilengkapi dengan 14 pembesar suara, pengecas telefon nirwayar dan pemanduan autonomi Tahap 2.
Seperti yang dinyatakan, Exeed Yaoguang akan dikuasakan oleh enjin petrol. Ia akan berkongsi enjin 2.0L TGDI yang sama seperti adiknya, Exeed Lanyue. Enjin itu menghasilkan 261 PS dan 400 Nm dan dipadankan dengan transmisi automatik konvensional 8-kelajuan.
Exeed Yaoguang pada asalnya dijadualkan untuk dilancarkan pada bulan September tetapi semuanya tidak menjadi dan Chery kini mensasarkan pelancaran November. Terdapat spekulasi bahawa model PHEV juga dalam pembangunan tetapi ia hanya akan diperkenalkan selepas pelancaran rasmi.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.