Perodua Ativa – SUV segmen A atau segmen B? Sama macam Proton X50?
Mersita · Mar 7, 2021 11:59 AM
0
0
Bergantung pada sumber maklumat anda, Perodua Ativa (D55L) baru dilancarkan semalam dikatakan sebagai SUV samada segmen A ataupun segmen B. Mana satu yang betul? Dan yang lebih penting, apa benda segmen-segmen A/B/C ni?
Jawapan dari kami cukup ringkas, tapi mungkin ada yang setuju atau tidak: Perodua Ativa (D55L) ialah sebuah SUV segmen B (bawahan). Oleh itu, anda boleh letakkan Ativa dalam kumpulan yang sama dengan Proton X50 yang juga segmen B (atasan) secara amnya.
X50 dan Ativa bukanlah bersaing secara langsung tapi perlu diingatkan yang kenderaan berkelas segmen B merangkumi SUV sekecil Mazda CX-3 sehinggalah Honda HR-V yang berbadan besar.
Juga perlu diingatkan yang kebanyakan kelengkapan hebat yang ada pada Proton X50 hanya terhad kepada satu varian iaitu TGDI Flagship yang berharga RM 103,300. Tiga varian MPI yang selebihnya (berharga antara RM 79,200 hingga RM 93,200) lebih kurang sama saja dengan Ativa (berharga dari RM 61,500 hingga RM 72,000).
Kenapa kami anggap Ativa layak dalam segmen B? Penjelasan terbaik ialah ia seperti hatchback Perodua Myvi yang juga segmen B tapi versi SUV. Ativa juga lebih panjang ukuran badannya serta jarak roda yang juga lebih panjang berbanding Myvi. Tak masuk akallah jika kita katakan ia seperti Axia (segmen A) versi SUV, bukan?
Selain dari itu, ada ruang lagi dibawah Ativa bagi sebuah SUV yang bersumberkan kereta bersaiz seperti Perodua Axia segmen A.
Di Jepun, produk ini dipanggil Daihatsu Taft dan ia sememangnya SUV segmen A. Di Eropah pula, mereka ada Fiat Panda – siap ada pilihan 4x4 lagi.
Tapi, jika anda rasa tak setuju dengan kenyataan ini dan masih juga menganggap Perodua Ativa (D55L) sebagai kereta segmen A, terpulang pada anda.
Tiada siapapun yang boleh beri jawapan yang benar-benar betul atau salah. Perodua atau Daihatsu sendiri tak kisah jawapan mana betul dan mana yang salah.
Bagi pembuat-pembuat kereta – tak kisahlah Perodua, Daihatsu, Toyota, dan lain-lain – mereka tiada definisi segmen A/B/C/D. Segmen-segmen ini secara amnya hanyalah terminologi/istilah yang digunakan oleh pengguna secara kasual dan selalunya digunapakai dalam komen-komen Facebook.
Namun, asal-usul istilah segmen A/B/C/D ini mula-mula sekali digunakan oleh Suruhanjaya Eropah sebagai panduan bagi konsumer. Tiada satu definisi mutlak bagi setiap segmen. Oleh itu, kurang sesuailah jika kita golongkan Ativa didalam segmen A kerana ia lebih pendek daripada 4 meter (Myvi pun tak sampai 4 meter panjangnya).
Fakta menarik: Walau pembuat-pembuat kereta Eropah sendiri seperti Volkswagen dan Mercedes-Benz tidak mengiktiraf terma segmen A/B/C/D ini. Sebaliknya, mereka ada istilah-istilah dalaman sendiri yang lebih relevan bagi kerja-kerja perancangan dalaman mereka.
Contohnya, Volkswagen Group menggunakan pengelompokan ‘A00’ (Up), ‘A0’ (Polo), ‘A’ (Golf), ‘B’ (Passat), ‘C’ (Audi A4), ‘D’ (Audi A6), dan ‘E’ (Porsche Panamera). Di China pula, dimana industri kereta penumpangnya secara amnya ditetapkan oleh VW dengan Santana pertama, secara langsungnya menggunapakai kaedah pengelompokan Volkswagen. Inilah sebabnya mengapa media China merujuk Passat sebagai kereta segmen B. Mereka tidak merujuk kepada ‘standard’ yang sama dengan kita.
Mercedes-Benz pula suka cara yang lebih ‘simple’ – kelas 'Compact' merujuk kepada A-Class, B-Class, CLA-Class, dan model-model SUV terbitannya. C-Class, E-Class, dan S-Class dikategorikan sekali di bawah ‘Limousines’, manakala segmen SUV lebih besar serta van dikategorikan secara generik.
Perkara yang sama terjadi dengan jenama-jenama Jepun. Pasukan kereta-kereta penumpang Toyota hanya menggunakan ‘Small-Low’ (Vios), ‘Small-Hi’ (Corolla Altis), dan ‘Medium’ (Camry).
Tiada gunanya bertanya dengan UMW Toyota Motor samada Corolla Cross mereka yang akan datang tentang samada ia model segmen C atau segmen B, ataupun samada ia tergolong dalam kelas yang sama dengan Honda HR-V segmen B. Bukan ini cara mereka.
Sebagai satu perniagaan yang bergantung kepada permintaan pelanggan, perkara paling penting kepada syarikat itu ialah Corolla Cross disasarkan terus kepada kumpulan pembeli Honda HR-V.
Walaupun Corolla Cross dibina di atas platform segmen C Corolla Altis berkelas lebih tinggi dan Honda HR-V pula dibina diatas platform segmen B Honda City yang lebih kecil, maklumat ini tidak begitu bermakna bagi konsumer.
Oleh itu, penjelasan yang sama boleh kita gunakan bagi Perodua Ativa (D55L). Konsumer tak kisah Ativa berada di dalam segmen yang mana satu dan tak perlulah beritahu pembeli yang mereka tak boleh bandingkan SUV seperti Ativa dengan sedan seperti City atau Vios
Pembeli akan memilih ikut keperluan dan kemahuan masing-masing. Apa-apa pun, konsumer akan beli apa-apa model yang boleh lepas ‘loan’, ataupun model yang tawarkan diskaun paling banyak, atau model yang boleh didapati dan dihantar kepada anda dengan cukup pantas.
Memanglah Perodua berhasrat untuk menarik pembeli dari senarai tempahan Proton X50, tapi takkanlah mereka nak cakap depan-depan pula. Tapi, anda mungkin tak jangka yang Perodua akan perkenalkan model baharu yang boleh ‘cantas’ pelanggan model sendiri seperti Myvi atau Aruz, bukan? Tapi yang pastinya, ‘kanibalisasi’ sikit-sikit memang tak dapat dielakkan.
Pasaran kereta Malaysia sudah agak matang dan Total Industry Volume kita sudah tidak berkembang sepesat dan sepantas dahulu. Bagi sesuatu jenama untuk dapatkan jualan, jenama lain terpaksa kalah. Dalam hal ini, mangsanya ialah sedan-sedan segmen B buatan Jepun, dan diikuti oleh Proton X50.
Bagi Proton pula, mereka akan mengiktiraf Perodua Ativa sebagai kereta dalam kelas yang sama dengan X50 jikalau X50 lebih laris berbanding Ativa. Jika tidak, syarikat itu akan memilih jalan cerita lain yang lebih sesuai bagi mereka supaya mereka boleh ‘claim’ yang X50 SUV No.1 paling laris dalam kelasnya.
Kisahnya sama seperti bagaimana Perodua Alza dan Proton Exora yang tergolong dalam kelas MPV yang sedikit berbeza tapi Perodua menang persaingan jualan MPV itu akhirnya. Namun, pihak PR Proton akan tetap dengan kenyataan mereka yang Proton Exora MPV No.1 paling laris dalam kelasnya. Secara teknikalnya, memang benar, tapi siapa yang Exora betul-betul kalahkan? Toyota Innova yang kosnya memang dah tinggi? Inilah ‘ulang-tayang’ senario yang sama dengan Perodua Ativa.
Cabaran bagi Perodua ialah mereka terpaksa menawan pasaran SUV kompak (samada segmen B ataupun A) dengan kereta yang lebih kecil berbanding kereta Proton kerana ini sajalah yang Daihatsu boleh berikan kepada mereka. Pokok pangkalnya, Perodua kena buat betul-betul lah dengan apa yang ada.
Inilah sebabnya mengapa barisan varian Perodua Ativa dirancang seperti sedia ada. Kekurangan Ativa dari segi kuasa kuda dengan Proton X50 Standard (98 PS lawan 150 PS) ditebus semula dengan kelengkapan yang lebih baik – 6 beg udara dengan set ADAS penuh serta lampu hadapan LED adaptif, lawan 4 beg udara tanpa ADAS di dalam X50.
Tak perlu terlalu taksub dengan debat samada Perodua Ativa tergolong dalam segmen A atau B. Kedua-dua jawapan sama-sama salah dan betul. Anda sebagai pembeli, tugas anda hanyalah untuk memilih mengikut keperluan dan kemahuan sendiri.
Yang penting, Perodua dan Daihatsu sendiri tiada tetapan bagi segmen A atau B kerana mereka membangunkan kereta bagi memenuhi permintaan pelanggan dan bukannya menurut segmen huruf yang kurang jelas.
Memandangkan kereta penderma Perodua Ativa iaitu Daihatsu Rocky/Toyota Raize terpaksa mengikut kesesuaian pelanggan di Jepun (ada isu ketinggian lot parkir) dan juga Indonesia, dimensi/ukuran badan kereta yang lebih kompak amat penting. Inilah sebab mengapa ia lebih kecil berbanding Geely Binyue (Proton X50) yang lebih berfokuskan pada permintaan pelanggan China.
Perodua Ativa dan Proton X50 bukanlah bersaing secara langsung, tapi jurang posisinya di pasaran cukup rapat. Lagipun, kedua-duanya mempunyai sasaran pelanggan yang lebih kurang sama dan pastinya pelanggan akan membanding-bandingkannya juga.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.