Perodua Ativa 2021: Varian X, H, AV - yang mana patut anda beli?
Faisal · Mar 3, 2021 08:30 PM
0
0
Perodua Ativa 2021 baharu sahaja dilancarkan sebentar tadi. Sejak tempahannya dibuka, ramai yang berminat untuk tahu tentang SUV licik ini kerana ia datang dengan pelbagai ciri tetapi pada harga yang cukup berpatutan.
Malah, harga untuk varian teratas sekalipun tetap lebih murah daripada varian permulaan Proton X50. Tambahan pula, sistem bantuan pemandu ADAS Advance Safety Assist (ASA 3.0) turut didatangkan secara standard.
Macam menarik kan? Tetapi, varian mana yang paling berbaloi untuk dibeli? Mari kita perincikan sama-sama.
Varian X sekalipun boleh tahan
Selalunya, varian permulaan mesti agak ‘kosong’. Uniknya, Perodua Ativa 1.0 X datang dengan ciri seperti keyless entry & push start, skrin pelbagai informasi 4.2 inci di tengah kluster instrumen analog, dan lampu depan LED dengan kawalan Automatic High Beam (AHB).
Dari segi keselamatan, varian ini datang dengan 6 beg udara dan sistem bantuan pemandu ADAS Active Safety Assist (ASA 3.0). Sistem ini merangkumi ciri seperti:
Pre-Collision Braking (PCB)
Pre-Collision Warning (PCW)
Pedal Misoperation Control (PMC)
Front Departure Alert (FDA)
Lane Departure Warning (LDW)
Ciri yang lebih banyak pada varian H
Mengenai varian pertengahan, Perodua Ativa 1.0 H datang dengan lampu kabus LED, lampu isyarat jenis sequential, dan rim 17 inci.
Pada bahagian dalam, ia hadir dengan sistem infotainment sesentuh 9 inci (masih tiada sokongan Apple CarPlay & Android Auto), kluster instrumen digital 7 inci, stereng dengan pelbagai fungsi kawalan, dan port USB di tempat duduk belakang.
Dari segi keselamatan, varian ini menambah ciri seperti pengesan halangan depan, kamera undur, dan lampu depan adaptif (Adaptive Driving Beam). Secara tidak langsung, Perodua Ativa kini adalah kereta paling murah di Malaysia dengan ciri lampu sebegini.
Ciri tambahan yang ada pada varian AV
Mengenai varian teratas pula, Perodua Ativa 1.0 AV didatangkan eksklusif dengan pilihan warna badan dwi-tona, kerusi kulit, dan 6 pembesar suara (4 pada varian X dan H).
Apapun, perlu dimaklumkan bahawa transmisi D-CVT yang diguna pada Perodua Ativa adalah lain daripada Toyota Direct Shift CVT.
Dari segi kuasa pemberhentian, kesemua varian pada Perodua Ativa dilengkapi dengan brek jenis disc di depan dan drum di belakang.
Konklusi – varian mana yang patut anda beli?
Secara keseluruhan, tiada istilah “kosong” yang boleh diperkatakan pada Perodua Ativa. Malah, ketiga-tiga varian sebenarnya memberikan nilai pembelian yang cukup berbaloi.
Tetapi, jika boleh, kami cadangkan anda untuk terus ke varian H ataupun AV kerana ia mempunyai ciri yang bertepatan dengan teknologi di tahun 2021.
Sementara itu, ikuti pandu uji kami mengenai SUV Perodua yang cukup hangat ini.
Beliau berlatar belakangkan kejuruteraan mekanikal dan mempunyai minat yang mendalam terhadap kereta sejak dipaksa untuk membaca buku (permotoran). Disebabkan itu, beliau ada titik lembut untuk setiap kereta. Walaupun meminati pemanduan yang rancak, gaya pemanduan beliau yang sebenar hanyalah santai kerana sudah dimanja oleh Lexus.