Edaran Tan Chong Malaysia secara rasminya telah memperkenalkan satu varian tertinggi baharu bagi MPV popularnya, Serena – Nissan Serena 2023 J Impul Edition.
Dengan kemaskini luaran dan dalaman Impul yang unik, pakej ini boleh didapati dengan tambahan RM 6,000 pada varian Premium Highway Star. Dua varian Serena 2023 kini dijual pada harga:
- Highway Star: RM 149,888
- J Impul Edition: RM 169,888 (termasuk pakej warna dwi-tona)
Perlu diingatkan yang pakej warna dwi-tona tersebut menambah RM 2,000 lagi pada harganya; pakej warna hitam tona tunggal juga ditawarkan pada harga RM 167,888.
Juga baca: Nissan Serena 2023 C28 serba baru dikesan sedang diuji di Malaysia, pelancaran tahun ini?
Serena J Impul sebagai tambahan kepada Premium Highway Star Package bagi sentuhan luaran lebih mewah, rupa bentuk lebih ‘sporty’, dan perincian dalaman yang baharu – semuanya dibangunkan secara eksklusif bersama ‘tuner’ terkenal dari Jepun, Impul Japan.
Di bahagian hadapan, Serena diserikan lagi dengan hiasan krom pada bampar hadapan, dipadankan dengan selitan krom di ‘grille’ hadapan V-Motionnya. Di bahagian belakang pula, trim krom dipasang pada bahagian bawah bampar dan juga lencana Impul di pintu bonetnya.
Juga baca: 22 imej 'racun' - mengapa anda patut menunggu Nissan Serena C28 2023 tiba di Malaysia!
Pakej luaran Serena J IMPUL dilengkapkan dengan satu set rim aloi ‘Y-spoke’ Impul Millenium dengan kemasan dwi-tona. Rim 18 inci ringan ini dibuat di Jepun.
Rim ranggi ini dibalut pula dengan tayar Goodyear Eagle F1 Sport untuk cengkaman dan tindakbalas stereng dipertingkat.
Ruang dalaman Serena juga diberi ‘makeover’ Impul yang premium dengan tempat duduk serta trim pintu disarung kulit Nappa. Ruang dalaman ini dilengkapkan dengan rona berkontra burgundy dan hitam, selain menampilkan corak unik berinspirasikan taman batu Jepun pada tempat duduknya berserta logo Impul bersulam.
Juga baca: Nissan Serena 2022 facelift dilancarkan di Malaysia - kini dengan ADAS, harga dari RM 149,888
Trenkuasa dan kelengkapan keselamatannya kekal sama; memaparkan enjin petrol 2.0 liter NA 4 silinder yang menjana 150 PS dan 200 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik CVT. Selepas kemaskininya pada 2022, Serena juga dipadatkan dengan suite ADAS Nissan Intelligent Mobility yang menampilkan ‘predictive’ FCW, BLIS, RCTA, dan LDW.
Nissan Serena J Impul didatangkan bersama-sama waranti 5 tahun/100,000 km dan 5 pakej servis selenggara percuma. Di samping itu, tambahan Impul ini pula disertakan dengan waranti 3 tahun/100,000 km.