MG Sales (Thailand) Co., Ltd. dengan bangganya mengumumkan bahawa mereka telah mengumpulkan lebih 3,000 unit tempahan untuk MG ZS EV dan MG EP elektrik sepenuhnya pada Pameran Motor Antarabangsa Bangkok 2022 yang baru berakhir minggu sudah.
MG ZS EV facelift 2022 baharu didatangkan dengan rekaan baharu dan skrin infotainmen sesentuh 10 inci yang dipertingkatkan dengan Android Auto / Apple CarPlay. Jarak perjalanan juga ditingkatkan daripada 337 km kepada 403 km, hasil daripada naik taraf bateri 50.3 kWj yang lebih besar (naik daripada 45 kWj).
MG berkata antara punca di sebalik bilangan pesanan yang tinggi adalah disebabkan oleh harga model 2022 yang lebih rendah.
MG ZS EV kini lebih murah sebanyak THB 227,000 – 246,000 (kira-kira RM 28,600 hingga RM 31,000) hasil subsidi tambahan untuk kenderaan elektrik bateri (BEV) yang diumumkan oleh kerajaan Thailand.
Harga baharu itu diumumkan di Pameran Motor Antarabangsa Bangkok, yang berlangsung dari 23 Mac hingga 3 April.
MG berkata penghantaran untuk model potongan harga baharu 2022 tersebut akan bermula pada Mei tetapi disebabkan oleh kekurangan alat ganti di peringkat global dan jumlah tempahan yang tinggi, syarikat mengumumkan bahawa hanya boleh memenuhi semua tempahan pada suku akhir 2022.
Baca: Pernah dipandu uji di Malaysia, MG ZS EV kini terima facelift di Thailand!
MG ZS EV kini berharga THB 949,000 (~ RM 119.6k) untuk Model asas D manakala THB 1,023,000 (~ RM 128.9k) untuk Model X. Sebelum ini, model tersebut masing-masing berharga THB 1,189,000 dan THB 1,269,269,000 (sekitar 149.8k – RM 159.9k).
Sebagai rujukan, 2022 Honda HR-V hibrid generasi baharu (sekurang-kurangnya di Thailand) berharga dari THB 979,000 hingga THB 1,179,000 (~ RM 123.4k hingga RM 148.6k), sedikit lebih mahal berbanding MG ZS EV ini.
Wagon elektrik MG EP pula berharga antara THB 761,000 hingga THB 771,000 (~ RM 95.9k hingga RM 97.2k), turun daripada THB 988,000 kepada THB 998,000.
Baca: Adakah MG wagon ini bakal menjadi kereta EV keluarga termurah di Indonesia?