MotoGP: 'Pasukan negara' di MotoGP 2022 dikenali WithU Yamaha RNF MotoGP Team, Binder sertai Dovizioso!
Khairil ยท Oct 22, 2021 01:00 PM
0
0
Selepas puas berteka-teki, pasukan negara di MotoGP yang dikenali Petronas Yamaha SRT musim ini secara rasmi akan dikenali sebagai WithU Yamaha RNF MotoGP Team pada musim 2022 susulan penstrukturan semula pasukan itu.
Pasukan yang dikendalikan Datuk Razlan Razali itu mengesahkan perjanjian bersama Yamaha sebagai pasukan satelit jenama itu bagi musim 2022. Turut dimuktamadkan adalah perjanjian dengan penaja utama baharu, WithU.
SRT atau Sepang Racing Team akan menutup operasinya dalam saingan MotoGP, Moto2 dan Moto3 sejurus musim ini berakhir selepas penarikan diri penaja utama Petronas dan perpisahan dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Susulan itu, RNF ditubuhkan Razlan yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif SIC sebagai usaha mengekalkan 'pasukan negara' di kancah berprestij berkenaan.
Selain pengesahan Yamaha sebagai jentera dan penajaan syarikat Itali, WithU, satu lagi perkembangan terbaharu adalah membabitkan pelumba yang akan bergandingan dengan Andrea Dovizioso dalam pasukan berkenaan. Dan pelumba itu adalah pelumba Moto3 dari Afrika Selatan, Darryn Binder.
Begitupun sedikit mengejutkan, kerjasama Yamaha-RNF hanya dimuktamadkan bagi musim 2022 dan 'berkemungkinan' bagi musim 2023 dan 2024.
"Kami mencapai tanda aras yang bersejarah untuk pasukan RNF MotoGP Team yang baharu," kata Razlan. "Saya mahu berterima kasih kepada Yamaha atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada saya dan pasukan untuk musim berikutnya sekalipun cabaran yang kami tempuh pada tahun ini.
"Pencapaian yang kami kongsi bersama dalam tiga tahun pertama bersama rakan kongsi kami dengan kemenangan, podium, petak utama dan anugerah menjadi detik penuh memori dan memberikan kami motivasi untuk mencapai keputusan lebih membanggakan.
"Kami mempunyai pengalaman daripada kejayaan kami sebelum ini, disokong oleh pasukan yang sama dan kuat serta krew yang bersemangat di garaj MotoGP kami, dengan barisan pelumba yang berkualiti, dan kami bersedia untuk membuat kepulangan semula yang kompetitif bersama Yamaha bagi musim 2022."
Bos besar Yamaha Racing, Lin Jarvis turut mengakui lega dengan lanjutan kerjasama berkenaan dan memberi jaminan mereka akan terus melakukan yang terbaik untuk menyokong pasukan satelitnya.
Begitupun, tiada spesifikasi jentera diumumkan untuk pasukan WithU Yamaha RNF MotoGP Team namun Dovizioso dijangka akan menggunakan jentera Yamaha YZR-M1 spesifikasi utama manakala Binder menggunakan spesifikasi A.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.