Sebagai antara cara menyegarkan penawaran barisan modelnya, MForce Bike Holdings (MForce) memperkenalkan Benelli VZ125i Edisi Khas 2021 yang diberi kemasan baharu dari sudut corak grafik dan pilihan warna.
Kemas kini yang diberikan kepada model yang diperkenalkan di pasaran tempatan beberapa tahun lalu itu pastinya amat dialu-alukan dengan corak grafik baharu yang dipadankan sememangnya dapat menarik perhatian.
Juga baca: Benelli R18i dilancar, 174 cc, 18 Hp, harga bermula RM 7,999!
Tampil dengan rekaan menarik hasil rekaan pereka Itali, Benelli VZ125i Edisi Khas 2021 diberi tiga pilihan warna baharu iaitu:
- Yellow
- Red Brown
- Light Blue
Harga yang ditawarkan pula adalah RM 5,838 tidak termasuk pendaftaran dan cukai jalan.
Juga baca: MForce lancar skuter ADV, Wmoto Xtreme 150i 2021 di pasaran Malaysia, harga asas RM 9,588!
Tiada perubahan dari sudut spesifikasi mekanikal dengan Benelli VZ125i Edisi Khas 2021 ini dijana enjin 124 cc, 4 Lejang, 1 Silinder, SOHC yang dipacu transmisi automatik CVT.
Kuasa yang dihasilkan adalah 8.4 Hp pada 7,500 rpm dengan tork maksimum 9.2 Nm pada 6,000 rpm.
Ciri-ciri menarik yang dipadankan kepada model ini adalah penggunaan lampu utama LED bersama lampu siang DRL, panel meter digital pelbagai informasi yang mudah dilihat.
Juga baca: MForce kini pengedar sah QJ Motorcycle, motosikal berkuasa tinggi mampu milik dalam perancangan?
Untuk mendapatkan kualiti tunggangan yang terpuji, ia dipadankan dengan sistem suspensi fork teleskopik dan penyerap hentak tunggal (belakang) menggunakan jenama Kayaba.
Sistem brek pula menggunakan cakera tunggal di roda hadapan dengan brek dram di roda belakang yang dilihat mencukupi untuk skuter dalam kelas berkenaan.
Sebagai tambahan, Benelli VZ125i Edisi Khas 2021 ini didatangkan dengan sistem kunci magnetik anti-kecurian yang sekaligus meningkatkan keyakinan pemiliknya.
Mementingkan praktikaliti untuk kegunaan harian dan santai, Benelli VZ125i Edisi Khas 2021 turut mempunyai port USB untuk mengecas gajet bawah pelana, tempat penyangkut yang terletak di belakang fairing hadapan.
Juga baca: MForce lancar SM Sport 110R (2021) dengan warna, corak grafik baharu, harga RM 4,018!
Dan sebagai tambahan, model yang memiliki tangki bahan api berkapasiti 4.9 liter ini turut dilengkapi dengan ruang kecil yang mampu memuatkan barang-barang kecil seperti telefon dan powerbank di bahagian kokpit.
Kepada yang berminat, Benelli VZ125i Edisi Khas ini sudah pun berada di semua premis pengedar sah Benelli seluruh negara.
Turut disediakan adalah jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan sejauh 20,000 km (mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti dalam talian oleh MForce.
Juga baca: Tunggang uji WMoto XTreme 150i 2021: Anda rasa 'yang popular' tu dah 'best'? Fikirkan semula