Malaysia dijangka jadi antara destinasi terawal Benelli BKX250, BKX250S (2023)!
Khairil · May 29, 2023 04:00 PM
0
0
Tak lama selepas kemunculannya di Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2022 November lalu, motosikal yang disifatkan tampil dengan rekaan radikal, Benelli BKX250 (2023) dikhabarkan akan memasuki pasaran Malaysia.
Lebih menarik, selain Benelli BKX250 (2023) yang memghuni segmen 'Adventure touring', turut dijangka tiba adalah 'saudara kembarnya' Benelli BKX250S (2023) yang menghuni segmen 'Naked'.
Tiada pengumuman rasmi dilakukan pengedar rasmi jenama Benelli di Malaysia, MForce Bike Holding (MForce) tetapi ia berdasarkan sumber yang diperoleh daripada syarikat berkenaan.
Dan tidak perlu menunggu terlalu lama, berdasarkan laporan Arena Motosikal, kedua-dua model itu katanya berkemungkinan besar akan dilancarkan pada suku keempat tahun 2023 pada awal tahun 2024.
Diumumkan dalam dua segmen berbeza, tetapi secara asasnya Benelli BKX250 dan BKX250S (2023) dijana trenkuasa yang sama iaitu enjin bersesaran 249 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan.
Kuasa yang dihamburkan juga sama iaitu sekitar 25.8 Hp pada 9,250 rpm dengan tork 21 Nm pada 8,000 rpm.
Berbalik ketika kemunculan sulungnya di EICMA 2022, berikutan rekaannya yang boleh disifatkan radikal, Benelli BKX250 dan BKX250S (2023) tidak menunggu lama untuk menjadi perhatian ramai.
Tetapi, ia bukanlah sesuatu yang boleh dianggap sebagai teruk. Malah sekalipun Benelli kini dimiliki syarikat China (Qianjiang Motorcycle), kedua-dua model ini tidak mendapat 'sentuhan' pereka China.
Tetapi rekaannya menggunakan kepakaran Itali iaitu di Benelli Style Centre di Pesaro.
Justeru sekalipun nampak radikal dan drastik, ia sebenarnya tidaklah 'menyakitkan' mata dan paling unik pastinya rekaan depan terutama rekaan lampu yang cukup menonjol.
Ketika di EICMA 2022 juga, Benelli berkata kedua-dua model ini akan mula tiba di bilik pameran pengedarnya di pasaran antarabangsa pada pertengahan tahun 2023 jadi jika ia tiba di Malaysia mengikut apa yang dikhabarkan, kita akan menjadi antara destinasi terawal motosikal berkenaan. Sama-sama kita nantikan.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.