KPDNHEP kaji mekanisme subsidi minyak baharu, kenderaan asing "curi" hak rakyat Malaysia berleluasa!
Haris · Nov 22, 2022 11:00 AM
0
0
Satu mekanisme subsidi minyak petrol dan diesel yang lebih berkesan sedang dikaji oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mengelakkan ketirisan terhadap pengguna dari negara asing.
Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd. Yusof berkata undang-undang yang lebih berkesan perlu dibuat bagi menangani penyalahgunaan subsidi minyak oleh kenderaan yang tidak didaftarkan di Malaysia.
“Banyak aspek teknikal sedang diperhalusi untuk memastikan tiada ‘loopholes’ (kelemahan) semasa pelaksanaan pada masa akan datang,” ujarnya dalam satu laporan daripada Kosmo.
Tambahnya lagi, dia sendiri sudah turun padang ke stesen-stesen minyak di negeri Perlis bagi melakukan siasatan, semakan dan perbincangan dalam pelaksanaan peraturan baharu kelak.
Orang ramai diminta melaporkan aduan secara rasmi mengenai dakwaan kenderaan Siam yang ‘mencuri’ minyak diesel dari beberapa stesen di Perlis khususnya.
“Buat aduan secara rasmi melalui platform yang disediakan, bukannya menerusi media sosial kerana ia akan menyukarkan tindakan lanjut kerana banyak verifikasi yang perlu dilakukan,” katanya.
Di samping itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah memberitahu, pihaknya membuat intipan dan tindakan berdasarkan maklumat awam tentang kebanjiran pikap Thailand yang memandu secara melulu dan melanggar peraturan lalu lintas kelmarin.
“Hasil intipan pasukan khas itu mendapati beberapa pikap Thailand berlegar di sekitar Kangar dan kenderaan tersebut berjaya ditahan di sebuah stesen minyak di sini,” katanya.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.