Kereta kegemaran Yakuza, 2023 Toyota Prius akan menerima rekaan belakang inspirasi daripada Nissan Z baharu!
Haris · Jul 14, 2022 02:00 PM
0
0
Jika anda cuba memahami budaya Jepun dari perspektif budaya pop Barat, maka anda akan terfikir bahawa oyabun (ayahanda) Yakuza terkenal menggunakan Toyota Century. Imej ini sebenarnya tidak lagi tepat sejak 2010-an.
Seperti usahawan biasa, perniagaan tidak lagi berkeuntungan tinggi walaupun dalam dunia pasaran gelap. Undang-undang anti-boryokudan (jenayah terancang) yang lebih ketat melanda Yakuza di mana ia memberi kesan paling menyakitkan terhadap akaun bank mereka.
Dunia yang disambungkan ke internet hari ini bermakna telefon pintar adalah penting untuk perniagaan tetapi ramai Yakuza terpaksa terus menggunakan telefon lipat 3G lama mereka kerana tiada pengendali rangkaian mudah alih di Jepun mahu menerima kontrak data mudah alih 4G / 5G baharu dengan sesiapa sahaja yang berkaitan dengan Yakuza disebabkan oleh denda yang terlalu tinggi.
Klip berita di bawah adalah insiden tembakan yang melibatkan beberapa ahli Yakuza, termasuk seorang ahli yang menggunakan Toyota Prius.
Semua faktor ini memaksa Yakuza untuk mencipta semula diri mereka menjadi ahli perniagaan yang sah dan kereta kegemaran mereka bukanlah Century atau Alphard, tetapi Toyota Prius. Hal ini kerana ia adalah salah satu kereta paling popular di Jepun, murah untuk digunakan dan membolehkan mereka untuk berasimilasi (dan bertahan) dengan baik.
Menurut penerbitan Jepun Mag-X, Toyota Prius generasi keempat (tidak dijual di Malaysia tetapi biasa ditemui di Singapura sebagai salah satu kereta Grab / teksi yang paling boleh dipercayai) akan dihentikan pada penghujung tahun ini.
Mag-X berkata Toyota Prius serba baharu akan terus meneroka pasaran baharu dengan gayanya yang unik, kali ini dengan jenis badan baharu yang bukan sedan, tetapi bukan juga crossover atau SUV.
Sumber penerbitan mengatakan Toyota Prius generasi kelima, berkemungkinan besar akan debut pada akhir 2022 sebagai model 2023, bakal menggunakan pemegang pintu belakangnya yang disepadukan ke bingkai pintu atas, untuk memberikannya gaya seperti coupe 2 pintu, seperti Honda HR-V / Toyota C-HR.
Kehadiran lapisan fender yang dihitamkan di sekeliling gerbang roda juga memberikan rupa yang crossover / mirip SUV. Perincian ini turut memberi petanda bahawa Toyota Prius 2023 serba baharu mungkin menampilkan posisi pemanduan yang lebih tinggi.
Kemuncak identiti Prius baharu ialah lampu ekor lebar penuhnya yang disepadukan ke dalam pintu belakang potongan menegak ala fastback, tidak terlalu berbeza daripada Nissan Z. Di hadapan, ia mempunyai elemen reka bentuk Corolla (hatchback).
Penjana kuasa berkemungkinan besar kekal tidak berubah - enjin hibrid 1.8 liter 2ZR-FXE yang boleh dipercayai. Bateri itu bagaimanapun berkemungkinan akan dikemas kini dengan teknologi bi-polar baharu yang membuat penampilan pertama dalam generasi kedua Toyota Aqua (Prius C) tahun lepas.
Bateri dwi-kutub ini menggabungkan bahan kimia NiMh - lebih dipercayai berbanding Li-Ion kerana ia mempunyai julat toleransi suhu yang lebih besar - dengan plat elektrod bipolar pertama di dunia yang menggandakan output kuasa bateri dengan berkesan.
Keputusannya? Prestasi dan kecekapan bahan api dipertingkatkan tanpa menjejaskan kebolehpercayaan yang diperlukan oleh pemandu teksi Prius di seluruh dunia.
Toyota Prius kali terakhir dijual di Malaysia pada sekitar 2014, model generasi ketiga XW30. Penyingkiran pengecualian cukai untuk hybrid import bermakna Prius yang diimport akan diberi harga di luar persaingan, jadi UMW Toyota Motor tidak bersusah payah untuk memperkenalkan penggantinya.
Sebaliknya, kedudukannya dalam barisan model Toyota telah diambil alih oleh model pemasangan tempatan (CKD) Toyota Corolla Cross Hybrid.
Latar belakang yang pelbagai menjadikan beliau lebih memahami kehendak pembaca. Penulis tidak memiliki kereta sendiri, justeru, semua kereta yang dipandu hingga kini adalah pandu uji. Kereta pertama yang bakal dimiliki beliau tentulah yang terbaik dan patut anda perhatikan.