Kenapa kadangkala ada tayar ‘spare’ pun tak guna? Ini sebabnya.
Mersita · Mar 28, 2021 04:00 PM
0
0
Satu langkah yang semakin lazim diambil oleh pembuat kereta masa kini ialah menjual kereta lengkap dengan tayar ganti atau ‘spare tyre’ dengan rim sekali.
Kadangkala kalau tak ada tayar ganti, pembeli akan dapat tayar ‘run flat’, sistem pemantauan tekanan angin tayar, ataupun solusi lebih DIY seperti kit pembaikan tayar.
Ramai pembeli yang tak puas hati jika kereta tidak didatangkan dengan tayar ganti dan menganggap pengeluar kereta lokek atau memberikan solusi lebih mahal sebagai ganti.
Tapi, jika difikirkan dengan lebih mendalam, adakah anda benar-benar perlukan tayar ganti di dalam kereta?
Anda sebenarnya ada masa untuk pandu perlahan-lahan
Masalah paling biasa yang anda boleh hadapi ialah tayar pancit disebabkan paku atau benda-benda tajam. Selalunya, kebocoran berlaku dan angin keluar perlahan-lahan.
Walaupun anda perasan yang tayar semakin pancit, anda tak perlu terlalu panik kerana masih ada masa untuk pandu perlahan-lahan ke kedai tayar atau stesen petrol berhampiran.
Tapi, bagaimana jika tayar anda pecah, meletup atau koyak-rabak serta merta? Perkara ini amat jarang berlaku dan inilah salah satu sebabnya mengapa pengeluar kereta menganggap tayar ganti tidak diperlukan dalam pakej pembelian kereta.
Nak tukar tayar bukan senang
Perkara pertama yang perlu kita pertimbangkan ialah berapa ramai antara kita yang tahu bagaimana caranya untuk menukar tayar kereta dengan betul?
Walaupun anda tahu caranya, kereta-kereta moden kebanyakannya mempunyai tayar bersaiz besar (tayar 17 inci sudah jadi kebiasaan) dan ia bukanlah ringan untuk diangkat. Dah lah memenatkan, permukaan jalan di tempat anda berhenti juga barangkali tidak begitu rata dan keras untuk menampung ‘jack’.
Walaupun anda berkebolehan untuk menukar tayar, usaha dan tenaga yang diperlukan untuk menukar tayar pada kereta-kereta tinggi dan besar seperti SUV dan MPV bukanlah sesuatu yang hanya memerlukan otot besar.
Bayangkan betapa susahnya nak naikkan atau ‘jack’ kereta yang sememangnya dah tinggi. Anda perlukan ketinggian yang selesa dan ruang yang cukup besar untuk keluarkan tayar kereta. Tak sanggup.
Percayalah, kami dah saksikan ramai orang yang memang tak tahu bagaimana caranya untuk menukar tayar – baik perempuan mahupun lelaki, sama saja. Akhirnya, minta orang lain tolong buatkan. Baik anda pandu saja perlahan-lahan ke kedai tayar daripada bersusah-payah dan buang masa.
Itu pun kalau kereta anda tidak diubahsuai dengan tayar yang lebih besar. Sepanjang tempoh pemilikan, pasti ada yang nak tukar rim baru – selalunya tukar kepada saiz lebih besar. Tayar ganti anda dari kilang akhirnya tak dapat digunakan. Nak tukar tayar ganti saiz baru pun, ruang simpanannya di dalam but takkan muat dengan tayar bukan saiz standardnya.
Tambahan pula, tayar ganti juga perlu diselenggara secara berkala iaitu pemeriksaan tekanan angin. Bukannya untuk dibiarkan saja bertahun-tahun. Ramai yang tak tahu tayar ganti mereka sepatutnya dipam secara berkala dan cubaan untuk menukar tayar pancit anda hanya akan membuang masa.
Tukar tayar di sisi jalan juga bahaya
Jika anda sememangnya pernah menukar tayar sendiri satu ketika dahulu, anda juga patut ingat betapa bahayanya tertonggek-tonggek dan mencangkung di tepi jalan raya. Tambahan pula, anda pasti terpaksa berhenti di lorong kecemasan paling kiri. Segala jenis lori dan trak yang lalu – seram tak seram?
Teknologi boleh membantu
Teknologi baru pastinya amat berguna untuk masa-masa sukar sebegini. Banyak kereta-kereta baru masa kini yang didatangkan dengan tayar ‘run-flat’. Walaupun ianya mahal, tayar jenis ‘run flat’ memberikan anda lebih ruang masa untuk sampai ke destinasi anda walaupun tayar mengalami kebocoran.
Kebanyakan kereta baru juga didatangkan dengan pemantau tekanan angin tayar. Kelengkapan ini sangat berguna kerana ia akan mengesan penurunan tekanan angin tayar kereta anda pada fasa awalnya.
Walaupun kereta anda tidak dilengkapi dengan alat ini dari kilang, anda boleh beli sendiri dan pasang pada kereta anda. Harganya pun tidaklah terlalu mahal dan ia lebih memudahkan daripada menjaga tayar ganti.
Kesimpulan
Oleh itu, lain kali apabila anda beli kereta baru, usah gusar jika ia tidak didatangkan dengan tayar ganti. ‘Kekurangan’ ini tidak sepatutnya jadi satu faktor untuk anda batalkan niat beli kereta yang anda suka.
Seperti yang kami katakan tadi, semakin ramai pemilik kereta yang sebenarnya tak tahu bagaimana caranya untuk menukar tayar mahupun menjaga tayar ganti dengan elok. Kesudahannya, membawa beban tambahan di dalam bonet kereta anda agak kecil faedahnya.
Gemarkan kereta tinggi atau wagon, yang setakat ini masih lagi dalam igauan. Memilih Kenari terpakai sebagai kereta pertama, sukakan pemanduannya yang menyeronokkan dengan ruang dalaman yang luas. Mementingkan praktikaliti dan kepuasan sanubari dalam pemilihan kereta.