Dua warna baharu, Passion Red dan Metallic Carbon Gray kini ditawarkan kepada peminat Kawasaki Ninja 250 bagi versi 2021 di Indonesia.
Perkembangan itu dikongsikan Kawasaki Motor Indonesia di laman Facebook syarikat berkenaan. Begitupun, tiada perubahan dari sudut spesifikasi mekanikal terhadap versi terbaharu ini.
Ia masih mengekalkan spesifikasi sama seperti model tahun sebelumnya iaitu dilengkapi enjin 249 cc, Penyejuk Cecair, 4 Lejang, 2 Silinder Parallel, DOHC, 4 Injap.
Transimisinya menggunakan kotak gear enam kelajuan dan dilengkapi dengan sistem Assist & Slipper Clutch.
Seperti Kawasaki Ninja 250 STD yang ditawarkan di Malaysia, kuasa yang dihamburkan jentera ini adalah 38.4 Hp pada 12,500 rpm dengan tork 23.5 Nm pada 10,000 rpm.
Ciri-ciri lain adalah ia menggunakan sistem brek cakera depan 310 mm manakala brek cakera belakang 220 mm, fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock boleh laras prabeban.
Dengan tangki bahan api berkapasiti 14 liter, berat keseluruhan Kawasaki Ninja 250 2021 adalah 163 kg.
Harga jualan yang ditawarkan untuk pasaran Indonesia adalah sebanyak Rp. 64,200,000 (RM 18,598) di Jakarta.
Selain Kawasaki Ninja 250, Kawasaki Motor Indonesia turut menawarkan varian 'Sportbike' suku liter paling ditunggu-tunggu di Malaysia iaitu Ninja ZX-25R ABS SE dengan harga Rp 114.900.000 (RM33,287).
Tidak diketahui bila jentera 250 cc paling hangat ini akan tiba di Malaysia namun apa yang pasti adalah ia jentera yang paling dinanti-nantikan peminat Sportbike tempatan.