Honda RS150 V2 baharu makin payah dicari, pengeluaran sudah dihenti beri laluan kepada RS-X?
Khairil ยท Jan 14, 2022 06:00 PM
0
0
Kehadiran Honda RS-X memang amat dinantikan peminat kapcai tempatan. Selepas diperkenalkan julung kalinya di Vietnam pada 2019 sebagai Honda Winner X, ia berjaya mencetus 'angau' dan mengacau dominasi Yamaha Exciter 150 di negara berkenaan sebelum tiba ke Malaysia, November tahun lalu.
Tiba sebagai model baharu berbanding model terdahulu dikenali Honda RS150R V2, selain rekaannya yang cukup inovatif dan berbeza, harga yang ditawarkan untuk RS-X iaitu asas RM 8,688 cukup dialu-alukan.
Dan susulan penawaran harganya yang cukup menarik itu, tak menghairankan permintaan terhadap Honda RS-X jelas tinggi.
Tetapi meskipun tiba sebagai model serba baharu, tiada perubahan ketara dari sudut trenkuasa mahupun spesifikasi terkini terhadap RS-X. Justeru, masih ada peminat terutama daripada jenama berkenaan bertindak 'mendiamkan' diri daripada melakukan 'upgrade'.
Malah berikutan itu juga, permintaan untuk Honda RS150R V2 baharu tetap ada. Dan meskipun BSH tidak mengumumkan penamatan pengeluarannya, model berkenaan anehnya semakin payah untuk dicari ketika ini.
Menurut sumber yang diperoleh, kilang BSH tidak lagi menghasilkan Honda RS150R V2 sejak pelancaran Honda RS-X sebagai memberi tumpuan penuh kepada model yang lebih baharu itu.
Begitupun, ia tidak bermakna model RS150R V2 sudah dihentikan pengeluaran sepenuhnya kerana menurut sumber itu lagi, kilang BSH akan kembali menghasilkan model berkenaan pada Februari ini.
Mengintai laman web jual beli popular, tidak ramai pengedar masih menawarkan Honda RS150R V2 dan rata-rata mereka melakukan promosi jualan penghabisan stok.
Terbaharu mengenai Honda Winner X, ia diberi 'nafas baharu' oleh Honda Motor Vietnam menerusi beberapa perubahan kosmetik, baru-baru ini.
Justeru, ramai yang menyatakan ia masih belum mampu untuk menyaingi kehebatan Yamaha Y16ZR atau Yamaha Exciter 155 VVA.
Apapun, Honda pastinya tidak akan berdiam diri kerana Honda Winner X atau RS-X dengan lebih berkuasa, ia semestinya berkemampuan untuk mengacau kedudukan kapcai nombor satu. Jadi, sama-sama kita nantikan.
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.