Kegilaan dengan Honda Civic sememangnya dilihat agak keterlaluan. Lagi-lagi bila orang sudah mula mengumpul model ini sebagai hobi. Paling terbaru yang kami temui, Honda Civic EK9 telah dijual dengan harga RM 300,000.
Kami juga meminati Honda Civic. Kami mengakui bahawa Honda Civic FD adalah model Honda Civic terhebat sepanjang zaman. Ternyata, ramalanku benar belaka (lagu).
Kali ini, sebuah Honda Civic FN2 (varian FD2 untuk pasaran UK) telahpun dibuka untuk jualan sebanyak HKD 688,000 (RM 377,535). Jadi apa yang menyebabkan kereta ini mencapai harga yang kurang masuk akal ini?
Pertama sekali, ini bukan Honda Civic biasa. Ini adalah Honda Civic Type R. Kedua, ini bukan sekadar Type R biasa. Ini adalah Type R Mugen. Mugen telah menala kereta ini dengan kuantiti ultra-terhad dan kualiti binaan yang ditempa dengan tangan.
Kereta ini dikatakan mempunyai camshaft dan piston yang dipertingkatkan, ekzos keluli tahan karat dan lebih baik bahkan ia didatangkan dengan ECU yang boleh disesuaikan dengan gaya pemanduan peribadi pemiliknya.
Selain itu, model ini dilengkapi dengan roda keluli ringan, kaliper brek monoblock empat piston dan suspensi yang dipertingkat. Rekaan keseluruhannya juga ditambah dengan bumper yang lebih agresif, spoiler yang lebih besar, lencana Mugen dan pilihan cat putih Championship White.
Kesemua tambahan yang diberikan ‘hanya’ memberikan kuasa kuda sebanyak 237 PS. Walaupun begitu, apa yang membuatkan harganya mencanak tinggi adalah hanya 20 unit sahaja dijual di seluruh dunia. Model ini adalah unit ke #21 iaitu unit terakhir bagi model ini.
Belum cukup setimpal lagi harga tu? Model ini dijual oleh Contempo Concept, sebuah pengedar kereta unik di Hong Kong, di mana pemilikan kereta menelan kos yang sangat tinggi hasil daripada struktur cukainya.
Jarak perbatuan sekadar 17,000 km pada odometer menandakan bahawa kereta ini sememangnya sebuah barang pengumpul (collector’s item). Dengan harga dan spesifikasi sebegini, adakah berbaloi harga tersebut dengan keretanya?
Sumber: The Drive