Boon Siew Honda (BSH) mengemaskini penawaran untuk 'Sportbike' aras mulanya, Honda CBR150R di Malaysia dengan memperkenalkan varian edisi terhad Repsol (2022) dengan hanya 800 unit tersedia di pasaran.
Apa yang menarik, sekalipun tidak menyatakan secara terang-terangan, penggayaan 'liveri' Repsol ini sememangnya mirip skema warna yang digunakan di jentera Honda yang beraksi di kancah MotoGP, RC213V.
Juga baca: Honda CBR250RR 2020 dilancar di Malaysia, dua warna menarik, harga RM26k.
Justeru, bahagian panel badan, tangki minyak, 'fender', bahagian depan tampil dengan gabungan tiga warna iaitu jingga, putih dan merah berserta logo Repsol di bahagian depan dan sisi.
Manakala bahagian 'fender' bawah dipadankan dengan warna hitam dengan tulisan Honda. Untuk meningkatkan rasa istimewa, rim juga dipadankan dengan warna jingga dengan fork USD berwarna emas.
Tiada perubahan dari sudut spesifikasi trenkuasa dinyatakan. Justeru, ia kekal dengan enjin bersesaran 150 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihamburkan adalah setinggi 16 Hp pada 9,000 rpm dan tor 13.7 Nm pada 7,000 rpm.
Juga baca: Honda CBR150R 2021 serba baharu tiba di Indonesia, harga bermula RM10,297!
Seperti Honda CBR150R (Standard) yang dilancarkan pada September tahun lalu, ciri-ciri menarik yang dikekalkan termasuklah penggunaan lampu LED penuh, brek cakera depan dan belakang (corak beralun) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Ciri-ciri menarik lain termasuklah dipadankan dengan teknologi 'Slipper Clutch' untuk penggunaan klac yang lebih mudah, panel meter digital penuh, tangki bahan api 12 liter, ketinggian pelana 788 mm dan berat 139 kg.
Seperti namanya, Honda CBR150R Edisi Repsol turut dijual pada harga yang lebih tinggi berbanding varian standard iaitu RM 13,499 (asas). Ketika dilancarkan pada tahun lalu, harga asas untuk model ini adalah RM 12,499.
Juga baca: Honda CBR150R 2021 mendarat di Malaysia, harga asas RM 12.5k!
Sebagai tambahan, BSH turut menyatakan penawaran warna sedia iaitu Mat Charcoal Grey Metallic dan Candy Scintillate Red terus tersedia di pasaran.