Honda ADV 350 khabarnya 'dah siap', sedia dilancar di Eropah!
Khairil · Oct 26, 2021 10:00 AM
0
0
Susulan kejayaan yang diraih X-ADV 750 dan 'adiknya' ADV 150, syarikat automotif gergasi Jepun, Honda sedang rancak mempersiapkan satu lagi model dalam siri berkenaan dikenali ADV 350.
Ia bukan perkembangan yang baharu dengan dokumen kelulusan model berkenaan di Eropah sudah pun tertiris dilaporkan pelbagai media antarabangsa dan tempatan sebelum ini termasuk oleh kami di WapCar.
Tidak banyak maklumat yang diperoleh daripada dokumen yang didedahkan oleh Motorrad di Jerman itu namun daripada jangkaan awal, ia pastinya akan dilancarkan di rantau Eropah dan lebih spesifik di UK.
Ia pastinya bersebab dan sebagai permulaan, model yang dianggap 'saudara' iaitu Honda Forza 350 adalah model laku keras di negara berkenaan dan keduanya, dokumen yang tertiris itu menggunakan bahasa Inggeris.
Dan menurut laporan Visordown, dengan pameran EICMA semakin hampir dan berdasarkan populariti skuter bersesaran sederhana di benua berkenaan, tidak mengejutkan jika Honda Eropah bakal melancarkan ADV 350 pada penghujung bulan hadapan.
Mengulas sedikit mengenai rekaan ADV 350, ia berkemungkinan besar bakal lebih mirip Honda ADV 150.
Dan seperti ADV 150, ia juga tidak mempunyai kemampuan untuk meredah laluan lasak yang ekstrim seperti 'abangnya' Honda X-ADV 750 dan menggunakan sistem transmisi CVT dengan pacuan tali sawat berbanding rantai.
Dari sudut trenkuasa pula, ia berkemungkinan berkongsi trenkuasa yang sama dengan Honda Forza 350 yang menjadikan proses untuk menyiapkan model berkenaan tidak mengambil masa yang begitu lama.
Justeru, ia berkemungkinan memiliki berat sekitar 180-200 kg kuasa 28.8 HP dan tork 31.5 Nm.
Dengan enjin yang digunakan Forza 350 sudah pun mendapat homologasi dan melepasi piawaian emisi Euro 5, tiada sebarang sebab untuk Honda membelanjakan wang untuk membina enjin yang baharu.
Untuk persoalan mengenai harga pula, ia berkemungkinan lebih mahal berbanding Honda Forza 350 yang dijual pada angka £ 5,499 (RM 31,432) di UK. Ia tampak sepadan dengan rekaan yang agresif dan 'rugged' yang dibawa model berkenaan namun ia masih di bawah angka £ 6k (RM 34,296).
Seorang yang tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis tetapi akhirnyaa menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya dengan minat terarah kepada sukan permotoran dan automotif. Sentiasa kagum dengan teknologi yang ada pada jentera tidak kira dua atau empat roda dan boleh menghabiskan masa berjam-jam menonton perlumbaan, membaca rebiu kereta atau motosikal.