Hyundai baru sahaja mengumumkan bahawa mereka akan membuat pelaburan strategik bernilai lebih RM 2.1 bilion untuk pasaran ASEAN. Salah satu daripada pelan ini sebenarnya melibatkan Malaysia yang mana kita bakal menjadi pusat rantaian bekalan Hyundai untuk rantau ini.
Apa yang lebih menarik ialah Malaysia tidak lama lagi akan memasang (CKD) model mewah Hyundai, Genesis.
“Dengan kerjasama rakan kongsi lama Hyundai Motor, Inokom Corporation Sdn Bhd di Kedah, Malaysia, syarikat ini merancang untuk memulakan pengeluaran tempatan pada pertengahan 2025. Barisan produk akan diperluaskan untuk merangkumi model SUV dan MPV sederhana hingga besar daripada jenama Hyundai dan Genesis." kata Hyundai Motor Company dalam kenyataan kepada akhbar Malaysia.
Sedikit sebanyak mengenai jenama Genesis
Genesis bermula sebagai nama model bagi sedan mercu Hyundai. Pada 2016, ia beransur sebagai sebuah jenama premium. Sekarang, jenama ini sudah ada tiga pusat pembangunan utama; dua di California dan satu di Jerman. Hab pengeluaran dan pembangunan pula terletak di Ulsan, Korea Selatan.
Sekarang, barisan Genesis sudah merangkumi enam model - tiga sedan (termasuk wagon) and tiga SUV. Model sedan terdiri daripada G70, G80 dan G90. SUV pula dengan model GV70, GV80 dan GV80 Coupe.
Untuk makluman anda, model BEV mereka memakai nama 'Electrified'. Dalam konteks sama, varian hibrid mereka akan masuk pasaran global bermula 2025.
Model sedan dan SUV Genesis
Untuk Malaysia, kita akan melihat pada model pandu belah kanan (RHD) yang sudah ada dalam barisan Genesis.
Genesis G70
Genesis G70 merupakan sedan kompak mewah yang sporty. Ia bersaing dengan BMW 3 Series dan Mercedes-Benz C-Class.
G70 dibangunkan berasaskan platform pacuan roda belakang. Pilihan trenkuasa termasuklah enjin 2.0L turbo (245 PS/353 Nm) pada varian G70 Shooting Brake. Varian sedan paling atas pula datang dengan nadi 3.3L twin-turbo V6 (373 PS/510 Nm), lebih kurang sama dengan Kia Stinger. Semua enjin dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan.
Antara ciri yang ada pada semua varian juga termasuklah infotainmen 10.25", 10 beg udara, rim 19" dan brek Brembo.
Genesis G80
Genesis G80 adalah model pertama buat jenama ini. Ia bersaing dengan BMW 5 Series dan Mercedes-Benz E-Class.
Sedan eksekutif ini ditawarkan dengan pilihan enjin 2.5L turbo (305 PS/420 Nm) untuk RWD dan 3.5L twin-turbo V6 (379 PS/530 Nm) untuk AWD. Kedua-dua varian menggunakan transmisi automatik 8-kelajuan.
Selain itu, terdapat varian G80 Electrified yang hadir dengan bateri 87.2 kWh, dua motor yang menghasilkan output 370 PS/700 Nm, arkitektur 800V dan bumbung solar.
Genesis GV60
Genesis GV60 adalah SUV kompak elektrik yang dibangunkan berasaskan platform E-GMP yang turut dikongsi dengan Hyundai Ioniq 5 dan Kia EV6. Ia mewakili senjata pertama Genesis untuk masuk pasaran BEV premium. Pesaing GV60 termasuklah Mercedes-Benz EQA dan BMW iX1.
GV60 turut menawarkan konfigurasi 2 motor AWD dengan output 360 PS/605 Nm untuk varian atas. Model Performance pula mempunyai 490 PS/700 Nm. Antara keunikan GV60 termasuklah bateri 77.4 kWh dengan jarak pandu 466 km, arkitektur 800V dan teknologi masuk tanpa kunci jenis Face Connect.
Genesis GV70 dan GV70 Electrified
Genesis GV70 pula bersaing dengan BMW X3 dan Mercedes-Benz GLC. Pilihan trenkuasa yang ada termasuklah nadi 2.5L turbo (304 PS/421 Nm) dan 3.5L twin-turbo V6 (380 PS/530 Nm. Kedua-dua enjin digandingkan dengan transmisi automatik 8-kelajuan dan terdapat pilihan pacuan semua roda.
GV70 Electrified yang baru sahaja dirasmikan pula datang dengan dua motor yang menghasilkan output 435 PS/700 Nm. Ia disokong oleh bateri 77.4 kWh battery dan jarak pandunya boleh pergi sejauh 450 km. SUV ini juga mempunyai keupayaan mengecas 800V. Antara ciri standard yang ada termasuklah infotainmen 14.5" dan kemasan kulit Nappa.
Genesis GV80
Genesis GV80 pula bersaing dengan BMW X5 dan Mercedes-Benz GLE Class. Pilihan enjin yang ada termasuklah 2.5L turbo (304 PS/421 Nm) dan 3.5L twin-turbo V6 (380 PS/530 Nm). Kedua-dua nadi dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan dan terdapat pilihan pacuan semua roda atau roda belakang sahaja.
Masuk ke bahagian dalam, GV80 tampil dengan kabin yang mewah, infotainmen 14.5", kluster 3D 12.3" dan sistem active noise cancellation. Ciri keselamatan yang ada pula merangkumi 10 beg udara, Smart Cruise Control with Machine Learning dan Remote Smart Parking Assist.
Genesis GV80 Coupe
Genesis GV80 Coupe adalah versi coupe buat GV80 dan ia bersaing dengan BMW X6 dan Mercedes-Benz GLE Coupe.
Trenkuasanya sama dengan GV80. Apa yang berbeza ialah penerapan bumbung landai, bentuk belakang ala coupe, suspensi sport dan tempat duduk sport.
Rumusan
Hyundai memaklumkan bahawa "produksi awal akan meletakkan fokus pada model enjin pembakaran dalaman dan hibrid" sebelum BEV beransur. Ini secara tidak langsung bermaksud model CKD Genesis di Malaysia akan menyasarkan segmen ICE premium yang popular.
Kalau anda nak tahu juga, Hyundai merancang untuk menghasilkan enam model (Hyundai dan Genesis) di Malaysia termasuk hibrid. Malah, mereka juga hendak membangunkan kilang pemasangan pek bateri EV untuk pengembangan fasa kedua kelak (di antara 2025 - 2030). Sekitar 30% daripada pengeluaran juga akan dieksport dalam rantau Asia Tenggara. Usaha ini akan membantu Hyundai mencapai sasaran jualan tahunan sebanyak 750,000 unit bagi rantau ini.
Juga baca: Hyundai bakal membuka kilang bernilai RM 2.2 bilion; Hyundai Staria bermula 2025, Genesis CKD, & Ioniq BEV menyusul