Jika anda peminat model mainan 'die-cast' keluaran Hot Wheels, berita ini boleh membuatkan anda teruja.
Hasil kerjasama strategik terbaharu, jenama model die-cast terkemuka dunia itu mengeluarkan e-bike edisi terhad menerusi usahasama dengan syarikat e-bike berpangkalan di Amerika Syarikat, Super73.
Juga baca: Skuter elektrik Honda U-GO dilancar di China, boleh capai jarak tunggangan 133 km!
Diberi nama Hot Wheels x Super73-RX, begitupun unit e-bike edisi khas dibina dalam jumlah terhad iaitu 24 unit sahaja dan dijual di pasaran negara Uncle Sam itu saja. Harganya pula cukup 'kayangan', iaitu $ AS 5,000 (RM 21,192).
Sekalipun model berkenaan tidak datang dengan pakej tambahan dari sudut spesifikasi berbanding varian teratas model e-bike Super73-RX, ia diberi talaan dari sudut kemasan atau bagi menampakkan ciri-ciri ekslusif Hot Wheels.
Juga baca: BMW Motorrad lancar skuter elektrik CE04, rekaan futuristik, kuasa 42 Hp!
Seperti model edisi khas lain, Hot Wheels x Super73-RX datang dengan warna dan corak grafik yang istimewa. Menggunakan warna hitam sebagai asas, ia digabungkan dengan warna jingga dan biru yang menarik.
Bagi meningkatkan ciri-ciri khas itu lagi, Super73 mewarnakan hampir keseluruhan panel 'stainless steel' yang berada di bahagian tengah kerangka e-bike itu kepada warna hitam, selain rantai dan penutup bateri. Rim pula menggunakan warna unik gangsa dan dipenuhi logo Hot Wheels.
Selain itu, ia juga menggunakan pelana yang disulam khas, pedal daripada Crankbrothers dan bar hendal keluaran Saddlemen, grip ATV Lock-on daripada ODI manakala unit lampu utama datang dengan warna kuning dan turut mempunyai sambungan kepada peranti Android dan iOS menerusi aplikasi Super73.
Juga baca: Felo FW06, skuter elektrik 'jelmaan' Kymco F9 yang berteknologi, rekaan sporty moden!
Dari sudut trenkuasa Hot Wheels x Super73-RX menggunakan motor elektrik berkuasa 2k watts yang bersamaa kira-kira 2.7 Hp yang dijana pek bateri berkuasa 960 watt. Jarak tunggangan boleh meliputi jarak 40 batu (64 km) hanya dengan menggunakan kuasa bateri.
Begitupun, Super73 mendakwa jarak itu boleh ditingkatkan kepada 75 batu (120 km) jika pemilik menggunakan bantuan kayuhan pedal.
Pada mod 'Unlimited', e-bike ini boleh mencapai kelajuan 28 mph (45 km/j) tetapi ia dihadkan kepada 20 mph (32 km/j). Pengecasan dari 0-100% memakan masa 3-4 jam jika menggunakan pengecas 5 amp dan pengecas standard 3 amp mengambil masa 6-7 jam.
Dan jika anda berfikir e-bike ini ringan, anda salah kerana ia mempunyai berat 80 pound (36 kg) termasuk bateri. Menggunakan set tayar jenis 'all-terrain', e-bike ini juga dikatakan mampu meredah laluan lasak.
Sebagai tambahan, setiap pembelian juga turut didatangkan dengan sebuah model die-cast Ford Bronco R yang menggunakan warna dan corak grafik serupa dengan e-bike Hot Wheels x Super73-RX.
Setakat ini, kesemua 24 unit yang ditawarkan sudah habis ditempah namun dikatakan syarikat itu akan membuka kembali tempahan jika permintaan menggalakkan dan tidak mustahil, pembeli dari luar Amerika Syarikat juga berpeluang. Jadi, selamat mencuba.